Sabtu, 4 November 2017

Trofi Piala Malaysia sulung JDT



Sabtu, 4 November 2017 | 11:40pm
PEMAIN JDT, meraikan kejayaan menjuarai trofi Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah 2-0 pada aksi final di Stadium Shah Alam, sebentar tadi. - Foto Shahril Badri Saali
Trofi Piala Malaysia sulung JDT
Oleh Aziman Rosdi
, Firdaus Hashim
danZulfaizan Mansor & Syafiq Aznan
sukanteam@nstp.com.my
 
SHAH ALAM: Johor Darul Ta'zim (JDT) membuktikan mereka raja bola sepak tanah air ketika ini apabila merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat julung kali selepas menewaskan juara bertahan Kedah 2-0 pada aksi final di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Dua gol pada setiap babak menerusi jaringan Aidil Zafuan Radzak dan Gonzalo Cabrera memastikan trofi itu kembali menuju ke selatan tanah air selepas Johor muncul juara pada 1985 dan 1991.

Gelaran itu melengkapkan kabinet trofi JDT sejak ditubuhkan pada 2013 apabila mereka merangkul kejuaraan Liga Super 2014, 2015, 2016 dan 2017, Piala FA 2016, Piala Sumbangsih 2015 dan 2016 serta Piala AFC 2015.

Final yang disaksikan 80,000 penyokong ibarat pertemuan buku dengan ruas apabila JDT mahu memburu gelaran kedua musim ini selepas meraih kejuaraan Liga Super kali keempat berturut-turut.

AIDIL Zafuan meraikan jaringan pertama JDT ketika menentang Kedah pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, sebentar tadi. antara pasukan Kedah menentang JDT di Stadium Shah Alam. - Foto Shahril Badri Saali

PEMAIN JDT, Gonzalo Cabrera (kiri) diasak pemain Kedah, Mohamad Amirul Hisham Awang Kechik (tengah) pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. - Foto Shahril Badri Saali

Helang Merah pula mengintai trofi ketiga selepas menewaskan JDT bagi perebutan Piala Sumbangsih sebelum menjulang Piala FA dengan mengecewakan Pahang 3-2 pada final.

Bagaimanapun Kedah yang dibimbing Nidzam Adzha Yusoff tersentak dengan gol seawal minit ketiga menerusi tandukan pemain pertahanan Aidil berikutan sepakan sudut kapten Safiq Rahim.

Strategi jurulatih JDT, Ulisses Morais memasukkan Hazwan Bakri mengambil tempat penjaring terbanyak Liga Super Mohammed Ghaddar nyata memberi impak.

Hazwan, wira Piala Malaysia Selangor pada 2015, mencipta peluang kepada Natxo Insa dan Gabriel Guerra namun ketangkasan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim berjaya menyelamatkan keadaan.

Satu-satunya peluang terbaik dicipta Kedah hadir pada minit ke-26 namun tolakan penyerang Ken Ilso selepas penjaga gol Izham Tarmizi Roslan menerpa keluar berjaya dikeluarkan S Kunanlan.

Kedah yang memburu kejuaraan keenam selepas 1990, 1993, 2007, 2008 dan 2016 mula mengasak pada babak kedua dan hampir menyamakan kedudukan namun tandukan Baddrol Bakhtiar sekadar singgah di palang.

Namun anak buah Morais menyentap semangat lawan dengan gol kedua pada minit ke-63 apabila pemain import Cabrera yang menerima hantara Hazwan melepaskan sepakan menewaskan Ifwat.

Tuah nyata bukan milik Kedah apabila tandukan Baddrol pada minit ke-67 terkena tiang sekali gus memberi kegembiraan buat JDT yang kecewa tewas pada final 2014 kepada Pahang menerusi penentuan sepakan penalti 3-5 selepas aksi terikat 2-2.
Sumber-BERITA HARIAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan