Sabtu, 19 Ogos 2017

Rajagopal tidak resah tanpa empat tonggak



ARKIB : 13/09/2006
KUANTAN – Malaysia tampak pincang bakal beraksi tanpa empat tonggak utama pada perlawanan pembukaan menentang Vietnam di Kejohanan Remaja Bawah 20 Tahun Persekutuan Bola Sepak Asia (AFF) yang bermula hari ini di Stadium Darul Makmur.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagopal berkata, empat pemain tersebut terdiri daripada dua penyerang iaitu Mohd. Zakuan Abd. Razak serta Fardherin Abd. Kadir dan dua pemain pertahanan, Mohd. Arif Fazli Saidin dan Mohd. Fauzi Ariffin.

‘‘Kesemua pemain terbabit tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan di bahagian lutut.

‘‘Mohd. Zakuan dan Mohd. Fauzi terpaksa melupakan hasrat mereka untuk beraksi pada pusingan kelayakan Piala Remaja Dunia manakala Mohd. Arif dan Fardherin masih belum cergas sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, semalam.

Menurut Rajagopal, walaupun beraksi tanpa kelibat empat pemain utama, ia tidak bermakna anak-anak buahnya akan mudah menyerah kalah.

Jelas Rajagopal, jika barisan pemain yang bakal diturunkan malam ini dapat mengekalkan disiplin dan rentak permainan yang baik, beliau yakin Malaysia mampu menumbangkan Vietnam.

‘‘Vietnam merupakan pesaing terdekat kita dan pasukan itu telah melakukan persiapan yang baik, kali terakhir kita menentang Vietnam pada 2004, Malaysia hanya menang tipis 1-0,” ujarnya.

Beliau memberitahu, selain Vietnam, Thailand serta Australia merupakan sebuah pasukan yang mantap dan tidak boleh dipandang ringan cabaran mereka pada kejohanan tersebut.

Rajagopal berkata, beliau akan mencuba kombinasi pemain serangan dan pertahanan yang baru bagi menggantikan pemain-pemain yang cedera itu.

Tambah beliau, empat pemain yang selama ini belum pernah diuji pada kejohanan berprestij akan diturunkan bagi melihat keberkesanan mereka beraksi pada kejohanan tersebut.

Pemain-pemain tersebut ialah Wan Mohd. Alif Wan Jasmi, Abdul Manaf Mamat, Ahmad Fakri Saarani dan Shafiq Rahim

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4qCRFzLLQ
© Utusan Melayu (M) Bhd