Isnin, 6 November 2017

Kata kesat Safiq mampu undang padah



 DALI OMAR
DALI OMAR

06 November 2017 9:55 AM

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Sebagai kapten, tindakan Safiq Rahim mengeluarkan kata-kata kesat kepada penyokong sejurus tamat final Piala Malaysia semalam bukan sahaja memberi contoh tidak baik, malah mampu mengundang padah, kata legenda bola sepak Malaysia, Dali Omar.

Menurut Dali, beliau amat terkejut apabila menonton rakaman video yang kini tular di media sosial dan menganggap perbuatan tersebut tidak sepatutnya terlepas daripada tindakan disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) biarpun ia berlaku selepas tamat perlawanan.

Dali juga mencadangkan supaya lilitan kapten skuad kebangsaan perancang utama Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dilucutkan kerana dia menunjukkan contoh yang buruk, selain gagal mengawal emosi dalam keadaan tertekan.

Dalam video yang berdurasi hampir seminit itu, Safiq dilihat seperti melepaskan geram kepada pengkritik yang dianggap membenci JDT apabila secara tiba-tiba menjerit dengan mengeluarkan kata-kata kesat: “(Kalau nak guna)**** “...all the haters.....! Gua champion sekarang...********. Lepas ini kau tengoklah!”.

“Dia bukan sahaja kapten JDT, malah kapten skuad kebangsaan. Tindakannya itu memberi contoh yang amat tidak baik kepada peminat bola sepak.

“Saya juga pernah menjadi pemain bola sepak dan berdepan banyak maki hamun peminat. Semua itu perkara biasa dan asam garam sebagai pemain. Dia patut membalas segala makian dengan menunjukkan prestasi baik di atas padang, bukan dengan mengeluarkan kata-kata yang begitu kesat.

“Sebagai seorang pemain profesional, kita sepatutnya tidak menunjukkan reaksi sebegitu negatif disebabkan kritikan penyokong. Lagi pun saya pelik, apa yang hendak dimarahkan sangat malam itu, JDT menang bukan kalah dan mereka mencatat keputusan baik sepanjang musim ini,” kata Dali ketika dihubungi Utusan Malaysia.

JDT dinobat sebagai juara Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah 2-0 dalam final di Stadium Shah Alam semalam menerusi tandukan Mohd. Aidil Zafuan Radzak dan Gonzalo Cabrera. - UTUSAN ONLINE

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kata-kesat-safiq-mampu-undang-padah-1.547564#ixzz4xdn9ZVZ9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan