Isnin, 6 November 2017

JDT pasukan terbaik Malaysia - Safiq



 SAFIQ RAHIM (kanan) meraikan gol pembukaan Mohd. Aidil Zafuan
SAFIQ RAHIM (kanan) meraikan gol pembukaan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak ketika JDT menentang Kedah dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF

06 November 2017 9:55 AM

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Menutup musim 2017 dengan Piala Malaysia membuktikan Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah pasukan terbaik di negara ini, apatah lagi mereka juga sebelum ini turut mempertahankan gelaran Liga Super untuk tahun keempat berturut-turut, kata kapten Harimau Selatan, Safiq Rahim.

Kemenangan ini juga sangat manis buat ketua pasukan Harimau Malaya itu kerana akhirnya meraih trofi berprestij tersebut buat kali pertama selepas gagal dalam dua penampilan akhir sebelum ini.

Kejayaan itu juga meletakkan Safiq, 30, sebagai antara pemain bola sepak tempatan paling berjaya apabila turut memenangi Liga Super, Piala FA, Piala Sumbangsih, Piala AFF 2010 dan Piala AFC 2015 sepanjang bergelar profesional.

“Kami adalah yang terbaik. Kami yakin dengan kemampuan sendiri kerana kami tahu di mana kekuatan kami apabila beraksi mengikut perancangan. Saya fikir kami adalah yang terbaik (di Malaysia) ketika ini.

“Meskipun kami memperoleh gol awal, kami tetap fokus sehingga wisel penamat ditiup kerana apa-apa boleh berlaku sepanjang permainan.

“Malam ini (semalam), keputusan dan kejayaan berpihak kepada JDT. Ini merupakan Piala Malaysia saya yang pertama secara individu dan saya fikir trofi ini mungkin menjadi impian kepada semua pemain kerana saya memang mahu memenanginya.

“Saya berharap kejayaan kami tidak akan terhenti setakat ini sebab kami mahu mencipta sejarah bersama JDT,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Shah Alam semalam.

Sebelum ini, Safiq pernah dua kali beraksi di pentas akhir Piala Malaysia namun percubaan pada 2008 ketika bersama Selangor dan 2014 (JDT) gagal. JDT muncul juara selepas mengalahkan Kedah 2-0 di Stadium Shah Alam. - UTUSAN ONLINE

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-pasukan-terbaik-malaysia-safiq-1.547561#ixzz4xdtBTjbZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan