PEMAIN Malaysia bergambar di
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam sebelum berlepas ke
Buriram, Thailand untuk menentang Korea Utara dalam aksi kelayakan Piala Asia
2019 pada 10 dan 13 November ini. BERNAMA
Rozaidi Zulkifli
08 November 2017 3:00 AM
1
KUALA LUMPUR 7 Nov. - Kedudukan
Safiq Rahim sebagai kapten Harimau Malaya tidak terjejas biarpun dibayangi
kontroversi kerana mengeluarkan kata-kata kesat selepas tamat final Piala
Malaysia, Sabtu lalu.
Nelo Vingada
Nelo Vingada
Ketua jurulatih skuad bola sepak
kebangsaan, Nelo Vingada menyifatkan tindakan pemain tengah Johor Darul Ta’zim
(JDT) itu sebagai satu kesilapan yang tidak disengajakan dan mengingatkan Safiq
agar tidak mengulanginya.
Pengendali kelahiran Portugal itu
juga menegaskan, pemain berusia 30 tahun tersebut tetap watak penting buat
Malaysia apabila menentang Korea Utara dalam dua aksi kelayakan Piala Asia 2019
di Buriram, Thailand pada 10 dan 13 November ini biarpun digantung satu
perlawanan.
“Mungkin disebabkan terlalu
gembira sehingga dia secara tidak sengaja mengeluarkan kata-kata sebegitu.
Perbuatan itu memang salah tetapi pemain profesional lain di peringkat
antarabangsa juga pernah melakukan kesilapan seperti ini.
“Jadi bagi saya...dia perlu
belajar daripada kesilapan dan tidak mengulangi lagi,” ujarnya kepada
pemberita.
Dalam video yang berdurasi hampir
seminit itu, Safiq dilihat seperti melepaskan geram kepada pengkritik bola
sepak yang dianggap membenci JDT apabila secara tiba-tiba menjerit dengan
mengeluarkan kata-kata kesat: “...all the haters **!Gua champion sekarang...**.
Lepas ini kau tengoklah!”.
Video berkenaan tular di laman
sosial hingga mengundang kritikan daripada penyokong, malah beberapa legenda
bola sepak tanah air turut menyarankan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar
mengambil tindakan tegas terhadap bekas pemain Selangor tersebut.
JDT merangkul kejuaraan Piala
Malaysia 2017 selepas menumpaskan Kedah 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium
Shah Alam hasil jaringan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Gonzalo Cabrera.
Safiq digantung satu perlawanan
oleh Konfederasi Bola Sepak Malaysia (AFC) selepas menerima layangan kad merah
ekoran terjahan keras yang dilakukan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019
menentang Hong Kong, bulan lalu menyebabkan dia tidak dapat bermain pada
perlawanan pertama menentang Korea Utara.
“Saya telah berbincang dengannya
dan percaya kehadirannya dalam kem skuad kebangsaan sangat penting walaupun dia
hanya boleh beraksi pada perlawanan kedua. Apa yang pasti, dia masih lagi ketua
pasukan dan kami mahu dia bersama dengan kami menentang Korea Utara nanti,”
katanya
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kapten-malaysia-8232-tetap-milik-safiq-1.548710#ixzz4xwOGhZYT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan