Safiq berkata, moral pemain kini berada pada tahap terbaik setelah membenam Melaka Uni­ted 7-0 pada Ahad lalu dan Kelantan 3-2 kelmarin.
Justeru, dia menggesa rakan sepasukannya mengekalkan mo­mentum kemenangan dan me­ngutip tiga mata penuh untuk terus kekal selaku pendahulu liga.
“Kita baru sahaja menang ke atas Kelantan 3-2 dan ini memberikan motivasi terbaik untuk meraih kemenangan pada malam esok.
“Seperti yang selalu saya katakan kepada rakan-rakan, kekalkan momentum ketika bermain selain ikut arahan jurulatih serta menggunakan taktikal yang diatur dengan baik,” katanya selepas menghadiri majlis pelepasan kereta ‘Muscle’ di Galeri Jualan 23 Motors Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Safiq turut memberi amaran kepada pasukannya agar tidak mengambil mudah perlawanan menentang PKNS.
Ujarnya, PKNS merupakan pasukan yang harus diberi perhatian kerana memiliki ‘senjata’ dan mereka pastinya mahu mengekang kemaraan JDT.
“Pemain PKNS terdiri daripada pemain yang lama dan berpengalaman, kita harus berwaspada.
“Pemain import mereka juga harus diberi perhatian kerana mereka boleh jadi pemusnah pasu­kan kami,” katanya.
Kejayaan menewaskan Kelantan menyaksikan JDT melonjak ke persada liga dari kedudukan ketiga dengan mengutip 20 mata. PKNS pula ketika ini berada di tempat kelapan carta dengan sembilan mata.