Jumaat, 20 Oktober 2017

Selangor selesa menghuni puncak liga -- Saingan bola sepak Liga Super

ARKIB : 24/12/2007
 
Tonggak Selangor, Indra Putra Mahayuddin (kiri) diasak oleh dua pemain Pulang Pinang di Stadium Shah Alam, malam tadi.

SHAH ALAM – Penyerang utama negara, Safee Sali membuktikan sentuhannya masih berbisa biar pun turun sebagai pemain gantian apabila jaringannya pada minit ke-64 membantu Selangor mengekalkan rekod tanpa kalah persaingan bola sepak Liga Super 2007/2008 dengan menumpaskan Pulau Pinang 2-1, semalam.

Rembatan kaki kirinya yang tepat sambil berlari kencang sudah memadai untuk mencatat kemenangan sulung Red Giants di Stadium Shah Alam selepas empat perlawanan saja masuk menggantikan sayap kiri, Indra Putra Mahayuddin kurang seminit sebelum itu.

Malah, dia nyaris menambah gol Selangor sekiranya rembatan kaki kanan dalam masa kecederaan babak kedua perlawanan tidak terkena tiang gol Pulau Pinang.

Namun, igauan ngeri Selangor tiba-tiba muncul pada minit ke-53 apabila pemain gantian Pulau Pinang, S. Thiagaran melepaskan rembatan kaki kiri untuk menewaskan penjaga gol, Megat.

Selangor bagaimanapun cuma membenarkan gol pendahuluan lawan bertahan selama seminit apabila ketua pasukannya, Fadzli Saari merembat gol penyamaan dari jarak dekat hasil sepak bebas Frank Seator.

Minit ke-10 menyaksikan Selangor terlepas peluang keemasan untuk membuka jaringan selepas penyerang import dari Liberia, Seator gagal menyudahkan situasi satu sama satu ketika berdepan penjaga gol Penang, Faizal Yusuf.

Bola kawalan bekas pemain import Perak itu dengan pantas dikuis lawan biar pun sempat diperoleh semula sebelum disepak tinggi dari gawang pasukan pelawat.

Pada minit ke-16, Seator sekali lagi dikecewakan oleh Faizal, yang berjaya menumbuk keluar sepakan percumanya yang deras dari sebelah kanan di luar kotak penalti Pulau Pinang.

Pasukan pelawat bimbingan Mohamad Bakar sempat melakukan serangan balas dan cuba mengejutkan tuan rumah tetapi tolakan Azrul Ahmad masih dapat ditampan bek tuan rumah, Razman Roslan, dua minit kemudian.

Tolakan ke kiri gol Pulau Pinang pada minit ke-30 oleh pemain lincah Selangor, Mohd. Amri Yahyah juga tidak banyak merubah keadaan apabila sekadar tersasar beberapa inci.

Faizal pula terus menjadi batu penghalang Selangor apabila tumbukannya menyekat sepakan bebas dan percubaan jarak jauh oleh pemain tuan rumah, Shafiq Rahim dan Nasriq Baharom minit ke-32 dan 33.

BARISAN PEMAIN

SELANGOR: Megat Amir Faizal Al Khalidy Ibrahim, Razman Roslan, Ivan Chi Hulo, Frank Seator, R. Surendren, P. Gunalan, Mohd. Amri Yahyah, Fadzli Saari, Indra Putra Mahayuddin (Safie Sali), Nasriq Baharom, Shafiq Rahim

PULAU PINANG: Faizal Yusuf, Mat Saiful Mohamed, Suhaidi Akmal Md. Noor, M. Prakash, K. Puvinderan Naidu, Azrul Ahmad, Farizal Rozali, Zailani Jaafar, Farkhis Fisol (S. Thiagaran), Zulhisham Jamaluddin, Amir Shahreen Mubin.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4w3iFrQ5H
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 18 Oktober 2017

Malaysia bangkit - Skuad negara hidupkan peluang benam Laos 4-0


 

ARKIB : 04/12/2007
Daripada: ABDUL HAFIZ AHMAD
MOHD. Khyril Muhymeen (tengah) diasak oleh dua pemain Laos dalam saingan bola sepak Sukan SEA di Korat, semalam. Malaysia menang 3-0.

KORAT – Malaysia menghidupkan semula peluang ke separuh akhir bola sepak lelaki dengan membenam Laos 4-0 pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Surapala Keetha Sathan Universiti Teknologi Suranaree, semalam.

Kemenangan menerusi dua jaringan Safee Sali pada minit ke-75 dan 90, Amirulhadi Zainal (67) dan Safiq Rahim (83) ini turut memulihkan semangat skuad bawah 23 tahun negara selepas tewas 1-3 kepada Vietnam, Sabtu lalu.

Anak buah B. Sathianathan dikekang tanpa jaringan oleh Laos sehingga 45 minit pertama yang cuba memburu kesudahan serupa seperti ketika mengikat Singapura, Sabtu lalu biarpun beroleh tidak kurang empat percubaan yang berpotensi jaringan pada minit ke-25 hingga 27 dan 34.

Kerap kali Malaysia yang membuat sedikit rombakan dengan mula menurunkan Chun Keng Hong dan ketua pasukan, Azi Shahril Azmi untuk menggantikan Syamsol Sabtu dan Khyril Muhymeen Zambri, dihampakan oleh kecekapan penjaga gol Laos, Toulakham Sitthidaphong.

Tandukan Zaquan Adha Radzak dan rembatan kaki kiri diselamatkannya, begitu juga dengan percubaan Amirulhadi Zainal hasil umpanan Safee sehinggalah kemasukan Khyril pada babak kedua untuk menggantikan Keng Hong, mengubah corak serangan Malaysia.

Satu hantaran lambung Khyril yang tepat dari sebelah kanan membolehkan Amirulhadi menanduk masuk untuk membawa Malaysia memecahkan kebuntuan kedudukan dan kekebalan Toulakham pada minit ke-67.

Minit ke-75 menyaksikan gawang Laos bocor lagi, kali ini menerusi tandukan Safee, penyerang yang dikatakan mirip gaya Mokhtar Dahari yang menyudahkan umpanan lintang gandingan serangannya, Zaquan.

Gol ketiga Malaysia tiba pada minit ke-83 hasil kerjasama serampang tiga mata dengan dimulakan umpanan leret Zaquan kepada Safee yang kemudiannya menolak untuk rembatan kaki kiri Safiq Rahim.

Safee membuktikan sentuhan penyudahnya yang cukup berbisa terhadap Laos setelah melakukan pusingan badan mengelirukan benteng Laos sebelum melepaskan rembatan deras mengatasi Toulakham lagi pada minit terakhir permainan.

Malaysia bagaimanapun mesti menewaskan Singapura dalam perlawanan terakhirnya, Sabtu ini untuk menjamin tempat ke separuh akhir selepas republik jiran itu mengejutkan pemenang perak temasya Filipina 2005, Vietnam 3-1, semalam.

Kata Sathianathan: ‘‘Kami agak sukar menembusi Laos pada mulanya tetapi hanya setelah gol pertama diperoleh, barulah semuanya berjalan lancar dan kami mampu meraih tiga mata. Kami hanya mahu menang ke atas Singapura selepas ini.

“Saya kehilangan beberapa pemain kerana kecederaan tetapi kami ada rehat lima hari untuk memulihkan diri. Saya juga perlu menyemak siapa yang sudah menerima dua kad kuning dan bakal terlepas perlawanan terakhir.”

Skuad negara bakal kehilangan Zaquan apabila menentang Singapura kerana beroleh dua kad kuning dengan Vietnam dan Laos tetapi akan memiliki semula khidmat abang kembarnya, Aidil Zafuan Radzak yang selesai menjalani penggantungan dua perlawanan ekoran Kelayakan Piala Dunia, Oktober lalu.

MALAYSIA

Syed Adney Syed Hussein, Azi Shahril Azmi (Norshahrul Idlan Talaha), S. Subramaniam, Bunyamin Umar, Chun Keng Hong (Khyril Muhymeen Zambri), Zaquan Adha Radzak, Amirulhadi Zainal (Samransak Kram), Safiq Rahim, Daudsu Jamaludin, Safee Sali, Sumardi Hajalan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vu8eQgUo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 15 Oktober 2017

KEPUTUSAN PENUH SEPARUH AKHIR PERTAMA PIALA MALAYSIA 15.10.2017



OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Felda United   1-1       Kedah
                       
Perak               1-1       Johor Darul Ta'zim
m-19 gs Hasbullah Abu Bakar                       

Empat tonggak skuad Piala Asia dipanggil semula



ARKIB : 12/09/2007

KUALA LUMPUR – Jurulatih skuad negara, B. Sathianathan memanggil empat tonggak skuad Piala Asia, Julai lalu iaitu Indra Putra Mahayuddin, Norhafiz Zamani Misbah, K. Nanthakumar dan Shukor Adan bagi menguatkan cabaran Malaysia menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2010, bulan depan.

Mereka akan menyertai kebanyakan pemain skuad Bawah 23 Tahun Malaysia yang menjulang trofi Pestabola Merdeka ke-39 pada 29 Ogos lalu untuk menghadapi pilihan keenam Asia, Bahrain dalam pusingan pertama timbal balik kelayakan pada 21 dan 28 Oktober ini.

Shukor dan Norhafiz Zamani sebelum ini turut membarisi skuad juara Pestabola tetapi tempat dalam skuad negara kali ini tiada bagi bek kanan, V. Thirumurugan yang membantu Kedah menjulang tiga gelaran sepanjang musim 2006-2007, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.

Latihan

Sathianathan menyenaraikan 24 pemain lain yang bakal melapor diri bagi sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya mulai Isnin ini dengan empat tonggak Kedah pada perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu - Khyril Muhymeen Zambri, Samransak Kram, Sabre Mat Abu dan Bunyamin Omar.

Turut disenaraikan ialah penjaring terbanyak Malaysia dalam Pestabola, Safee Sali yang turut beraksi pada Piala Asia bersama-sama Nor Farhan Muhammad selain pasangan kembar Bawah 23, Aidil Zafuan Radzak dan Zaquan Adha Radzak (Pemain Paling Berbakat Anugerah Bola Sepak Kebangsaan).

Lain-lain pemain termasuk Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal, Syed Adney Syed Hussein, Syamsol Sabtu, Shahurain Abu Samah, Norshahrul Idlan Talaha, Azi Shahril Azmi, S. Subramaniam, Nasril Nourdin, Daudsu Jamaluddin, Sumardi Hajalan, Azamuddin Akil, Farizal Marlias, Zamri Chin, Chun Keng Hong, K. Thanaraj.

Kata beliau, mereka akan menjalani latihan di Wisma FAM hingga 23 September ini sebelum berlepas ke Perth, Australia bagi siri empat perlawanan persahabatan dengan Pilihan Australia Barat (28 atau 29 September), Perth Glory (2 Oktober), Ashfield FC (5 Oktober) dan Floreat Athena (9 Oktober).

‘‘Daripada 28 pelatih ini, saya akan memilih 20 orang sahaja bagi menghadapi Bahrain dalam Kelayakan Piala Dunia,” katanya yang dilantik sebagai pengganti Norizan Bakar sejurus selepas perlawanan akhir Pestabola, kepada Utusan Malaysia, semalam.

Sathianathan yang bakal dibantu Zaki Sheikh Ahmad berkata, mereka sepasukan hanya mempunyai 32 hari untuk membuat persediaan menentang Bahrain yang nyaris layak ke Piala Dunia 2006 jika tidak kalah dalam perlawanan penentuan dengan wakil Concacaf, Trinidad & Tobago.

‘‘Saya menggunakan khidmat ramai pemain Bawah 23 kerana matlamat utama saya ialah Sukan SEA Korat (6 hingga 15 Disember ini),” katanya yang enggan mengulas mengapa tidak menyertakan Penyerang Pilihan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan, Khalid Jamlus ke Kelayakan Piala Dunia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4vZXYpsNU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 12 Oktober 2017

KEPUTUSAN PENUH HONG KONG 2-0 MALAYSIA



OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Hong Kong 0-2  Malaysia
PEMAIN MALAYSIA
23-Hafizul Hakim Khairul Nizam
2-Matthew Davies
5-Shahrom Kalam
13-Khairul Helmi Johari
21-Nazirul Naim Che Hashim
18-Kiko Insa
17-Syamer Kutty Abba
11-Safawi Rasid
7-Baddrol Bakhtiar
8-Safiq Rahim (K)
16-Syazwan Zainon.
PEMAIN GANTIAN
10 DAREN LOK
12 AKRAM MAHINAN
19 WAN ZACK HAIKAL

Rabu, 11 Oktober 2017

JDT kuasai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015



Jumaat, 18 Disember 2015 | 10:16pm
 
ANTARA pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015, (dari kiri); Farizal Marlias, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Razak dan Matthew Davies. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan apabila mendominasi lapan daripada 17 kategori yang dipertandingkan pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015, di sini, malam tadi.

Mendahului senarai skuad Harimau Selatan itu adalah tonggak tengah yang juga kapten pasukan kebangsaan, Safiq Rahim, apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai dan Pemain Tengah Terbaik.

Kejayaan membawa pulang Piala AFC 2015 ke bumi Malaysia buat kali pertama dalam sejarah bola sepak negara turut membantu pasukan JDT untuk dipilih sebagai penerima Anugerah Khas.

Selain itu, empat lagi pemain Harimau Selatan iaitu Amri Yahyah, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Farizal Marlias dan Luciano Figueroa serta jurulatihnya, Mario Gomez turut menguasai lima kategori lain.

BARISAN Pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid. - Foto Osman Adnan

Berikut adalah senarai pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015:

Pemain Paling Bernilai: Safiq Rahim (JDT)

Jurulatih Terbaik: Mario Gomez (JDT)

Penyerang Terbaik: Amri Yahyah (JDT)

Pemain Tengah Terbaik: Safiq Rahim (JDT)

Pertahanan Terbaik: Aidil Zafuan Abdul Radzak (JDT)

Penjaga Gol Terbaik: Farizal Marlias (JDT)

Pemain Import Terbaik: Luciano Figueroa (JDT)

Pemain Muda Terbaik: Matthew Davis (Pahang)

Anugerah Fair Play: LionsXII

Kelab Penyokong Terbaik: Elephant Army (Pahang)

Pasukan Bola Sepak Terbaik: Kedah

Pemain Wanita Terbaik: Nurul Azurin Mazlan (Sabah)

Pemain Futsal Lelaki Terbaik: Azrul Hadee Mohd Taufiq

Pemain Futsal Wanita Terbaik: Siti Asnidah Zamri

Penjaring Terbanyak Liga Super: Dramane Traore (PDRM, 20 gol)

Penjaring Terbanyak Liga Perdana: Francis Forkey Doe (NS Matrix, 17 gol)

Anugerah Khas: JDT
SUMBER BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 18 Disember 2015 | 10:16pm

Safiq elak wartawan, Vingada jadi jurucakap



Rabu, 11 Oktober 2017 | 9:31pm


 

KAPTEN Harimau Malaya, Safiq Rahim enggan ditemuramah kumpulan wartawan apabila tiba di KLIA, hari ini.
Oleh Devinder Singh
devinder@nst.com.my

SEPANG: Safiq Rahim mengelak daripada ditemuramah kumpulan wartawan sebaik pasukan kebangsaan yang tewas 2-0 kepada Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia semalam, tiba di ibu negara hari ini.

Tindakan itu menyebabkan ketua jurulatih Nelo Vingada terpaksa memohon maaf bagi pihak kapten pasukan negara yang dilayangkan kad merah pada minit ke-40 permainan sebelum Hong Kong meledak dua gol.

Ini adalah kali ketiga dalam 76 penampilannya bersama Harimau Malaya, Safiq dibuang padang dan dengan ketiadaan penyerang sepanjang babak pertama dalam saingan Kumpulan B itu, ketiadaan pemain tengah itu menambah derita anak buah Vingada.

Vingada berkata, Safiq memohon maaf sejurus selepas dia dibuang padang kerana memijak pertahanan Hong Kong Daniel Cancela Rodriguez.

"Ini kali pertama perkara sebegini berlaku di bawah kendalian saya," kata Vingada merujuk kepada kad merah Safiq. "Saya cukup mengenalinya, kapten yang amat bagus, semangat juang yang tinggi. Dia sedar itu adalah satu kesilapan.

"Sekarang tidak ada sesiapa boleh katakan jika dia masih ada kita mungkin tidak akan tewas, tetapi siapa tahu. Sudah tentu apabila kita kehilangan Saifq, kita hilang keupayaan untuk menguasai bola dan rentak permainan juga terganggu.

"Saya tidak kecewa disebabkan dia kerana ia tidak disengajakan. Saya tidak lihat ia seperti disengajakan. Ia adalah satu kesilapan. Pada waktu rehat dia meminta maaf kepada pasukan dan mengakui ia adalah satu kesilapan dan tidak akan berlaku lagi.

"Saya harap Safiq sedar perkara sebegini tidak boleh berlaku di peringkat ini. Pengadil membuat keputusan yang tepat."

Pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sebelum ini dibuang padang ketika kekalahan 5-3 di tangan Singapura dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2011 dan sekali lagi dalam perlawanan persahabatan menentang Oman dua tahun lalu di mana Malaysia tewas 6-0.

Percubaan untuk mendapatkan Safiq di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekadar dibalas dengan lambaian oleh pemain itu sambil memohon maaf dan dia terus meninggalkan dewan ketibaan.

Selepas lima perlawanan tanpa kemenangan, empat daripadanya tewas, Vingada menerima kritikan ke atasnya sebagai jurulatih.

"Saya tidak akan berputus asa. Saya sangat optimistik dan juga realistik. Ketika mengendali Arab Saudi dan Portugal, saya berada di tahap berbeza. Di sini saya tahu di peringkat mana saya berada, sudah pasti kehadiran saya untuk membawa Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

"Saya di sini kerana saya suka berada di sini dan menghormati semua orang. Saya percaya kepada pemain dan pegawai saya dan mereka tahu siapa saya. Saya boleh pergi bila-bila masa dan masih mampu berbangga kerana saya sudah memberikan yang terbaik," kata pengendali dari Portugal itu.

Vingada bakal kehilangan Safiq dan pertahanan Aidil Zafuan Abd Radzak (digantung empat perlawanan), juga dari JDT, untuk perlawanan seterusnya menentang Korea Utara pada 14 November.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu, 11 Oktober 2017 | 9:31pm