Jumaat, 3 November 2017

Pertembungan dua ‘gergasi’

 ULISSES MORAIS (dua dari kanan), Shafiq Rahim (kanan) bersama
ULISSES MORAIS (dua dari kanan), Shafiq Rahim (kanan) bersama Mohd. Nidzam Adzha Yusoff (dua dari kiri) dan ketua Pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari memegang Piala Malaysia yang menjadi rebutan antara skuad Lang Merah dengan JDT selepas sidang akhbar perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, semalam. utusan/Nasirruddin Yazid

Zainu’L Azhar Ash’Ari

04 November 2017 3:00 AM

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Esok, hari ditunggu-tunggu oleh majoriti rakyat negara ini, melupakan seketika pelbagai isu atau kemelut yang berlaku termasuk politik tanah air untuk memberi tumpuan kepada dua gergasi bola sepak tanah air, melibatkan pertembungan pasukan utara dan selatan di Shah Alam.

Ibarat perlawanan epik antara Lang Merah dengan Harimau Selatan, realitinya perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam itu mempunyai cerita tersendiri dibandingkan musim terdahulu dengan Kedah gah ke pentas final tiga tahun berturut-turut, berstatus juara bertahan bakal menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), kelab paling berpengaruh di negara ini.

Pertembungan ‘buku bertemu ruas’ sukar untuk diramalkan, hanya aksi di tengah ‘gelanggang’ mampu memberikan jawapan sebenarnya tentang dua pasukan terbaik di negara ini dengan ma­sing-masing mempunyai strategi dan taktikal tersendiri.

Sejarah tidak boleh dipa­dam bahawa Kedah bergaya ke pentas akhir buat tiga musim berturut-turut termasuk tahun ini, dengan dikendalikan jurulatih tempatan, Tan Cheng Hoe (2015 dan 2016) sebelum diambil alih oleh penolongnya, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff untuk final kali ini.

Sudah pasti, Mohd. Nidzam mahu membuktikan bahawa anak tempatan mampu membawa Kedah menjulang Piala Malaysia walaupun menghadapi ‘anak-anak buah’ Ulisses Morais yang pernah menjulang kejuaraan Liga Super empat musim berturut-turut sejak 2014 selain menjulang Piala FA pada 2016 dan paling manis mencipta sejarah menjuarai Piala AFC (2015).

Bagaimanapun, JDT tetap menyedari bahawa Kedah merupakan pasukan yang cukup di­segani. Sejarah bola sepak negara. telah membuktikan bahawa Lang Merah yang sebelum ini cukup popular dengan gelaran seperti Kenari atau Hijau Kuning bukan baharu mencipta kejayaan, malah boleh dikatakan kesemua trofi telah menjadi koleksinya.

Daripada juara Divisyen 2, Liga Perdana, Piala Sultan Ahmad Shah atau perlawanan Sumbangsih, Liga Super dan Piala FA, pa­ling bergaya Kedah yang menjua­rai Piala Malaysia sebanyak lima kali (1990, 1993, 2007, 2008, 2016) pernah mencipta double treble pada 2007 dan 2008 (memenangi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia).

Namun, rentetan sejarah bukan ukuran sebenarnya buat ke­dua-dua pasukan, cukup sekadar untuk membina reputasi tetapi kemantapan dan kemahiran pemain menjadi aset sama ada bagi Kedah atau JDT untuk menggapai impian bergelar juara malam esok.

Di pihak Kedah, kekuatan tentulah dijana oleh arkitek pasukan, pemain import Liridon Krasnigi yang dibantu pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar dan Sandro da Silva Mendonca di barisan tengah serta penyerang Ken Ilso untuk mengancam kubu JDT selain diperkuatkan tonggak tempatan yang mampu menyerap setiap asakan lawan seperti Syaz­wan Zainal.

Dengan mempertaruhkan barisan terkuatnya, Kedah tidak perlu risau untuk menghadapi JDT, cuma keghairahan atau kesilapan bakal membawa padah kepada skuad Lang Merah itu kerana JDT merupakan pasukan yang cukup bijak untuk mengambil kesempatan di sebalik kelekaan lawan.

Sebagaimana kata Mohd. Nidzam, keutamaannya adalah Piala Malaysia dengan menyediakan barisan pemain terbaik untuk muncul juara.

“JDT pasukan serba lengkap tetapi pengalaman beraksi di pentas final tiga tahun berturut-turut di Stadium Shah Alam akan memberi sedikit kelebihan,” katanya.

JDT pula, di barisan hadapannya menyandarkan harapan kepada pemain paling ‘mahal’, Mohammed Ghaddar yang berupaya untuk menyusup masuk ke dalam kubu Kedah jika barisan pertahanan tidak mengawalnya dengan rapi atau alpa, dengan tonggak kelahiran Sepanyol, Natxo Insa serta dua lagi pemain import, Gabriel Guerra dan Gonzalo Cabrera yang cukup licik untuk memperdayakan benteng terakhir Lang Merah.

Inilah trio yang menjadi ‘ancaman’ buat Kedah selain bantuan daripada pemain tempatan iaitu ketua pasukan JDT dan juga skuad kebangsaan, Shafiq Rahim yang berupaya membuat hantaran kepada barisan penyerang di samping mampu menghasilkan gol menerusi sepakan percuma.

Menurut Insa, sudah tentu pemain akan bermati-matian untuk merampas Piala Malaysia daripada Kedah bagi melengkapkan koleksi kejuaraan JDT.

“Piala Malaysia belum lagi kami dapat, sudah tentu peluang yang ada tidak akan dilepaskan begitu sahaja,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/pertembungan-dua-8216-gergasi-8217-1.546946#ixzz4xQ2T1kA6
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan