Jumaat, 22 April 2016

Tiada kejutan dalam senarai 24 pemain

KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menyenaraikan 24 pemain untuk menjalani sesi latihan pusat kebangsaan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2015 dan perlawanan persahabatan antarabangsa.
Kenyataan FAM menyebut semua 24 pemain perlu melaporkan diri di Wisma FAM, esok atau akan dikenakan tindakan.
Sesi latihan akan berlangsung pada 1-6 September ini, sebelum pasukan bertolak ke China untuk perlawanan persahabatan, pada 10 September.
Senarai 24 pemain: Khyrill Muhymeen Zambri, Baddrol Bakhtiar (Kedah); Farizal Marlias (Perak); Amri Yahyah, Mahalli Jasuli, Asraruddin Putra Omar, K. Gurusamy, S. Kunalan (Selangor); Nazrin Nawi (Negeri Sembilan); Aidil Zafuan Abdul Radzak, Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali, Safiq Rahim (Johor Darul Takzim); Azamuddin Akil, Razman Roslan, Saiful Nizam Miswan (Pahang); Khairul Fahmi Che Mat, Shakir Shaari, Ahmad Fakri Saarani (Kelantan); Hasmizan Kamarodin, Faizal Muhamad (Terengganu); Sani Anuar Kamsani (Sarawak); Fitri Omar (ATM); Helmi Remeli (Selangor PKNS FC).

Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130831/su_03/Tiada-kejutan-dalam-senarai-24-pemain#ixzz2dUi19KYj© Utusan Melayu (M) Bhd

Safiq Rahim tetap positif

SABTU, 26 MAC 2016 @ 3:16 P
Oleh Nazri Abu Bakar bhsukan@bharian.com.my 
KAPTEN pasukan negara, Safiq Rahim (kiri). - Foto Owee Ah Chun MELAKA: Perancang tengah yang juga kapten pasukan negara, Safiq Rahim tetap positif walaupun pasukan negara tewas di tangan Arab Saudi pada aksi terakhir Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah, Arab Saudi, Jumaat lalu.

       Menurutnya, kekalahan berkenaan memberi pengalaman dan menyuntik kematangan permainan terutama berdepan lawan gah di Asia itu. Katanya, berjaya mengekang tuan rumah serta bertindak cemerlang dengan semangat juang tinggi jelas memberi suntikan moral buat pasukan negara untuk berdepan Macau pada aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat, Selasa ini.

      Beliau berkata, walaupun ranking pasukan pelawat berada di bawah Harimau Malaysia namun ia tidak harus dipandang mudah kerana kedudukan itu tidak akan selamat jika komitmen tinggi tidak dipersembahkan. "Ranking tidak memberi makna dalam perlawanan ini, jika menganggap lawan bukan pencabar hebat, kerana sesebuah pasukan yang memiliki perbezaan jauh dalam ranking juga boleh mengejutkan mana-mana lawan pada aksi sebenar. "Malah pasukan negara hanya tewas 0-2 kepada Arab Saudi juga tidak menggambarkan kekuatan sebenar berikutan jika diukur standard tentu mereka boleh menang besar ke atas kita terutama jika ranking di ambil kira," katanya selepas sesi latihan ringan pemain negara di Bandar Hilir, sebentar tadi.

        Safiq berkata, dia dan rakan-rakan akan beraksi dengan penuh komitmen dalam memastikan kemenangan pasukan negara pada pertemuan terbabit. "Buat satu ketika kami perlu melupakan play-off kelayakan Piala Asia sambil memberi fokus terhadap saingan berdepan Macau. "Bukan melupakan terus saingan play-off dijadualkan Jun depan itu namun kami mahu tumpuan terarah kepada satu perlawanan demi satu perlawanan terlebih dulu," katanya. Sementara itu, penolong jurulatih negara, Hasan Sazali berkata, dia juga berpuas hati dengan aksi berdepan Arab Saudi walaupun menyedari lawan sebuah pasukan hebat. Katanya, keserasian permainan dapat dilihat dalam perlawanan berkenaan sekali gus dapat menyerap taktikal yang direncana ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.


Sumber : http://www.bharian.com.my/node/137518

Rabu, 20 April 2016

Heboh gara-gara muscle car Safiq, Kunanlan

AZIZI MAJID   20 April 2016 12:16 AM

S. KUNANLAN bersama kereta baharunya, Dodge Challenger turut menarik perhatian peminat bola sepak.

JOHOR BAHRU 19 April – Niat mereka mungkin mahu memberi inspirasi kepada peminat bola sepak apabila bergambar bersama kereta muscle car Amerika yang baru dibeli dan kemudian dimuat naik dalam Facebook rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT), JOHOR Southern Tigers (JST).
Bagaimanapun, gambar kap­ten JDT, Safiq Rahim dan pemain tengah, S. Kunanlan itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, malah ada yang mengatakan mereka sengaja mahu menunjuk-nunjuk kemewahan masing-masing.
Safiq, 28, bergambar bersama kereta Ford Mustang yang disertai kenyataan bergambar: “Mereka bangun setiap hari memikirkan untuk menulis perkara negatif tentang kami. Kami bangun setiap hari mengucapkan syukur kepada Allah dan hidup berjaya.”
Kunanlan, 29, pula memperagakan kereta Dodge Challenger bersama kapsyen: “Sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Tetapi jangan berhenti berusaha untuk apa yang anda mahukan.”
JST yang tidak mahu mengundang salah faham dalam kalangan peminat bola sepak kemudian menjelaskan bahawa kereta Kunanlan bukan milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Untuk makluman para penyokong, kenderaan milik S. Kunanlan bukan milik DYAM Tunku Mahkota Pemangku Raja Johor, sebaliknya dibeli oleh pemain tersebut di 23Motors iaitu salah satu penaja kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim,” kata JST dalam kenyataan tersebut.
Namun usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan komen kedua-dua pemain gagal apabila panggilan dan mesej yang dihantar tidak berjawab.
Sementara itu, dalam laman sosial, peminat bola sepak menyuarakan pandangan berbeza mengenai tindakan Safiq dan Kunanlan memperagakan kereta mereka.
Seorang peminat yang menggunakan akaun Facebook Awaluddin Annuar berpendapat pemain tersebut berhak memiliki kereta itu ha­sil usaha keras mereka.
“Dah macam pemain bola luar negara dah ni... pemain mesti pakai kereta mahal-mahal... baru nama­nya hasil titik peluh,” katanya.
Manggala Johor pula menyifatkan kemewahan yang diperoleh pemain JDT dalah berkat usaha pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Maaf cakaplah.. dengan JDTlah pemain-pemain yang bermain untuk JDT hidup senang lenang... nak apa semua dapat.. kebajikan terjaga... gaji lumayan tiada tertunggak.. berkat usaha TMJ,” katanya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/heboh-gara-gara-i-muscle-car-i-safiq-kunanlan-1.277676#sthash.PwEuuW2t.dpuf

Jumaat, 15 April 2016

Safiq janji tebus maruah negara

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukani@utusan.com.my
Safiq Rahim
PETALING JAYA - Perjuangan demi maruah negara perlu diteruskan biarpun keperitan kekalahan 0-3 kepada Singapura pada perlawanan sulung Piala Suzuki AFF 2012 masih terasa.

Menjadikan pengalaman pahit itu sebagai pengajaran berguna, ketua pasukan skuad Harimau Malaya, Safiq Rahim mahu rakan-rakannya bangkit pada perlawanan menentang Laos dan mencari tiga mata penting bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir.

Seri atau kalah bermakna berakhirlah perjuangan Harimau Malaya di bumi sendiri.

Bakal pemain Johor pada musim depan itu yakin Harimau Malaya akan tampil dengan lebih bersemangat pada perlawanan malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Kami harus belajar daripada kesilapan daripada perlawanan lalu dan diri saya sendiri selaku kapten kesal dengan keputusan yang kami perolehi (kalah 3-0 kepada Singapura). Perlawanan dengan Laos kami wajib mendapatkan tiga mata, tidak boleh dapatkan keputusan seri atau kalah.

"Saya mahu mendapatkan keputusan yang baik pada perlawanan esok (hari ini) demi menghidupkan lagi peluang ke separuh akhir," katanya selepas sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM, semalam.

Lawan Harimau Malaya, Laos yang sebelum ini diramalkan bakal menjadi pasukan belasahan dalam Kumpulan B berjaya meraih satu mata berharga pada perlawanan pertama selepas seri 2-2 dengan Indonesia.

Ditanya mengenai persembahan cemerlang Laos pada perlawanan pembukaan yang dijangka menyukarkan peluang Malaysia meraih tiga mata, Safiq berkata, tahap permainan semua pasukan sebenarnya semakin baik dan tiada siapa boleh mendabik dada bahawa mereka adalah pasukan pilihan.

"Tahap kekuatan semua pasukan bagi saya sebenarnya sama, persaingan semakin sengit pada kejohanan Piala Suzuki AFF kali ini.

"Kalau sebuah pasukan bermain baik mereka akan dapatkan keputusan yang bagus, jika bermain dengan buruk maka buruklah keputusannya.

"Apa yang mustahak, adalah aksi pasukan kita sendiri pada perlawanan itu nanti, tidak perlu fikirkan aksi pasukan lawan," katanya.

Ketiadaan Norshahrul Idlan Talaha dalam pasukan juga tidak terlalu menggusarkan Safiq yang berharap sesiapa yang mengambil tempat bekas penyerang Kelantan itu dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

"Kalau boleh memang saya berharap dia dapat bermain namun jika tidak, saya yakin dengan rakan-rakan sepasukan lain yang akan menggantikan Norshahrul," katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121128/su_02/Safiq-janji-tebus-maruah-negara#ixzz45wlAQHyn © Utusan Melayu (M) Bhd

Gol awal jadi penentu - Safiq


 

ARKIB : 01/12/2012
Safiq mahu terus menggempur benteng Garuda sebaik permainan dimulakan.
PETALING JAYA - “Kita mesti mendapatkan gol awal... Itu amat penting dan dalam masa sama jangan bolos terlebih dahulu kepada lawan," demikian amanat ketua pasukan Harimau Malaya, Safiq Rahim kepada rakan sepasukan menjelang perlawanan ‘panas’ antara dua seteru utama, Malaysia dan Indonesia, malam ini.

Mahu terus menggempur benteng Garuda sebaik wisel permainan dimulakan, pemain berusia 26 tahun itu mahu momentum kemenangan ke atas Laos dapat dikekalkan dalam misi mencari kemenangan terpenting pada Piala Suzuki AFF 2012.

Tambahnya, tidak kira siapa sahaja menjaringkan gol, dia tidak mahu rakan-rakannya sama sekali mensia-siakan peluang yang terhidang bagi membunuh api perjuangan pemain Indonesia di awal perlawanan.

“Dapat sahaja peluang, manfaatkanlah peluang. Saya tidak kisah mana-mana pemain menjaringkan gol kerana tiga mata dalam perlawanan ini amat penting.

‘‘Bagi saya secara peribadi, menjaringkan gol sulung pada Piala Suzuki AFF memang menjadi impian saya dan kini saya berharap mahu mendapatkan jaringan dari situasi gol padang.

“Memang saya lega kerana dapat menemui sentuhan jaringan daripada sepakan percuma dan berharap ia akan terus terjadi semasa menentang Indonesia nanti.

“Namun, bukan itu menjadi misi saya, selagi bola itu bergolek masuk mencecah ke dalam gawang, itu paling utama," katanya selepas sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM, semalam.

Menjelaskan kekuatan Garuda, Safiq berkata, dia tidak mengenali pemain Indonesia di bahagian tengah tetapi dia tidak mahu memikirkan terlalu mendalam mengenai pasukan lawan.

“Penguasaan di bahagian tengah memang cukup penting dan saya berharap siapa sahaja gandingan saya esok (hari ini), mampu mengekang penguasaan bola Indonesia.

“Kebanyakan pemain Indonesia yang dulu (skuad Piala Suzuki AFF 2010), saya kenal corak permainannya, namun tidak pada skuad kali ini.

“Bagaimanapun, itu tidak penting, kita sebaliknya perlu menumpukan perhatian kepada aksi sendiri dan mempamerkan aksi terbaik di hadapan penonton sendiri," ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121201/su_02/Gol-awal-jadi-penentu---Safiq#ixzz45v19rkPj © Utusan Melayu (M) Bhd

Safiq belum puas buru gol

05 Disember 2014 12:52 AM

PETALING JAYA – Pemain tengah Harimau Malaya, Safiq Rahim semakin bernafsu memburu jaringan buat pasukan negara menjelang pertemuan separuh akhir pertama Piala AFF menentang Vietnam Ahad ini di Stadium Shah Alam.
PENYERANG skuad Harimau Malaya, Norsahrul Idlan Talaha (kiri) diasak oleh pemain pertahanan Zubir Azmi semasa menjalani sesi latihan di Petaling Jaya semalam dalam persediaan menentang Vietnam Ahad ini.
Ditambah baru mendapat gela­ran Pemain Terbaik Mingguan Asia Tenggara oleh portal Goal.com, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berikrar untuk memastikan sentuhan magis yang ditunjukkan ketika bertemu Thailand dan Singapura akan diteruskan momentumnya bagi menggempur kubu Vietnam.
“Tiga hari selepas kami berdepan Singapura, saya harap mampu mengekalkan kecergasan ini, tambahan saya baru sahaja pulih daripada kecederaan. Saya berharap mampu memberikan lebih daripada apa yang ditunjukkan sebelum ini.
“Saya memerlukan motivasi untuk terus mempamerkan apa yang saya tunjukkan setakat ini, saya belum puas lagi dengan apa yang diberikan...kalau boleh saya mahu mendapatkan jaringan lagi,” katanya ketika ditemui semalam.
Safiq membuat gerakan solo untuk membantu Harimau Malaya mendahului 2-1 ketika menentang Thailand di peringkat Kumpulan B di Singapura.
Walaupun Malaysia akhirnya tewas 3-2, namun jaringan Safiq itu dianggap yang terbaik dalam kempen Piala AFF edisi ke-10 setakat ini apabila dia memperdayakan tiga pertahanan lawan sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol Kawin Thammasatchanan.
Pemain tengah berusia 28 tahun itu yang disebut-sebut bakal menggalas tugas selaku ketua pasukan Harimau Malaya selepas penggantungan Shukor Adan telah menja­ringkan dua gol setakat ini.
Sementara itu, penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha, berharap mereka telah belajar daripada apa yang berlaku pada perlawanan persahabatan dengan Vietnam 16 November lepas.
“Kita mungkin boleh memenangi perlawanan itu lebih awal jika memanfaatkan banyak peluang di separuh masa pertama dan mendahului de­ngan kelebihan dua ke tiga jaringan,” katanya.
“Jika mendapat peluang, kami tidak boleh sia-siakan supaya boleh mendapatkan kemenangan lebih awal dan membunuh semangat lawan untuk bangkit,” katanya.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safiq-belum-puas-buru-gol-1.32671#sthash.FZHk0ixT.dpuf

Kalau dah rezeki – Safiq

30 November 2014 1:09 AM
SINGAPURA – “Sebelum melakukan sepakan, dalam hati saya bercakap satu perkara..kalau dah memang rezeki, bola ini memang akan ma­suk dan saya memang berada di konsentrasi tertinggi tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.”

Itu kata penjaring gol kedua negara, Safiq Rahim selepas membantu Harimau Malaya melangkah ke separuh akhir Piala AFF dengan membenam Singapura 3-1 di Stadium Nasional, Kallang semalam.
Mengambil keputusan berani melakukan sepakan penalti yang menjadi hala tuju pasukan negara dalam Piala AFF, Safiq dengan tenang memperdayakan penjaga gol Singapura, Hassan Sunny apabila bola menuju ke sebelah kanan sekali gus membenam Singa di laman sendiri.

“Masih ada semangat dalam kalangan pemain walaupun Si­ngapura berjaya meraih gol penyamaan di hujung permainan.

"Jika bagi komitmen 100 peratus sebelum wisel berakhir, kami masih ada peluang.

“Dalam bola sepak, perkara ini biasa..sesiapa yang buat silap, mereka akan kena.

"Nyata kami berjaya mengambil kesempatan atas apa yang berlaku,” katanya yang menjaringkan gol kedua dalam Piala AFF kali ini.

Tambah Safiq, dia berasakan aura 2010 seakan-akan sudah kembali dalam kem Harimau Malaya dan berharap mereka mampu me­ngulangi kejayaan yang sama ketika bertemu Vietnam pada separuh akhir.

“Moral dalam kalangan rakan sepasukan jelas begitu tinggi ketika ini, rasa seperti 2010.

“Harap kami meneruskan momentum ini apabila bertemu Viet­nam,” katanya, yang menjadi kapten Harimau Malaya ketika muncul juara empat tahun lalu.

Sementara itu jurulatih Singapura, Bernd Stange menerima kekalahan dengan hati terbuka.

Dia mengakui sepakan penalti kepada Malaysia selepas Shakir Hamzah menolak Amri Yahyah pada minit ke-90 wajar diberikan.

“Malaysia menutup ruang kepada kami untuk bermain sepanjang perlawanan dan rombakan di bahagian pertahanan jelas memberi kesan kepada persembahan kami secara keseluruhan.

“Sepakan penalti adalah hak pengadil dan itu peraturan yang saya belajar.

“Berdasarkan apa yang saya lihat pada pandangan pertama, ia bukan penalti tetapi saya mahu lihat dahulu ulang tayang video,” katanya. – MINGGUAN
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kalau-dah-rezeki-8211-safiq-1.30716#sthash.AcH4s6dq.dpuf

JDT rehatkan kapten Safiq

MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI  |  13 April 2016 12:39 AM
SAFIQ RAHIM  mungkin direhatkan dalam perlawanan menentang Lao
SAFIQ RAHIM mungkin direhatkan dalam perlawanan menentang Lao Toyota FC di Vientiane hari ini bagi membolehkan JDT melakukan persiapan menjelang separuh akhir Piala FA, Sabtu ini.
JOHOR BAHRU 12 April – Pemain Terbaik Piala AFC musim lalu, Safiq Rahim dijangka tidak diturunkan apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Lao Toyota FC di Stadium Nasional, Vientiane, Laos, esok.
Kekosongan jawatan kapten yang ditinggalkan oleh bintang tengah kebangsan itu akan diisi pemain pertahanan, Aidil Zafuan Abd. Radzak.
Pengendali skuad Harimau Selatan, Mario Gomez memberitahu, Safiq akan direhatkan sementara bagi memberi tumpuan kepada saingan domestik khususnya Liga Super dan Piala FA.
"Tanggungjawab sebagai ketua pasukan bakal diberikan kepada Aidil dan dia perlu memainkan peranan penting dalam memastikan kesemua pemain sentiasa fokus ketika di atas padang.
"Walaupun Safiq direhatkan, saya yakin JDT mampu memberi persembahan terbaik bagi mengutip tiga mata penuh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Juara bertahan Piala AFC tersebut membawa bekalan selesa dan dijangka mengekalkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan H, Piala AFC setelah mencatat kemenangan 3-0 ke atas Lao Toyota FC dalam perlawanan pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 16 Mac lalu.
Menurut Gomez lagi, walaupun pasukannya kini mengharungi jadual perlawanan padat, beliau yakin anak-anak buahnya mampu mengekalkan momentum positif yang dicatat selama ini.
"Tidak dinafikan jadual perlawanan kami padat, selain Piala AFC, kami juga beraksi dalam saingan Liga Super dan Piala FA di peringkat domestik.
"Tahun ini kami menyasarkan ketiga-tiga kejohanan ini dan pemain harus memberi yang terbaik dalam setiap perlawanan yang ditempuh mereka bagi mendapatkan keputusan positif," ujarnya.
Selepas mengharungi tiga perlawanan, JDT kini mengungguli Kumpulan H dengan mengumpul sembilan mata maksimum, malah skuad Harimau Selatan memegang rekod jaringan yang besar 12 dan hanya dibolisi sekali.
Sejurus kembali ke tanah air, anak-anak buah Gomez perlu melakukan persiapan dalam tempoh yang singkat untuk menentang naib juara Piala Malaysia, Kedah pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-rehatkan-kapten-safiq-1.253734#sthash.mFkdjP6I.dpuf

Budak buta impi jumpa Safiq

Oleh AIN SAFRE BIDIN
 
ERWAN yang cacat penglihatan menunjukkan tanda bagus di samping poster dan keratan gambar Safiq di dinding rumahnya di Kampung Sungai Galah, Pasir Salak semalam.

PASIR SALAK – Pelik tapi benar. Seorang remaja istimewa Muhamad Erwan Shah Mohd. Fazli, 13, yang dilahirkan buta masih mampu menjadi peminat nombor satu kapten Johor Darul Takzim (Johor DT), Mohd. Safiq Rahim hanya menerusi pancaindera pendengaran.

Uniknya minat mendalam remaja buta itu terhadap Safiq, terbit selepas dia kerap mendengar pengulas sukan menyebut nama pemain berkenaan di kaca televisyen sewaktu Safiq beraksi untuk pasukan JDT atau kebangsaan.

Bapa kanak-kanak itu, Mohd. Fazli Abdul Aziz, 34, berkata, anaknya yang mempunyai penyakit urat saraf ketika lahir sangat meminati Safiq sejak berusia 10 tahun lagi.

“Nama Safiq yang sentiasa meniti di bibir pengulas sukan membuatkan hati anak saya tertarik untuk mengetahui dengan lebih dalam siapa Safiq terutamanya apabila dia sering menjaringkan gol.

“Meskipun dunianya gelap, tapi keghairahannya terhadap Safiq begitu luar biasa. Dia akan menjadi terlalu gembira bila ‘mendengar’ Safiq beraksi tidak kira untuk JDT mahupun skuad kebangsaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Sungai Galah di sini baru-baru ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0415&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz45tgJxhbd Hakcipta terpelihara

Sabtu, 2 April 2016

Johor DT tepati ramalan

Johor DT tepati ramalan
 
PENYERANG Johor DT, Mohd. Amirul Hadi Zainal (depan) melepaskan tandukan kencang ke arah pintu gol pasukan PDRM pada aksi suku akhir kedua Superbest Power Piala FA di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin malam tadi yang berkesudahan Harimau Selatan menang 5-2.

JOHOR Darul Takzim (Johor DT) melengkapkan empat pasukan yang layak ke saingan separuh akhir Superbest Power Piala FA 2016 apabila menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 5-2 pada aksi kedua suku akhir di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Skuad bimbingan Mario Gomez itu meneruskan kemaraan dengan kelebihan agregat 6-2 selepas turut meraih kemenangan 1-0 pada aksi pertama di Stadium Hang Jebat Melaka pada 19 Mac lalu.

Lawan yang akan menanti mereka di separuh akhir nanti ialah Kedah yang turut mara selepas menewaskan Sabah dengan agregat 3-2 malam kelmarin.

Dua lagi pasukan yang melengkapkan tempat pada separuh akhir ialah Perak dan PKNS FC.

Pada perlawanan malam tadi, Harimau Selatan tampil dengan kelas tersendiri apabila mendahului perlawanan seawal minit ke-15 menerusi jaringan Pereyra Diaz dan dia sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-29 untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Kapten Safiq Rahim terus meletakkan Johor DT dalam keadaan selesa apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-40 sebelum Azniee Taib meledak gol keempat pasukan tuan rumah pada minit ke-42 menerusi percubaan dari luar kotak penalti.

Walaupun ketinggalan 0-4, ia tidak mematahkan semangat pemain PDRM untuk meloloskan diri dan usaha mereka berhasil pada minit ke-49 menerusi jaringan Andrezinho sebelum Ahmad Nizam Rodzi menjadikan kedudukan 2-4 menerusi jaringannya pada minit ke-63.

Begitupun, Juan Martín Lucero meneruskan kecemerlangan Harimau Selatan apabila menjaringkan gol kelima pada minit ke-66 dan keputusan 5-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

“Ini merupakan malam gemilang buat Johor DT dan para pemain telah menunjukkan kesungguhan untuk meraih kemenangan,” jelas Gomez.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz44iRfN0du Hakcipta terpelihara

JADUAL SUKU AKHIR KEDUA PIALA FA


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

JDT MELAWAN PDRM
STADIUM AN SRI HASSAN YUNOS
JAM -9.00 MALAM

SIARAN LANGSUNG TV9

Safiq yakin di sebalik kelebihan tipis

01 April 2016 12:07 AM
KUALA LUMPUR – Di sebalik ke­selesaan pasukan PKNS FC yang hampir pasti melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA, tiga pasukan lagi pilihan masih belum mampu menarik nafas lega apabila mereka hanya memiliki kelebihan tipis ke atas lawan masing-masing.
 
Safiq Rahim
Bagaimanapun Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah tidak dijangka akan menghadapi masalah, walaupun memiliki ke­lebihan satu gol di tempat lawan, apabila masing-masing melayan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah di gelanggang sendiri.
Malah, pasukan Harimau Selatan memiliki kelebihan satu hari rehat apabila hanya akan bermain pada malam esok manakala tiga lagi perlawanan berlangsung malam ini.
Pasukan Perak pula bakal berdepan laluan getir apabila bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang menentang Kuala Lumpur yang kini berada dalam prestasi cemerlang dalam kempen Liga Perdana sebagai pendahulu.
Walaupun mereka dilihat sebagai pasukan pilihan, ketua pasukan JDT Safiq Rahim mahu memastikan rekod bersih di Larkin dapat dikekalkan dan mengingatkan rakan sepasukannya agar mempamerkan permainan terbaik mereka dalam aksi suku akhir kedua nanti.
Malah pemain tengah Harimau Malaysia itu turut berharap penyokong akan memenuhi stadium untuk memberi sokongan padu bagi menaikkan semangat pemain-pemain Harimau Selatan dan optimis pasukannya mampu melangkah ke peringkat separuh akhir.
“Paling utama adalah menang dan mengekalkan rekod tanpa kalah di Larkin tetapi kejayaan itu akan hadir sekiranya semua pemain mampu memberikan aksi 100 peratus dalam perlawanan Sabtu ini.
“Kemenangan 1-0 dalam suku akhir pertama bukan lagi jaminan yang selesa kerana pasukan PDRM antara pasukan yang mampu memberi saingan sengit tetapi saya yakin kami mampu melangkah ke peringkat separuh akhir dengan kerjasama sepasukan.
“Siapa yang menjaringkan gol tidak penting...jika saya dapat peluang yang baik pastinya akan saya manfaatkannya,” katanya ketika dihubungi semalam.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safiq-yakin-di-sebalik-kelebihan-tipis-1.207087#sthash.j1HMDIvz.dpuf

Jumaat, 1 April 2016

Sathia buat rombakan hadapi Vietnam

ARKIB : 01/12/2007
KORAT – Sayap kiri, Nor Farhan Muhammad sah terlepas perlawanan sulung menentang Vietnam dalam Kumpulan B hari ini gara-gara belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali.

Ketiadaannya disahkan oleh jurulatih negara, B. Sathianathan sekali gus mungkin mendorong aksi anak buahnya pincang di bahagian tengah.

Khidmat bek tengah, Aidil Zafuan Radzak pula terpaksa dilupakan gara-gara penggantungan dua perlawanan dalam kelayakan Piala Dunia, lalu.

‘‘Saya akan menurunkan S. Subramaniam di tempat kegemaran Aidil itu dan bergandingan dengan Syamsol Sabtu sambil diapit oleh Daudsu Jamaluddin dan Sumardi Hajalan. Safiq Rahim atau Norshahrul Idlan Talaha.

‘‘Syed Adney Syed Hussein kekal selaku penjaga gol utama dan gandingan serangan Malaysia bakal menampilkan Safee Sali dan Zaquan Adha Radzak,” katanya pada sesi latihan petang, semalam di stadium berkenaan menjelang perlawanan pukul 3.30 petang hari ini.

Menurut Sathianathan, ketiadaan Aidil tetap dirasai tetapi sebagai jurulatih, dia perlu meyakini kemampuan Subramaniam sebagai penggantinya untuk menguatkan tulang belakang Malaysia daripada asakan pantas Vietnam, pemenang pingat perak Sukan SEA Filipina 2005.

Vietnam menewaskan Malaysia 2-1 pada perlawanan separuh akhir di Bacolod City , dua tahun lalu sebelum skuad bimbingan Norizan Bakar ketika itu meraih gangsa dengan menewaskan Indonesia 1-0.

‘‘Vietnam sebuah pasukan yang berpengalaman. Mereka membariskan hampir kesemua skuad Kelayakan Olimpik malah saya dapati antara lima hingga enam pemain daripada Sukan SEA Filipina 2005 dan Vietnam 2003 lalu masih boleh bermain di Korat,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Vietnam , Alfred Riedl pula menyifatkan keputusan seri sudah memadai buat kedua-dua pasukannya walaupun masing-masing tetap mengidamkan kemenangan dan satu permulaan yang meyakinkan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz44cbjP7C4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia bangkit - Skuad negara hidupkan peluang benam Laos 4-0


 

ARKIB : 04/12/2007
Daripada: ABDUL HAFIZ AHMAD
MOHD. Khyril Muhymeen (tengah) diasak oleh dua pemain Laos dalam saingan bola sepak Sukan SEA di Korat, semalam. Malaysia menang 3-0.

KORAT – Malaysia menghidupkan semula peluang ke separuh akhir bola sepak lelaki dengan membenam Laos 4-0 pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Surapala Keetha Sathan Universiti Teknologi Suranaree, semalam.

Kemenangan menerusi dua jaringan Safee Sali pada minit ke-75 dan 90, Amirulhadi Zainal (67) dan Safiq Rahim (83) ini turut memulihkan semangat skuad bawah 23 tahun negara selepas tewas 1-3 kepada Vietnam, Sabtu lalu.

Anak buah B. Sathianathan dikekang tanpa jaringan oleh Laos sehingga 45 minit pertama yang cuba memburu kesudahan serupa seperti ketika mengikat Singapura, Sabtu lalu biarpun beroleh tidak kurang empat percubaan yang berpotensi jaringan pada minit ke-25 hingga 27 dan 34.

Kerap kali Malaysia yang membuat sedikit rombakan dengan mula menurunkan Chun Keng Hong dan ketua pasukan, Azi Shahril Azmi untuk menggantikan Syamsol Sabtu dan Khyril Muhymeen Zambri, dihampakan oleh kecekapan penjaga gol Laos, Toulakham Sitthidaphong.

Tandukan Zaquan Adha Radzak dan rembatan kaki kiri diselamatkannya, begitu juga dengan percubaan Amirulhadi Zainal hasil umpanan Safee sehinggalah kemasukan Khyril pada babak kedua untuk menggantikan Keng Hong, mengubah corak serangan Malaysia.

Satu hantaran lambung Khyril yang tepat dari sebelah kanan membolehkan Amirulhadi menanduk masuk untuk membawa Malaysia memecahkan kebuntuan kedudukan dan kekebalan Toulakham pada minit ke-67.

Minit ke-75 menyaksikan gawang Laos bocor lagi, kali ini menerusi tandukan Safee, penyerang yang dikatakan mirip gaya Mokhtar Dahari yang menyudahkan umpanan lintang gandingan serangannya, Zaquan.

Gol ketiga Malaysia tiba pada minit ke-83 hasil kerjasama serampang tiga mata dengan dimulakan umpanan leret Zaquan kepada Safee yang kemudiannya menolak untuk rembatan kaki kiri Safiq Rahim.

Safee membuktikan sentuhan penyudahnya yang cukup berbisa terhadap Laos setelah melakukan pusingan badan mengelirukan benteng Laos sebelum melepaskan rembatan deras mengatasi Toulakham lagi pada minit terakhir permainan.

Malaysia bagaimanapun mesti menewaskan Singapura dalam perlawanan terakhirnya, Sabtu ini untuk menjamin tempat ke separuh akhir selepas republik jiran itu mengejutkan pemenang perak temasya Filipina 2005, Vietnam 3-1, semalam.

Kata Sathianathan: ‘‘Kami agak sukar menembusi Laos pada mulanya tetapi hanya setelah gol pertama diperoleh, barulah semuanya berjalan lancar dan kami mampu meraih tiga mata. Kami hanya mahu menang ke atas Singapura selepas ini.

“Saya kehilangan beberapa pemain kerana kecederaan tetapi kami ada rehat lima hari untuk memulihkan diri. Saya juga perlu menyemak siapa yang sudah menerima dua kad kuning dan bakal terlepas perlawanan terakhir.”

Skuad negara bakal kehilangan Zaquan apabila menentang Singapura kerana beroleh dua kad kuning dengan Vietnam dan Laos tetapi akan memiliki semula khidmat abang kembarnya, Aidil Zafuan Radzak yang selesai menjalani penggantungan dua perlawanan ekoran Kelayakan Piala Dunia, Oktober lalu.

MALAYSIA

Syed Adney Syed Hussein, Azi Shahril Azmi (Norshahrul Idlan Talaha), S. Subramaniam, Bunyamin Umar, Chun Keng Hong (Khyril Muhymeen Zambri), Zaquan Adha Radzak, Amirulhadi Zainal (Samransak Kram), Safiq Rahim, Daudsu Jamaludin, Safee Sali, Sumardi Hajalan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz44cPLnKCj © Utusan Melayu (M) Bhd

Kalah tapi mencabar

ARKIB : 04/12/2006
DOHA – Cabaran Malaysia untuk mengintai peluang ke suku akhir acara bola sepak lelaki tertutup apabila seperti dijangka, kalah kepada pasukan pilihan, China 1-3 pada perlawanan kedua mereka dalam Kumpulan E di Stadium al-Arabi di sini malam tadi.

Malaysia, yang kalah dengan angka yang sama kepada Oman dalam perlawanan pertamanya minggu lepas, akan bertemu Iraq, Rabu ini untuk melengkapkan jadual manakala China semakin hampir untuk mara ke pusingan berikutnya selepas meraih enam mata.

China yang jelas memiliki kelebihan saiz fizikal menguasai hampir keseluruhan permainan dengan larian dan umpanan pantas yang membuatkan pemain-pemain negara sekadar mampu mengekori mereka.

Malaysia hanya mampu bertahan sementara China, yang menang 1-0 ke atas Iraq sebelum ini, kecewa pada awal permainan apabila beberapa peluang di depan gawang sama ada tersasar ataupun dikekang oleh ketangkasan Syed Adney Syed Hussain.

Peluang terbaik China mula hadir pada minit ke-17 tetapiZhu Ting menyepak tinggi dari hujung kawasan gol dan kemudian kecewa apabila Syed Adney melayangkan badan untuk menepis keluar tandukannya pada minit ke-25.

Namun, kesilapan kecil penjaga gol Selangor itu pada minit ke-41 membawa padah besar gagal menangkap kemas sepakan bebas ketua pasukan China, Zheng Zhi lantas Gao Lin menerpa untuk menyepak masuk gol pertama pasukannya.

Seminit kemudian, Syed Adney diuji pula oleh Feng Xiaoting yang memaksanya pantas merebahkan badan untuk menangkap percubaan deras pertahanan kiri itu.

Babak selepas rehat tiada bezanya malah pergerakan China nampak semakin kemas dan hanya memerlukan tujuh minit babak kedua untuk mendahului 2-0.

Gol berpunca dari umpanan jauh dari bahagian pertahanan yang ditanduk ke dalam kawasan gol oleh Zhu Ting untuk Gao Lin dengan tenang menyepak masuk.

Ketika China nampak semakin selesa dan mengambil peluang mereka secara sambil lewa, pemain tengah Telekom Melaka, Mohd. Hardi Jaafar mengejutkan mereka daripada lamunan apabila sepakan bebasnya dari jarak 25 meter melayang ke penjuru kanan gawang untuk menewaskan penjaga gol Wang Dalei bagi menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-66.

Ia adalah gol kedua Hardi di sini selepas menjaringkan gol tunggal Malaysia sewaktu menentang Oman.

China yang tersentak meningkatkan asakan dan menambah gol ketiga mereka empat minit kemudian.

MALAYSIA - Syed Adney Syed Hussain, Ronny Harun, Norhafiz Zamani Misbah, Ahmad Azlan Zainal, Mohd. Kaironnisam Shahabuddin, Safiq Rahim, Mohamad Hardi Jaafar, Mohd. Nor Farhan, Mohd. Khyril Muhaymeen Zambri, Saramsak Kram, Azlan Ismail

CHINA - Wang Dalei, Liu yu, Feng Xioting, Sun Xiang, Zhao Ming, Zheng Zhi, Chen Tao, Shen Longyuan, Zhou Haibin, Zhu Ting, Gao Lin.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz44cHwNgDe © Utusan Melayu (M) Bhd

Misi mesti menang – Norizan

ARKIB : 23/01/2007
Oleh AMRAN MULUP
PEMAIN-pemain negara tekun menjalani latihan melakukan set piece menjaringkan gol di Stadium Shah Alam, semalam dengan Hairuddin Omar (kiri) dan Nizaruddin Yusof (dua dari kiri) dilihat menjadi tumpuan untuk membolosi kubu Singapura apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF, hari ini. – Gambar NASIRUDDIN YAZID.

PETALING JAYA – Kelebihan bermain di tempat sendiri dengan sokongan moral peminat bakal menyuntik kekuatan skuad bola sepak kebangsaan berhajat menewaskan penyandang juara Singapura pada saingan separuh akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Asean di Stadium Shah Alam, malam ini.

Peluang yang terhidang tidak akan disia-siakan malah kesebelasan utama yang bakal diturunkan oleh jurulatih Norizan Bakar (gambar) tidak akan menoleh ke belakang lagi.

Sebaliknya, mereka mahu memahatkan kemenangan awal untuk dijadikan sebagai bekalan terbaik sebelum berkunjung ke kota Singapura bagi mengharungi saingan separuh akhir kedua Sabtu ini.

Biarpun tampak longlai aksi di peringkat kumpulan di Bangkok sekadar menewaskan Filipina 4-0, seri 0-0 bertemu Myanmar dan tewas 1-0 kepada juara tiga kali Thailand, namun jurulatih Norizan Bakar percaya aksi di separuh akhir bakal membawa kelainan.

Berdepan Singapura yang turun selaku penyandang juara nyata tidak begitu meresahkan Norizan kerana pertemuan kedua-dua pasukan sudah menjadi lumrah hampir setiap tahun.

‘‘Saya menjangkakan pertemuan yang cukup sengit seperti tahun lalu apabila kita seri dalam dua perlawanan dan keadaan ini bakal terjadi lagi malam esok (malam ini).

‘‘Namun kehadiran pemain kebangsaan adalah untuk menang kerana ini adalah peluang terbaik yang tidak sepatutnya mereka sia-siakan, entah bila lagi kita akan dapat peluang macam ini.

‘‘Saya yakin pemain akan dapat memberikan persembahan terbaik tidak seperti aksi sewaktu saingan di peringkat kumpulan,’’ ujar Norizan dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Buat Norizan, beliau mahu mengikut jejak langkah bekas jurulatih kebangsaan Wan Jamak Wan Hassan yang membawa skuad kebangsaan mara ke perlawanan akhir edisi pertama kejohanan ini tetapi ditewaskan oleh Thailand 1-0 di Singapura pada 1996.

Sejak itu, penampilan skuad kebangsaan bersilih ganti bertukar jurulatih sekadar menyaksikan kemaraan kita hingga ke separuh akhir pada edisi 2000, 2002 dan 2004.

Dua tahun lalu di bawah jurulatih Bertalan Bisckei kita hampir-hampir mara ke perlawanan akhir setelah menewaskan Indonesia 2-1 di Jakarta tetapi tewas 4-1 beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Norizan dijangka menurunkan kesebelasan utama yang sama sewaktu menentang Thailand sambil menyaksikan satu pertukaran apabila Fauzi Nan dijangka mengambil alih kekosongan tempat Irwan Fadli Idrus yang digantung satu perlawanan.

Sepanjang tiga hari sesi latihan melihat gandingan pertahanan menerusi Fauzi Nan, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd. Khaironnisam dan V. Thirumurugan untuk menyekat kelincahan penjaring terbanyak Singapura, Mohd. Noh Alam Shah.

Manakala bahagian tengah masih disandarkan harapan ke atas gandingan Mohd. Hardi Jaafar, Muhammad Shukor Adan, K. Nanthakumar dan Eddy Helmi Manan.

Dua penyerang veteran, Mohd. Nizaruddin Yusof dan Hairuddin Omar terus mendapat kepercayaan mengemudi jentera serangan.

‘‘Saya mengharapkan kehadiran penyokong akan dapat menyemarakkan semangat pemain dan kita turun untuk menang.

‘‘Pemain juga sedar tanggungjawab mereka untuk membawa kejayaan dan membuktikan kepada rakyat betapa kita masih ada pasukan yang baik.

‘‘Untuk menyakinkan semula peminat hanyalah kemenangan dapat mengubat segala kritikan dan cemuhan yang dilemparkan sebelum ini,’’ ujarnya.

Buat Norizan mengharapkan tuah dengan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk mengukir kemenangan sebagai bekalan terbaik untuk mengharungi Singapura di Stadium Nasional negara itu Sabtu ini.


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz44bncN0u7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Myanmar buat Malaysia tertekan

ARKIB : 15/01/2007
PEMAIN negara, Mohammad Hardi Jaafar (no.10) dikawal ketat dua pemain Myanmar, Zaw Lynn Tun (no.4) dan Aung Maung Tun (no.7) ketika aksi Kumpulan A Piala AFF di Bangkok, semalam. Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 0-0. – AFP.

BANGKOK – Malaysia berhadapan laluan sukar untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Asean (AFF) selepas seri tanpa jaringan dengan juara Piala Merdeka, Myanmar di Stadium Supachalasai di sini semalam.

Malaysia akan menentang tuan rumah Thailand dalam perlawanan akhir Kumpulan A esok manakala Myanmar mempunyai tugas yang agak mudah apabila bertemu Filipina.

Skuad kebangsaan turun ke padang membariskan pemain sama yang menumpaskan Filipina 4-0 Jumaat lepas manakala lawan mereka, yang memberikan gol pada waktu kecederaan ketika terikat 1-1 dengan Thailand, turut melakukan perubahan kecil.

Dengan perlawanan yang sukar menentang Thailand esok, Malaysia berusaha mendapatkan gol awal bagi memastikan kemenangan dan hanya memerlukan lapan minit untuk menguji pertahanan Myanmar namun tandukan Hairuddin Omar tersasar.

Namun serangan balas Myanmar nyaris membuahkan hasil apabila rembatan Yan Paing mengenai tiang gol kanan ketika penjaga gol Malaysia Mohd. Syamsuri sudahpun tewas.

Pada minit ke-18, Mohd. Nizaruddin Yusof, yang dipilih sebagai CNN’s World Sport Play of the Day ketika melakukan aksi sepakan gunting mengagumkan pada Jumaat lalu, membuat rembatan kencang yang berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Myanmar berusia 16 tahun, Kyaw Zin Htet.

Malaysia menguasai perlawanan dengan baik namun sukar menembusi benteng pertahanan Myanmar, sehinggalah pada minit ke-35 apabila pemain muda Mohd. Khyril Muhymeen melakukan larian solo ke kotak penalti tetapi sepakannya yang lemah terus ke dakapan Zin Htet.

Seketika kemudian, Myanmar memperoleh satu lagi peluang keemasan menerusi Khin Maung Tun yang rembatan jarak jauhnya diselamatkan oleh Mohd. Syamsuri.

Sementara itu dalam perlawanan kedua pula tuan rumah, Thailand menepati ramalan apabila berjaya mencatat kemenangan pertama apabila menewaskan Filipina 4-0.

MALAYSIA: Mohamad Syamsuri, Mohd. Fauzie Nan, Norhafiz Zamani Misbah, V. Thirumurugan (K. Nanthakumar), Mohd Khaironnisam, Muhammad Hardi Jaafar, Muhammad Shukor Adan, Mohd. Nizarudin Yusof (Safiq Rahim), Mohd. Khyril Muhmeen, Irwan Fadzli Idrus, Hairuddin Omar.

MYANMAR: Kyaw Zin Htet, Min Thu, Moe Win, Zaw Lynn Tun, Khin Maung Lwin, Khin Maung Tun, Aung Myo Thant, Aung Myint Aye (Kyaw Thu Ra), Yan Paing, Si Thu Win, Soe Thiha Aung.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz44Z8sxgom © Utusan Melayu (M) Bhd