Ahad, 25 Disember 2016

Safiq sedia buat kepulangan semula

25 Disember 2016 12:51 AM
Dari kiri  Khairul Fahmi Che Mat, Rizal Ghazali, Tan Cheng Hoe,
Dari kiri Khairul Fahmi Che Mat, Rizal Ghazali, Tan Cheng Hoe, Ahmad Hazwan Bakri dan Safiq Rahim bersama trofi yang dimenangi dalam Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016 di Kuala Lumpur, kelmarin. - MINGGUAN/MOHD. RIDUAN RIZAL AHMAD
KUALA LUMPUR 24 Dis. - Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim tidak menolak kemungkinan kembali menguatkan skuad Harimau Malaysia pada masa akan datang.
Bagaimanapun bekas perancang utama kebangsaan itu berkata, fokusnya pada masa ini adalah membantu JDT mengharungi musim 2017 yang mencabar dan memastikan mereka mempertahankan kejuaraan Liga Super yang dimenangi tiga tahun berturut-turut.
“Tidak mustahil...Saya tidak tolak kemungkinan itu (kembali menyertai skuad kebangsaan).
“Buat masa sekarang, saya fokus kepada JDT dahulu kerana musim hadapan cabaran sudah pasti semakin sengit,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2016 di Shah Alam, semalam.
Dalam majlis itu, Safiq diangkat sebagai Pemain Tengah Terbaik ABK 2016 buat kali keempat selepas merangkul anugerah sama pada 2011, 2012 dan 2015.
Sebelum ini, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita persaraan Safiq bersama tiga lagi pemain termasuk Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunanlan dan Mohd. Amirulhadi Zainal dengan alasan ingin memberi ruang kepada barisan pemain muda.
Sementara itu, Safiq turut memasang cita-cita untuk membantu JDT yang juga juara Piala AFC 2015 menjadi pasukan pertama dari Malaysia layak beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia, tahun hadapan.
“Memang menjadi sasaran kami untuk meraih keputusan baik dalam Liga Juara-Juara Asia
“Saya harap kali ini kita akan dapat keputusan yang positif ...tidak mustahil untuk kami beraksi di sana,” katanya.
Skuad Harimau Selatan musim hadapan akan diperkuatkan dengan kehadiran Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai ABK 2016, Ahmad Hazwan Bakri bersama dua lagi pemain Selangor, Mohd. Azrif Nasrulhaq dan Muhammad Nazmi Faiz Mansor serta Muhammad Safawi Rasid dari TFC II.

SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safiq-sedia-buat-kepulangan-semula-1.423969#sthash.73138INa.dpuf