Rabu, 8 November 2017

'Dia tak boleh lari, kena minta maaf'

 
SERBEGETH harap Safiq mohon maaf kepada penyokong bola sepak.
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my

KETUA pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim perlu tampil memohon maaf secara terbuka kepada seluruh penyokong bola sepak tanah air atas tindakannya yang mengeluarkan kata-kata kesat ketika meraikan kejayaan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Pengkritik bola sepak negara, Serbegeth Singh berkata, kenyataan Safiq bukan saja melanggar etika Fairplay atau Respect, malah ia turut mengguris perasaan kaum India kerana kata-kata kesat yang diluahkannya itu membawa maksud ‘kemaluan wanita’.

“Sebagai pemain profesional yang popular di Malaysia dan di rantau ini, Safiq harus melakukan sesuatu untuk menjernihkan keadaan.

“Dia tidak boleh lari atau berdiam diri kerana kesalahannya cukup besar dan boleh membawa contoh tidak baik kepada pemain muda.

“Saya rasa jalan terbaik ketika ini adalah tampil memohon maaf kepada penyokong di atas kesilapannya itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam aksi final bertemu Kedah itu, anak buah Ulisses Morais cemerlang menewaskan skuad Helang Merah 2-0 untuk menjulang Piala Malaysia yang tidak pernah dimenangi sejak kelab berkenaan ditubuhkan pada 2013.

Bagaimanapun, malam gemilang mereka sedikit tercemar dengan tindakan biadap Safiq apabila mengeluarkan kata-kata kesat di depan jurufoto yang sedang merakam detik manis kejayaan mereka.

Ujarnya lagi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga perlu menghukum ketua pasukan kebangsaan itu kerana ia dibimbangi akan memberi imej dan persepsi buruk kepada organisasi berkenaan.

“FAM sendiri pun hingga sekarang senyap. Sebelum ini pemain Pahang (Ahmad Syamim Yahya) pernah didenda kerana menunjukkan isyarat lucah kepada rakan sepasukannya sendiri.

“Jadi Safiq juga harus didenda, kalau tidak orang akan terus membenci FAM seperti mana isu mengenai pengadil yang dikatakan terlalu berat sebelah kepada JDT,” katanya.

Berdasarkan insiden sama yang pernah berlaku sebelum ini, Syamim didenda RM500 dan gantung satu perlawanan kerana melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM 2015 atas kelakuan yang menyinggung dan ‘Fair play’.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 11:29 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan