Jumaat, 15 April 2016

Safiq janji tebus maruah negara

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukani@utusan.com.my
Safiq Rahim
PETALING JAYA - Perjuangan demi maruah negara perlu diteruskan biarpun keperitan kekalahan 0-3 kepada Singapura pada perlawanan sulung Piala Suzuki AFF 2012 masih terasa.

Menjadikan pengalaman pahit itu sebagai pengajaran berguna, ketua pasukan skuad Harimau Malaya, Safiq Rahim mahu rakan-rakannya bangkit pada perlawanan menentang Laos dan mencari tiga mata penting bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir.

Seri atau kalah bermakna berakhirlah perjuangan Harimau Malaya di bumi sendiri.

Bakal pemain Johor pada musim depan itu yakin Harimau Malaya akan tampil dengan lebih bersemangat pada perlawanan malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Kami harus belajar daripada kesilapan daripada perlawanan lalu dan diri saya sendiri selaku kapten kesal dengan keputusan yang kami perolehi (kalah 3-0 kepada Singapura). Perlawanan dengan Laos kami wajib mendapatkan tiga mata, tidak boleh dapatkan keputusan seri atau kalah.

"Saya mahu mendapatkan keputusan yang baik pada perlawanan esok (hari ini) demi menghidupkan lagi peluang ke separuh akhir," katanya selepas sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM, semalam.

Lawan Harimau Malaya, Laos yang sebelum ini diramalkan bakal menjadi pasukan belasahan dalam Kumpulan B berjaya meraih satu mata berharga pada perlawanan pertama selepas seri 2-2 dengan Indonesia.

Ditanya mengenai persembahan cemerlang Laos pada perlawanan pembukaan yang dijangka menyukarkan peluang Malaysia meraih tiga mata, Safiq berkata, tahap permainan semua pasukan sebenarnya semakin baik dan tiada siapa boleh mendabik dada bahawa mereka adalah pasukan pilihan.

"Tahap kekuatan semua pasukan bagi saya sebenarnya sama, persaingan semakin sengit pada kejohanan Piala Suzuki AFF kali ini.

"Kalau sebuah pasukan bermain baik mereka akan dapatkan keputusan yang bagus, jika bermain dengan buruk maka buruklah keputusannya.

"Apa yang mustahak, adalah aksi pasukan kita sendiri pada perlawanan itu nanti, tidak perlu fikirkan aksi pasukan lawan," katanya.

Ketiadaan Norshahrul Idlan Talaha dalam pasukan juga tidak terlalu menggusarkan Safiq yang berharap sesiapa yang mengambil tempat bekas penyerang Kelantan itu dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

"Kalau boleh memang saya berharap dia dapat bermain namun jika tidak, saya yakin dengan rakan-rakan sepasukan lain yang akan menggantikan Norshahrul," katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121128/su_02/Safiq-janji-tebus-maruah-negara#ixzz45wlAQHyn © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan