Sabtu, 25 November 2017

Apa nasib Safiq?

Daripada Zulfaizan Mansor di Buriram dan Thailand
zulfaizan@nstp.com.my
 
HANYA Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang boleh menentukan sama ada kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim (gambar) akan berdepan hukuman atau sebaliknya.

Ia susulan tindakan perancang tengah JDT itu yang didakwa mencarut untuk melepaskan geram kepada pengkritiknya ketika meraikan kejayaan skuad Harimau Selatan menjulang kejuaraan sulung Piala Malaysia di Stadium Shah Alam Sabtu lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana ia adalah di bawah tanggungjawab Jawatankuasa Tatatertib.

“Perkara itu di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Tatatertib dan mereka yang akan buat (keputusan). Kalau ada kes, adalah dan kalau tiada kes, tiadalah. Saya tidak boleh komen lebih lanjut,” kata Hamidin ketika ditemui di sini, malam tadi.

Safiq didakwa melakukan perkara itu menerusi satu rakaman video menunjukkan dia meluahkan perkataan lucah yang menjadi viral di media sosial selepas perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT dan Kedah.

Susulan daripada itu, beberapa pihak menganggap FAM perlu menghukum Safiq selain meminta kapten Harimau Malaya itu membuat permohonan maaf secara terbuka.

Bagaimanapun Hamidin tidak menganggap perkara itu akan mengganggu fokus Safiq untuk beraksi pada perlawanan kedua berdepan Korea Utara dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium I-Mobile, Isnin ini.

“Saya tahu isu itu banyak dimainkan di media sosial sebelum ini. Tapi saya fikir Safiq adalah pemain berpengalaman, dia tahu bagaimana nak uruskan diri.

“Jika diturunkan pada aksi kedua berdepan Korea Utara nanti, saya yakin dia mampu kawal perasaan dan tekanan,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 11:33 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan