Khamis, 17 Mac 2016

Piala AFC: Safiq Rahim hero JDT kalahkan Lao Toyota

Thursday March 17, 2016
Pemain JDT Mohd Safee Mohd Sali (kiri) dihalang pemain Lao Toyota, Renshi Yamaguchi (kanan) untuk menguasai bola lebih lama di kawasan kotak penalti pada perlawanan Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, 16 Mac 2016. ― Foto Bernama
Pemain JDT Mohd Safee Mohd Sali (kiri) dihalang pemain Lao Toyota, Renshi Yamaguchi (kanan) untuk menguasai bola lebih lama di kawasan kotak penalti pada perlawanan Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, 16 Mac 2016. ― Foto Bernama

JOHOR BARU, 17 Mac ― Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengungguli carta Kumpulan H selepas menewaskan Lao Toyota FC 3-0 pada saingan Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, malam tadi.

Kesilapan demi kesilapan dilakukan pasukan pelawat pada separuh masa kedua memberi peluang kepada skuad Harimau Selatan menjaringkan dua daripada tiga gol, menerusi sepakan penalti.

Separuh masa pertama berlangsung hambar apabila kedua-dua pasukan masih mencari rentak dan gagal menyempurnakan peluang terhidang untuk menjaringkan gol.       

Bagaimanapun, percaturan Mario Gomez memasukkan kapten pasukan Safiq Rahim pada minit ke-55 berjaya mengubah rentak permainan JDT.

Hasilnya Safiq berjaya memecah kebuntuan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-61 dan 73, sekali gus menewaskan penjaga gol kelab dari Laos itu, Vathana Keodouangdeth.

JDT memperoleh sepakan penalti pertama apabila pemain pertahanan kelab pelawat itu, Takahiro Saito dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Syria, Hanna Hattab, setelah menampan bola dengan tangan ketika kekecohan di depan pintu gol juara Liga Laos, musim lepas itu.

Juara Piala AFC musim lepas itu, kemudian memperoleh sepakan penalti kedua selepas penyerang JDT, S. Chanthuru dijatuhkan pemain pertahanan lawan, Phattana Syvilay di dalam kawasan kotak penalti.

Sebelum itu, JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila S. Kunanlan  menerima kad kuning kedua pada minit ke-69, selepas membuat terjahan keras ke atas pemain kelab pelawat, Maitee.    

Mohd Amri Yahyah melengkapkan kemenangan bergaya JDT apabila menjaringkan gol ketiga pada waktu kecederaan, hasil hantaran Safiq.

Berikutan kemenangan itu, JDT kini mengutip sembilan mata menerusi tiga perlawanan dan hanya memerlukan tiga mata lagi untuk mara ke pusingan kedua Piala AFC.

JDT akan berdepan Bengaluru FC dari India pada 11 Mei ini. ― Bernama


- Sumber: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/piala-afc-safiq-rahim-hero-jdt-kalahkan-lao-toyota#sthash.W82Z1dzG.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan