Sabtu, 25 Mac 2017

Safiq, Amirul sedia buat pusingan U

25 MAC 2017
 Safiq, Amirul sedia buat Pusingan U
Safiq, Amirul sedia buat Pusingan U Safiq (kiri) dan Kunanlan antara pemain senior Harimau Malaysia yang telah bersara.
PERANCANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim tidak menolak kemungkinan akan kembali menyarung jersi kebangsaan bagi membimbing skuad negara, lapor SHAFIQ TINO.

Menurut pemain berusia 29 tahun itu, keputusan untuk kembali tetap diserahkan sepenuhnya kepada pengendali Harimau Malaysia sekiranya khidmatnya masih diperlukan.

“Kita pun tidak tahu apa sebenarnya yang akan terjadi pada masa akan datang, tetapi insya-ALLAH jika diberi peluang dan kepercayaan untuk kembali bermain bersama skuad negara saya akan buat yang terbaiklah.


“Saya juga mohon doa-doa yang terbaik serta tidak menafikan yang saya masih dahagakan lagi atau mahu bantu skuad negara pada masa depan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jika mahu kembali bersama skuad negara sekiranya tampuk pemerintahan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disahkan milik Tunku Ismail Sultan Ibrahim, semalam.

Safiq berkata, fokus utamanya sekarang hanyalah mahu  membantu Harimau Selatan mempertahan gelaran kejuaraan.

“Kami perlu bekerja lebih keras  mempertahankan segala yang telah kami bina sejak  beberapa tahun ini,” katanya.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Amirulhadi Zainal berkata,  beliau bersedia kembali menggalas tugas skuad negara.

“Selagi saya bergelar pemain, memang saya sentiasa bersedia tetapi semuanya saya serahkan kepada siapa pengendali skuad negara selepas ini.

“Dan kalau saya dipanggil pun untuk bermain semula kita tunggu dululah apa pembaharuan yang akan datang itu,” katanya.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 25.3.017

Jumaat, 24 Mac 2017

Safiq, Amirulhadi sedia pulang ke pangkuan Harimau Malaysia



AMIRULHADI ZAINAL
AMIRULHADI ZAINAL   

JOHOR BAHRU 24 Mac - Dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sebelum ini mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan bersedia kembali ke pangkuan Harimau Malaysia di bawah Kepemimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bakal diterajui Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Bekas kapten kebangsaan, Safiq Rahim dan Mohd. Amirulhadi Zainal, masing-masing menyatakan kesediaan menyarung jersi Malaysia seandainya khidmat mereka ditagih oleh pasukan.

Pada masa sama, Safiq yang juga ketua pasukan JDT turut melahirkan keyakinan terhadap Tunku Ismail untuk membawa perubahan dalam sukan bola sepak tanah air.

“Pada masa ini, saya mahu memberi keutamaan kepada JDT dan perkara lain yang sedang saya usahakan, tetapi kita tidak boleh jangka masa depan. Insya-Allah, saya bersedia berbuat demikian (menyarung jersi Malaysia) sekiranya diberi peluang pada masa depan.

“Apa jua keputusan atau perancangan pada masa depan itu kita tunggu,” kata Safiq ketika ditemui di Kafe SR8, di sini hari ini.

Sementara itu, Amirulhadi turut sependapat dengan rakan pasukannya dan tidak menolak kemungkinan menyarung semula jersi kebangsaan sekiranya diberi peluang.

“Tahniah kepada Tunku Mahkota Johor, saya yakin dengan kepemimpinan beliau pembaharuan akan berlaku dalam bola sepak negara selain bakal mendapat pendedahan lain lebih baik yang memberi manfaat kepada pasukan negara.

“Kalau saya dipanggil (menyertai skuad kebangsaan), Insya-Allah. Kita tunggu pembaharuan,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safiq-amirulhadi-sedia-pulang-ke-pangkuan-harimau-malaysia-1.461246#ixzz4cI4ktryF© Utusan Melayu (M) Bhd