Khamis, 31 Januari 2019

Jaga ‘periuk nasi’ kita – Safiq


ARKIB : 14/05/2011
PETALING JAYA - Ketua pasukan skuad negara, Safiq Rahim meminta rakan seperjuangan agar tidak mensia-siakan bakat masing-masing meskipun tertanya-tanya sama ada ‘penyakit’ rasuah bola sepak masih subur di negara ini.

“Kita sebagai pemain perlu menjalankan tanggungjawab di atas padang dan sentiasa beraksi dengan tahap terbaik buat pasukan.

‘‘Saya turut menasihatkan diri saya dan pemain lain bahawa Tuhan sudah berikan kita bakat, gunakanlah dengan sebaik mungkin.

“Fikirkan juga inilah ‘periuk nasi’ kita dan masa depan bola sepak tanah air. Jika anda sudah pilih karier ini (pemain bola sepak profesional), bermain betul-betul,” katanya yang ditemui selepas majlis pengumuman Kejohanan Piala Perdana Manchester United (MUPC) Nike 2011 di Damansara di sini, semalam.

Safiq menambah: “Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran itu (kes menjual perlawanan), namun saya tidak berasa masih ada yang mencurigakan dalam persaingan Liga Malaysia ketika ini kerana setiap perlawanan memang getir dan tidak mudah dimenangi atau meletakkan siapa kuat dan siapa lemah.”

Dia mengulas laporan agensi berita asing, Selasa lalu bahawa Ketua Keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Chris Eaton akan melawat Malaysia bersama sepasukan penyiasat berhubung dakwaan lebih 300 perlawanan di tiga benua, dipengaruhi sindiket mengatur keputusan perlawanan.

Mengulas penyenaraian semula penyerang handalan, Safee Sali dalam skuad pelatih negara bagi persahabatan menentang Hong Kong, 3 Jun ini, kata Safiq, “Inilah peluang untuk kami pemain lain mengambil dan berkongsi pengalamannya bermain dengan Pelita Jaya Indonesia dan gunakannya dalam perlawanan akan datang.”
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5eCOv00Ju
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 24 Januari 2019

Kita ada ramai penggempur

ARKIB : 11/02/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
AHMAD Fakri Saarani (kanan) berjaya memikat hati K. Rajagobal dengan aksi lincahnya ketika membantu Malaysia membenam Hong Kong 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Malaysia memiliki banyak pilihan penggempur berbisa yang kini berada pada tahap terbaik, kata jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal selepas melihat prestasi pasukannya ketika membenam Hong Kong 2-0 dalam aksi persahabatan, kelmarin.

Katanya, empat penyerang, Mohd. Safee Mohd. Sali, Ahmad Fakri Saarani, Norshahrul Idlan Talaha dan Shahrizal Mohd. Saad bermain dengan baik walaupun mereka tidak menghadiahkan gol dalam perlawanan tersebut.

Pada perlawanan kelmarin, Malaysia berjaya menjinakkan Hong Kong 2-0 hasil jaringan ketua pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-44 dan sayap kanan, Mohd. Amirulhadi Zainal, minit ke-91.

''Mereka bermain dengan baik selain dapat melakukan beberapa percubaan ketika perlawanan berlangsung.

''Saya yakin mereka mampu memperbaiki kelemahan yang ada sekiranya dapat menyertai beberapa lagi perlawanan kompetitif seperti ini.

''Malah semangat yang dipamerkan oleh pemain juga amat tinggi walaupun ada penyerang kita iaitu Norshahrul masih belum sepenuhnya berada dalam kecergasan terbaik,'' kata Rajagobal.

Sementara itu, jurulatih Hong Kong, Tsang Wai Chung turut mengakui permainan yang dipamerkan skuad kebangsaan amat baik berbanding pasukannya.

''Pada separuh masa pertama Malaysia membuatkan kami berada dalam tekanan sehingga sukar untuk fokus sepenuhnya.

''Bagaimanapun saya tetap berpuas hati dengan pemain kami terutama mereka yang bermain di posisi pertahanan,'' jelas Wai Chung.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5dW1R9A3E
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 23 Januari 2019

Harimau Malaya mengaum lagi

ARKIB : 10/02/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN, ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
 
PENYERANG Malaysia, Safee Sali (tengah) membuat percubaan sambil diasak pemain Hong Kong pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

SHAH ALAM - Skuad Harimau Malaya terus mempamerkan rentak konsisten selepas menjuarai Piala Suzuki AFF apabila garang menumpaskan Hong Kong 2-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam ini.

Satu gol dalam setiap separuh masa oleh kapten, Safiq Rahim pada minit ke-44 dan Mohd. Amirulhadi Zainal pada minit ke-91 sudah cukup memastikan 5,000 penonton yang hadir pulang dengan senyuman dalam perlawanan yang menyaksikan penguasaan penuh skuad negara.

Tiada banyak perubahan pemain dalam kesebelasan utama yang diturunkan oleh K. Rajagobal, kecuali Mohd.Aidil Zafuan kembali mendapat tempat yang meletakkan Mohd. Muslim Ahmad di bangku simpanan.

Selain itu, Mohamad Ashari Samsudin menjadi pilihan K. Rajagobal untuk diletakkan di posisi sayap kiri sementara K. Gurusamy mengisi posisi yang ditinggalkan oleh Amar Rohidan yang digugurkan kerana mengalami demam campak.

Harimau Malaya memberi amaran seawal minit ke-12 apabila rembatan padu penyerang sensasi, Safee Sali diselamatkan penjaga gol Hong Kong, Yapp Hung Fai sebelum singgah mengenai palang.

Selepas mengasak bertubi-tubi, gol pembakar semangat Malaysia akhirnya hadir pada minit ke-44.

Malaysia harus berterima kasih kepada kesilapan pertahanan Hong Kong, Deng Jinghuang yang terjatuh semasa cuba melakukan sepakan keluar di bahagian kiri pintu gol.

Safiq yang berada berhampiran Jinghuang pantas menyambar bola sebelum melarikan diri di hadapan pintu gol Hong Kong dan melepaskan rembatan leret yang menewaskan Hung Fai untuk gol pertama Malaysia.

Pada separuh masa kedua, Hong Kong yang tidak menghadirkan sebarang ancaman kepada kubu negara menampilkan perwatakan yang lebih agresif.

Hong Kong hampir mendapatkan gol penyamaan pada awal minit ke-47 menerusi rembatan padu Ye Jia, namun Khairul Fahmi tangkas menafikan hasrat lawan.

Harimau Malaya memperoleh kesempatan terbaik menjarakkan kedudukan pada minit ke-60 berpunca menerusi hantaran silang sebelah kiri Ashari tetapi tandukan Safee sekadar sipi di bahagian kanan pintu gol Hong Kong.

Percubaan Aidil menerusi percubaan leret menerusi sepakan percuma juga gagal membuahkan hasil walaupun Hung Fai sudah tertewas.

Malaysia terus kempunan apabila tiang pula menjadi penghalang kepada hasrat S. Kunanlan pada minit ke-70 walaupun sudah berjaya melepaskan rembatan di dalam kotak penalti tanpa sebarang tekanan dikenakan oleh pertahanan lawan.

Namun, kemasukan Amirulhadi yang menggantikan Ashari membuahkan hasil yang melakukans gerakan secara solo dan melepaskan rembatan dari arah tepi untuk kedudukan 2-0 pada minit ke-91.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5dRZRIhNw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia tundukkan Hong Kong 2-0 dalam aksi persahabatan


ARKIB : 09/02/2011
09/02/2011 10:40pm

KUALA LUMPUR 9 Feb – Skuad bola sepak kebangsaan berjaya mengalahkan Hong Kong 2-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam malam ini.

Kedua-dua gol Malaysia dijaringkan oleh ketua pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-44 serta Amirulhadi Zainal dalam masa kecederaan separuh masa kedua.

Ini merupakan perlawanan antarabangsa pertama skuad negara selepas muncul juara Piala AFF Suzuki baru-baru ini. – Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_40.htm#ixzz5dRTevcqJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

4,000 rai Safiq


 
Safiq Rahim diarak dengan kereta antik pada majlis meraikan pemain itu yang membantu Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF bulan lalu pada majlis khas di Taman Purnama Bestari Jaya, Kuala Selangor semalam. - UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi
 KUALA SELANGOR - Safiq Rahim yakin pasukannya, Selangor mampu menyaingi pencabar terkuat mereka, Negeri Sembilan pada Liga Malaysia musim ini.

Safiq, yang juga ketua pasukan kebangsaan berkata, jika pasukannya bijak mengambil kesempatan daripada kelemahan Negeri Sembilan, sasaran untuk memenangi treble pada musim ini, lebih mudah untuk dicapai.

"Semua pasukan ada peluang untuk menguasai saingan musim ini, kerana setiap pasukan pasti ada kelemahan masing-masing.

"Jika kami mengikut arahan jurulatih, saya yakin sasaran musim depan pasti akan dapat dicapai," katanya.

Dia mengadakan kenduri kesyukuran di kediamannya di Taman Purnama, Bestari Jaya, di sini selepas membantu Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF, bulan lalu.

Pada majlis tersebut, hampir 4,000 penduduk sekitar Bestari Jaya menyertai majlis meraikan Safiq, yang diangkat sebagai wira di kawasan mereka.

Safiq diarak menaiki kereta antik mengelilingi kawasan Bestari Jaya.

Mengulas mengenai statusnya sebagai ketua pasukan kebangsaan selepas kembalinya Aidil Zafuan Abd. Razak daripada kecederaan, Safiq berkata, atas semangat kerjasama berpasukan, dia tetap akan memberi sokongan kepada siapa sahaja yang menjadi ketua pasukan.

"Siapa yang jadi ketua pasukan, ia bukan masalah kerana pada saya yang paling penting adalah kami perlu mengekalkan prestasi dan mempunyai semangat berpasukan," tegasnya.

Dalam pada itu, bapa Safiq, Rahim Mohd. Yatim berkata, dia tidak menggalakkan anaknya beraksi di luar negara, jika ada tawaran daripada mana-mana kelab.

"Saya tidak akan menghalang jika anak saya mahu beraksi bersama pasukan lain di dalam negara selain Selangor jika menerima tawaran sedemikian, tetapi saya tidak menggalakan dia beraksi di liga luar negara," katanya.

Sebelum ini, Safiq mendedahkan dia menolak tawaran beraksi dengan sebuah kelab di Indonesia, kerana mahu meneruskan aksi dalam saingan tempatan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz5dQzUzBuo © Utusan Melayu (M) Bhd

Pemain skuad Harimau Malaya janji kekal konsisten


ARKIB : 13/01/2011
PUTRAJAYA - Bersemangat dan mahu terus kekal konsisten, itulah janji yang mahu dikotakan pemain skuad kebangsaan sebaik sahaja mereka menerima ganjaran bernilai RM65,000 termasuk saham amanah dan wang tunai oleh kerajaan.

Menurut ketua pasukan, Safiq Rahim, dia amat terharu dengan apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam ketika meraikan skuad Harimau Malaya itu di kediaman rasminya di Seri Perdana, Putrajaya.

"Saya amat berpuas hati dengan pemberian ganjaran ini, ia membakar semangat pemain untuk beraksi lebih bersemangat bersama pasukan kebangsaan mahupun bersama negeri atau kelab di Liga Malaysia," katanya ketika ditemui media semalam.

Jelasnya, pemberian unit Amanah Saham Wawasan 2020 berjumlah RM50,000 juga adalah untuk kegunaan pemain pada masa akan datang sekiranya mereka sudah menamatkan karier sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

"Apa pun saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan, dengan ganjaran ini kami begitu bersemangat untuk mencipta kejayaan di peringkat Asia pula," kata Safiq mengetuai pasukan muncul juara Piala Suzuki AFF menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir.

Selain saham amanah 25 individu termasuk pemain dan jurulatih juga mendapat imbuhan RM10,000 daripada kerajaan dan RM5,000 lagi melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) daripada Majlis Sukan Negara.

Sementara itu, penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat menganggap apa yang diberikan oleh kerajaan adalah sebagai rezeki dan ia langsung tidak akan membuatkan dia lupa diri tetapi bersemangat untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.

"Saya akan lebih bekerja keras lagi, menerima ganjaran yang lumayan ini tidak akan membuatkan saya dibuai mimpi. Apa pun tumpuan saya sekarang ini terarah kepada pasukan Kelantan terutama sekali menjelang Piala Sumbangsih menentang Selangor 29 Januari ini.

"Saya harap pemain pertahanan Kelantan mampu untuk menyekat kemaraan Safee Sali, ini kerana dia berada pada puncak prestasi tetapi saya yakin kami mampu memenangi perlawanan tersebut," katanya.

Bagi Norshahrul Idlan Talaha, ganjaran tersebut adalah sebagai menghargai pengorbanan pemain dan berharap rakan-rakannya dapat mengekalkan aksi konsisten terutama sekali di peringkat yang lebih tinggi.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, saya rasa pemain lain juga teruja dengan apa yang telah diperolehi ini," kata penyerang Kelantan itu yang turut berkeinginan beraksi di Liga Thailand dan Vietnam tetapi masih mempunyai kontrak dengan juara Piala Malaysia musim lalu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz5dQtgENOE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 21 Januari 2019

Safiq tolak tawaran Indonesia


ARKIB : 01/01/2011
SHAH ALAM - Ketua pasukan bola sepak negara, Safiq Rahim mendedahkan dia menolak tawaran untuk beraksi dengan sebuah kelab di Indonesia, kerana mahu meneruskan aksi dalam saingan liga tempatan.
Menurut pemain berusia 24 tahun itu, tawaran tersebut disuarakan seorang ejen pada perlawanan akhir menentang pasukan negara itu pada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF di Jakarta.

Bagaimanapun dia mengakui memikirkan dan mengutamakan pasukan negara sebelum membuat sebarang keputusan.

"Jika saya mahu mengembangkan bakat di luar negara pada usia muda, inilah masanya.

"Namun, tawaran ejen tersebut tidak saya beri sebarang maklum balas kerana saya telah mengikat kontrak dengan pasukan Selangor dan sayangkan pasukan negara.

"Saya juga mengutamakan negara berbanding yang lain, kerana rasa puas dapat membantu menaikkan nama negara dan membawa kemenangan negara seperti kelmarin melebihi segala-galanya buat saya," kata beliau kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.

Turut menemani beliau ialah bapanya, Rahim Mohd. Yatim, 51, ibunya, Aida Majid, 42, adik bongsu Safiqa Rahim, 21, dan keluarga bapa saudaranya.

Menceritakan tentang perlawanan Piala Suzuki AFF, Safiq berkata, selepas mengetahui akan menentang Indonesia pada perlawanan akhir, dia gementar tetapi cuba mengawal diri kerana merupakan ketua pasukan.

Ini kerana, semasa perlawanan pertama, pasukan negara kalah 5-1 kepada Indonesia dan beliau sendiri pernah merasakan dirinya seperti tidak bertuah sebagai kapten.

"Ketika ini jurulatih, K. Rajagobal membantu membakar semangat kami agar tidak hilang arah dan saya sendiri rasa lebih bertanggungjawab untuk membawa pasukan ke arah kemenangan,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5dFa07nBt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 20 Januari 2019

Safiq mahu tamat kemarau gol


ARKIB : 24/12/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR – Nama ketua pasukan Malaysia, Safiq Rahim mungkin agak sedikit tenggelam berbanding Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha, selepas berakhir saingan separuh akhir Piala Suzuki AFF 2010, apabila sehingga kini dia masih gagal menjaringkan sebarang gol.

Justeru itu, anak jati Kuala Selangor itu berazam mahu menamatkan kemarau jaringan pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, bagi membantu Malaysia mendapatkan bekalan selesa sebelum bertandang ke Jakarta.

‘‘Agak sedikit kecewa kerana sehingga kini saya masih gagal menjaringkan sebarang gol, sama ada di perlawanan peringkat kumpulan atau separuh akhir.

‘‘Diharapkan pada perlawanan akhir nanti, nama saya akan tertera sebagai penjaring gol, malahan memang impian saya untuk mendapatkan gol pada perlawanan akhir sambil disaksikan puluhan ribu penyokong setia Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Felda United di Wisma FAM, kelmarin.

Pada perlawanan itu, Malaysia menang 2-0 hasil jaringan Ashari Samsudin dan Safee Sali pada separuh masa kedua.

Bagaimanapun, Safiq menjadi kunci penting di sebalik kejayaan Malaysia membenam Vietnam 2-0 pada saingan separuh akhir pertama, apabila dua gol yang dijaringkan Safee Sali berpunca daripada percubaan dan hantaran sepakan percuma yang dilakukannya.

Dia juga cemerlang ketika Malaysia menang besar 5-1 ke atas Laos, perlawanan yang membuka pintu ke separuh akhir buat skuad negara.

Safiq juga mahu memperbaiki kelemahan dalam memberi hantaran yang dirasakannya agak sedikit lemah dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

‘‘Memang diakui, hantaran saya kepada rakan sepasukan ada sedikit kelemahan, saya akan cuba memperbaikinya dalam dua atau tiga hari semasa sesi latihan, '' jelasnya.

Mengenai reaksi yang ditunjukkan peminat, dia meluahkan rasa bangga dan terharu dengan sokongan bertambah yang ditunjukkansejak kebelakangan ini dan diharapkan ia berterusan sehingga pada masa akan datang.

‘‘Teruja melihatkan cara sokongan yang diberikan oleh penyokong tempatan, masa perlawanan persahabatan malam ini pun masih ada peminat yang sanggup turun melihat kami bermain walaupun dalam cuaca hujan.

‘‘Sokongan sebegini biarlah berterusan sampai bila-bila dan harap situasi ini akan kekal,” ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5d9gQB6hp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 19 Januari 2019

Safiq janji kawal emosi

ARKIB : 01/12/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
Safiq Rahim di layangkan kad merah oleh pengadil, Ben Williams semasa perlawanan bolasepak peringkat kumpulan antara Malaysia dengan China pada Sukan Asia 2010 di Stadium Tianhe, Guangzhou, China, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR - ''Selaku ketua pasukan, saya berjanji akan cuba mengawal emosi saya pada perlawanan berdepan Indonesia dan berharap tragedi di Guangzhou, China tidak akan berulang''.

Itu azam ketua pasukan Malaysia, Safiq Rahim sebelum turun berjuang bertemu Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF, hari ini.

Walaupun Safiq wajar tidak dipersalahkan atas insiden kad merah ketika berdepan dengan China, pemain tengah Selangor itu mengakui ketika berdepan dengan skuad tuan rumah, pelbagai keputusan kontroversi boleh dilakukan oleh pengadil kerana berdepan tekanan penyokong.

Justeru itu, Safiq yang akan memakai lilitan kapten sekali lagi berazam akan bersikap lebih tenang jika berhadapan situasi tegang supaya tidak menjejaskan tumpuan pasukan dan perancangan taktikal jurulatih.

''Apa yang paling penting buat saya selaku ketua pasukan, saya perlu memperkuatkan mental dan tidak hilang konsentrasi supaya kami semua boleh beraksi sebagai satu unit esok (hari ini),

''Bertemu Indonesia, kami semua tahu tiada layanan istimewa akan diberikan oleh para penyokongnya kerana mereka semua sudah tentu mengenakan tekanan berganda semasa kami sedang memegang bola.

''Saya akan memberikan peringatan kepada rakan-rakan agar menumpukan taktikal permainan dan tidak menghiraukan segala cemuhan atau ejekan para penyokong Indonesia, apa yang penting adalah mengutip kemenangan pada perlawanan pertama, '' jelasnya bersemangat.

Pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A di Sukan Asia, Safiq Rahim menjadi mangsa mutu pengadilan yang lemah oleh pengadil Australia, Ben Williams. Dia dibuang padang selepas bertanyakan pengadil mengenai pemberian kad merah kepada seorang lagi pemain, Mahalli Jasuli.

Selain itu, Safiq secara jujur mengakui motivasinya kini adalah mahu mencipta sejarah membantu Malaysia membawa pulang trofi Piala Suzuki AFF buat kali pertama dalam sejarah penganjuran 14 tahun lalu.

''Tiada apa yang mustahil, jika tahun lalu kami semua menidakkan ramalan semua pihak dengan membawa pulang pingat emas di Sukan SEA Laos selepas 20 tahun, kali ini kami semua mahu mencipta satu lagi sejarah baru dalam arena bola sepak negara.

''Tiada tekanan buat saya dan rakan-rakan, walaupun tahu Thailand dan Indonesia merupakan pasukan pilihan dalam kumpulan ini kerana kami tahu bagaimana tahap kekuatan sebenar pasukan ini mampu menewaskan kedua-dua pasukan itu.

''Sasaran pertama adalah membawa Malaysia ke separuh akhir terlebih dahulu dan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil yang mana para peminat skuad negara boleh turun memberi sokongan padu kepada kami, '' ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d4Egj6Nz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 18 Januari 2019

Bidas pengadilan tak masuk akal


 
ARKIB : 15/11/2010
Pengadil dari Australia, Ben Williams tidak melayan rayuan pemain negara, Mohd. Muslim Ahmad apabila tiga pemain Malaysia dilayangkan kad merah dalam acara bola sepak Sukan Asia di Guangzhou, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Peminat dan pemerhati bola tempatan membidas pengadil dari Australia, Ben Williams yang melayangkan tiga kad merah dan tujuh kad kuning kepada anak-anak buah K. Rajagobal dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan A acara bola sepak Sukan Asia menentang China, kelmarin.

Malaysia kalah 0-3 dalam pertembungan yang berakhir dengan skuad Rajagobal beraksi dengan lapan pemain, setelah Safiq Rahim, Mahalli Jasuli dan S. Kunanlan dilayangkan kad merah.

Keputusan berat sebelah Williams itu mencetuskan kemarahan peminat di sini.

Antara yang meluahkan rasa kekecewaan terhadap tindakan Williams 'yang tidak masuk akal' itu adalah blogger terkemuka, Rizal Hashim.

Di dalam blognya (rizalhashim.blogspot.com), beliau turut 'melayangkan' surat terbuka kepada pengadil berkenaan.

Dalam tulisannya, Rizal mempertikaikan keupayaan Williams mengadili perlawanan kelmarin, yang amat ketara berat sebelah, apabila dua pemain Malaysia diarahkan keluar padang pada minit ke-27.

Katanya, tindakan Williams itu mengundang persepsi pengadil berkenaan mahu memberikan laluan mudah buat China ke pusingan kalah mati.

Lantaran itu, Rizal mencadangkan agar Williams mengkaji semula rakaman perlawanan tersebut.

Tambah Rizal: "Pemain pertahanan kanan Malaysia, Mahalli Jasuli telah dikasari. Anda (pengadil) bukan sahaja enggan meniup wisel, malah memberi kelebihan kepada China. Kemudian, Mahali dilayangkan kad kuning selepas dia melakukan terpaan ke atas pemain lawan dalam perlawanan yang baru dimulakan tidak sampai tiga minit.

''Mahali kemudiannya hilang pertimbangan dan menyepak bola keluar padang, setelah dia berasa Malaysia yang sepatutnya memperoleh lontaran masuk, tetapi ia sebaliknya.

"Selepas itu, ketua pasukan Malaysia, Safiq Rahim melahirkan rasa tidak puas hati dengan gaya pengadilan menjelikkan, setelah anda melayangkan kad merah kepada Mahali.

"Anda sekali lagi bertindak melayangkan kad merah kedua pula kepada Safiq.

"Kad kuning kedua untuk S. Kunanlan? Adakah kekasaran tersebut mengancam nyawa, terjahan dari belakang atau seperti aksi tendangan karate ala Nigel De Jong? Dia menjadi pemain ketiga dilayangkan kad merah dan anda pula menghadiahkan sepakan penalti.''

Rizal turut berharap, bekas Pengarah Pengadilan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Gary Powell iaitu individu yang memberi pengaruh besar dalam karier Williams, membuat teguran secara peribadi kepada pengadil itu.

"Saya berharap pesuruhjaya perlawanan kelmarin, Kul Sophana dari Kemboja, tampil mengemukakan bantahan dan cadangan terhadap ketidakcekapan anda mengendalikan perlawanan tersebut,'' katanya.

Rizal mengingatkan Williams supaya mengenang kembali bahawa dia adalah pengadil perlawanan antara Malaysia dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang menyaksikan skuad negara yang ketika itu dibimbing oleh jurulatih, B. Sathianathan dibelasah teruk
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5cy7bpz5W
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 5 Januari 2019

Kejutan skuad muda

ARKIB : 26/07/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
PEMAIN Malaysia meraikan kemenangan 1-0 ke atas Korea Selatan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

KUALA LUMPUR - Pemain muda negara menjelmakan semula semangat seperti mana ketika era 70-an dan 80-an, apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas Korea Selatan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Safiq Rahim muncul wira apabila rembatan menarik dari luar kawasan penalti pada minit ke-50, memberikan kemenangan ke atas skuad Olimpik Korea Selatan.

Safiq melepasi asakan dua pemain lawan sebelum melepaskan rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol Korea Selatan.

Perlawanan tersebut sempena 50 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Kali terakhir Korea Selatan beraksi di Kuala Lumpur ialah pada kejohanan Pestabola Merdeka 1995.

Ketika itu mereka yang menghantar skuad Olimpik, turut tewas kepada skuad senior negara.

Perlawanan semalam sememangnya berhak menjadi milik pasukan negara, apabila kerap melancarkan serangan ke kubu lawan.

Skuad negara hampir melakar kejutan lebih awal iaitu pada minit ke-5, melalui gerakan pemain Perlis, Ahmad Fakri Saarani, yang bijak menghantar bola tepat kepada Zaquan Adha Abdul Radzak.

Hantaran Zaquan bagaimanapun gagal diterjemahkan di dalam bentuk gol oleh Norshahrul Idlan Talaha, apabila tolakan keluar ke sebelah kanan pintu gol Korea.

Pintu gol skuad negara terselamat daripada dibolosi pada minit ke-10 apabila tandukan Park Hee Seong terkena palang, walaupun penjaga gol negara Mohd. Sharbinee Allawee sudah tertewas.

Palang sekali lagi menjadi penyelamat Malaysia apabila sepakan percuma Park Hyung Jin pada jarak tepat 20 meter, sekadar menggegar palang pada minit ke-40.

Rentak skuad negara berubah selepas rehat dan ini dibuktikan apabila gawang Korea Selatan bolos pada minit ke-50.

Zaquan terlepas peluang menggandakan kelebihan pada minit ke-65, walaupun berjaya melepaskan percubaan namun bola sepakannya tepat ke arah penjaga gol lawan



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5bjduBgtR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Raja hormat Korea tanpa gentar

 
ARKIB : 25/07/2010
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
K. RAJAGOBAL serius memperkatakan sesuatu kepada pemain skuad bawah 23 kebangsaan dalam sesi latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam menjelang perlawanan persahabatan menentang skuad Olimpik Korea Selatan di stadium yang sama pada hari ini.

KUALA LUMPUR – Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, K. Rajagobal menyuarakan rasa hormat terhadap skuad Olimpik Korea Selatan sambil menegaskan dia memiliki taktik buat lawan pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, petang ini.

“Saya menghormati Korea yang sudah layak ke Piala Dunia lapan kali dan pasukan belia mereka tidak kurang hebatnya dengan corak permainan pantas (mara ke suku akhir Kejohanan Dunia Bawah 20 Tahun di Mesir tahun lalu).

“Namun, pemain Malaysia wajar menikmati perlawanan ini tetapi tidak bererti mereka cuma bermain sambil lewa kerana saya akan mengatur taktik yang sesuai dengan keadaan pemain yang saya miliki,” katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan memperingati hubungan diplomatik 50 tahun itu.

Anak buah Rajagobal yang kebanyakannya tonggak juara Sukan SEA Laos tahun lalu, menghadapi pelawat yang dibimbing pemain yang pernah beraksi dalam empat Piala Dunia, Hong Myung Bo sebagai sebahagian persediaan menghadapi Sukan Asia Guangzhou, November ini.

“Perlawanan ini satu kesempatan terbaik mengenali perwatakan pemain dan kemampuan bermain sebagai sepasukan selain sejauh mana persediaan dari segi fizikal dan mental. Lagipun sudah agak lama kita tidak berdepan lawan yang sehandal Korea,” ujarnya.

Sementara itu, Myung Bo, pemenang Bola Gangsa Piala Dunia 2002, mengakui tuan rumah memiliki pemain berkemahiran dan kemampuan teknikal yang agak baik walaupun kedua-dua negara sudah lama tidak bertembung di arena antarabangsa.

“Saya hanya sempat mengumpul 19 pemain untuk berlatih bersama sejak seminggu lalu. Kini saya cuba curahkan pengalaman berharga saya dalam Piala Dunia lalu dalam mendidik angkatan muda Korea dan saya dapati mereka begitu cepat meningkat.

“Ada juga beberapa pemain yang pernah beraksi di Mesir lalu dan ada yang cuba digilap untuk menghadapi Sukan Asia Guangzhou,” katanya yang memiliki dua bintang Kejohanan Dunia Bawah 20 Tahun iaitu Kim Dong Sub yang beraksi di Liga Jepun dan Park Hee Sung.

Sekiranya masih seri selepas 90 minit masa permainan sebenar, pemenang perlawanan ini akan terus ditentukan menerusi sepakan penalti tanpa perlu melalui 30 minit masa tambahan.

Harga tiket yang dikenakan ialah RM30 di grandstand dan RM10 di tempat duduk biasa manakala cuma RM5 bagi penonton kanak-kanak yang dijual di stadium mulai 10 pagi hari ini.

Kesebelasan kemungkinan Malaysia: Sharbinee Allawee Ramli, Mohd. Sabre Mat Abu, Nasriq Baharom, Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, S. Kunanlan, Gary Steven Robbat, Mahalli Jasuli, Muslim Ahmad.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5bjVRd6pN
© Utusan Melayu (M) Bhd