Rabu, 10 Ogos 2016

Johor DT enggan kecewa lagi


 

Johor DT enggan kecewa lagi
Oleh AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA
SAFIQ akan mengetuai jentera tengah Johor DT pada aksi menentang Perak di Larkin malam ini.

ENGGAN pisang berbuah dua kali, pengendali pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT), Mario Gomez mahu anak-anak buahnya memberi tumpuan sepenuhnya fokus pada aksi peringkat Kumpulan C kempen Piala Malaysia menentang Perak di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan yunos, Larkin malam ini.

Gomez berkata, beliau berharap skuad kendaliannya tidak memandang rendah kemampuan skuad The Boss Gaurus itu apatah lagi berasa terlalu yakin hanya kerana pasukan Harimau Selatan itu beraksi di laman sendiri.

“Saya berharap para pemain tidak memandang rendah kemampuan pasukan lawan, sebaliknya perlu komited sepanjang perlawanan dalam misi meraih tiga mata penuh. Kita perlu mengelakkan sebarang kesilapan mudah yang boleh membuka peluang kepada Perak untuk meloloskan diri.

“Mungkin kita mempunyai kelebihan di laman sendiri, namun saya tegaskan, para pemain tidak boleh mengambil mudah kerana Perak akan merangka rancangan yang hebat untuk menumpaskan kita,” kata Gomez ketika dihubungi di Johor Bahru semalam.

Pada 30 Julai lalu, Perak menewaskan Johor DT 3-0 pada aksi pertama peringkat Kumpulan C di Ipoh.

Bagaimanapun, dalam perlawanan Liga Super di Ipoh pada Sabtu lalu, Johor DT kembali bangkit menumpaskan Perak 1-0 yang telah mengakibatkan tercetusnya perbalahan antara penyokong kedua-dua pasukan.

Johor DT yang kembali beraksi di laman sendiri malam ini perlu memastikan rekod tanpa kalah pasukan berkenaan dipertahankan.

Mengulas lanjut mengenai persediaan berhadapan dengan Perak, Gomez memberitahu, anak-anak buahnya berada dalam keadaan yang sentiasa bersedia.

“Watak utama seperti, Safiq (Rahim) dan Haris (Harun) mungkin akan diturunkan untuk membantu gandingan Lucero dan Diaz di bahagian serangan. Tetapi, itu semua bergantung kepada tahap prestasi pemain sebelum bermulanya perlawanan malam esok (malam ini),” jelasnya.

Dalam pada itu, Gomez mengingatkan para penyokong skuad Johor DT supaya bersikap lebih profesional dan tidak membalas dendam terhadap penyokong Perak atas kejadian yang berlaku di Stadium Ipoh pada Sabtu lalu.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0810&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4GvO6HY47 Hakcipta terpelihara