Jumaat, 15 Julai 2016 | 12:45pm
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
SAFIQ menjelaskan betapa
keputusannya untuk bersara daripada beraksi bersama Harimau Malaysia tidak
dipengaruhi pihak lain. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
KUALA LUMPUR: Bekas kapten
skuad kebangsaan, Safiq Rahim menjelaskan betapa keputusannya untuk bersara
daripada beraksi bersama Harimau Malaysia tidak dipengaruhi pihak lain.
Sebaliknya, perancang utama
Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menegaskan keputusan yang dilakukan adalah
muktamad selepas menilai dari semua aspek termasuk mengadakan perbincangan
dengan keluarga.
Malah dengan persaraan itu
juga, Safiq berkata dia kini boleh memberi fokus sepenuhnya kepada JDT yang
meletakkan sasaran tinggi di peringkat Liga Malaysia dan Piala AFC.
"Saya sudah buat buat
keputusan dan kenyataan (umum persaraan) sebelum ini juga memang daripada saya
sendiri. Ia keputusan saya dan tiada kaitan langsung dengan sesiapa pun.
"Malah keputusan itu saya
buat selepas menilai semua perkara termasuk berbincang dengan keluarga. Kini
saya boleh fokus sepenuhnya kepada JDT dan keluarga," katanya.
Safiq mengumumkan persaraan
dari skuad Harimau Malaysia bersama Aidil Zafuan Abdul Radzak, Selasa lalu
sebelum S Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal melengkapkan empat pemain yang
bersara, semalam.
BH semalam melaporkan bekas
pemain kebangsaan, Bakri Ibni menyifatkan tindakan Safiq dan Aidil bersara
dengan mengejut adalah pelik selain mendakwa terdapat faktor luaran yang
mempengaruhi keputusan mereka.
Selain itu, Safiq turut
menjelaskan betapa keputusan bersara yang dilakukannya bersama tiga pemain lain
bukan dirancang sebaliknya adalah keputusan peribadi masing-masing.
Ditanya berkenaan persaraan
tiga pemain lain, Safiq bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan hanya
menjelaskan ia adalah hak individu.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat,
15 Julai 2016 | 12:45pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan