Jumaat, 15 April 2016

Kalau dah rezeki – Safiq

30 November 2014 1:09 AM
SINGAPURA – “Sebelum melakukan sepakan, dalam hati saya bercakap satu perkara..kalau dah memang rezeki, bola ini memang akan ma­suk dan saya memang berada di konsentrasi tertinggi tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.”

Itu kata penjaring gol kedua negara, Safiq Rahim selepas membantu Harimau Malaya melangkah ke separuh akhir Piala AFF dengan membenam Singapura 3-1 di Stadium Nasional, Kallang semalam.
Mengambil keputusan berani melakukan sepakan penalti yang menjadi hala tuju pasukan negara dalam Piala AFF, Safiq dengan tenang memperdayakan penjaga gol Singapura, Hassan Sunny apabila bola menuju ke sebelah kanan sekali gus membenam Singa di laman sendiri.

“Masih ada semangat dalam kalangan pemain walaupun Si­ngapura berjaya meraih gol penyamaan di hujung permainan.

"Jika bagi komitmen 100 peratus sebelum wisel berakhir, kami masih ada peluang.

“Dalam bola sepak, perkara ini biasa..sesiapa yang buat silap, mereka akan kena.

"Nyata kami berjaya mengambil kesempatan atas apa yang berlaku,” katanya yang menjaringkan gol kedua dalam Piala AFF kali ini.

Tambah Safiq, dia berasakan aura 2010 seakan-akan sudah kembali dalam kem Harimau Malaya dan berharap mereka mampu me­ngulangi kejayaan yang sama ketika bertemu Vietnam pada separuh akhir.

“Moral dalam kalangan rakan sepasukan jelas begitu tinggi ketika ini, rasa seperti 2010.

“Harap kami meneruskan momentum ini apabila bertemu Viet­nam,” katanya, yang menjadi kapten Harimau Malaya ketika muncul juara empat tahun lalu.

Sementara itu jurulatih Singapura, Bernd Stange menerima kekalahan dengan hati terbuka.

Dia mengakui sepakan penalti kepada Malaysia selepas Shakir Hamzah menolak Amri Yahyah pada minit ke-90 wajar diberikan.

“Malaysia menutup ruang kepada kami untuk bermain sepanjang perlawanan dan rombakan di bahagian pertahanan jelas memberi kesan kepada persembahan kami secara keseluruhan.

“Sepakan penalti adalah hak pengadil dan itu peraturan yang saya belajar.

“Berdasarkan apa yang saya lihat pada pandangan pertama, ia bukan penalti tetapi saya mahu lihat dahulu ulang tayang video,” katanya. – MINGGUAN
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kalau-dah-rezeki-8211-safiq-1.30716#sthash.AcH4s6dq.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan