Jumaat, 1 April 2016

Piala AFF: Norizan sisih Nasril

Oleh AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR – Penjaga gol muda Perak, Nasril Nourdin menjadi pemain tunggal yang digugurkan daripada skuad bola sepak kebangsaan yang akan berlepas ke Bangkok tengahari ini bagi menghadapi Kejohanan Bola Sepak Piala AFF.

Pengguguran Nasril sudah diduga sejak awal kerana dia tidak berupaya menandingi kelibat dua penjaga gol berpengalaman, Syamsuri Mustafa dan Azizon Kadir yang bakal menjadi benteng terakhir kubu skuad kebangsaan.

Skuad 22 pemain yang berlepas hari ini sekadar mahu mempamerkan aksi menarik dan tidak mahu senasib dengan skuad bawah 20 tahun dan pasukan Sukan Asia Doha yang pulang awal sebelum kejohanan berakhir.

Tanpa sebarang sasaran utama disematkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Kejohanan Piala AFF kali ini, peminat dan pemerhati bola sepak mahu skuad yang dilatih jurulatih Norizan Bakar dapat menyuntik sesuatu yang menyakinkan.

Kalah di peringkat kumpulan dan pulang awal, pastinya musibah bakal dilontarkan oleh peminat dan pemerhati kepada FAM.

Persiapan skuad kebangsaan kali ini tampak tempang dengan tempoh 10 hari menjalani latihan dan tidak ada satupun perlawanan persahabatan dapat diatur untuk menguji kekuatan sebenar anak didik Norizan.

Melihat skuad kali ini juga kurang menyakinkan tanpa gandingan jentera serangan ampuh ekoran ketiadaan Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd. Safee Sali yang ditimpa kecederaan.

Lantaran itu, Norizan membuat percaturan bahagian tengah bakal dikemudi oleh Hairuddin Omar, Mohd. Fadzli Saari, Shukor Adan, Eddy Helmi Manan, Norhafiz Misbah dan K. Nanthakumar dapat memainkan peranan selaku penjaring gol.

‘‘Saya mengharapkan skuad kali ini akan beraksi cemerlang dan dapat mempamerkan persembahan paling mantap.

‘‘Saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk mara ke perlawanan akhir tetapi apa yang penting mereka (pemain) dapat mempamerkan sesuatu yang lebih menyakinkan,’’ ujar Norizan ringkas.

Sandaran kepada pemain veteran, Nizaruddin Yusof dan Saramsak Kram untuk mengemudi jentera serangan kerana hanya mereka berdua pemain berstatus penyerang yang berada dalam skuad 22 pemain kali ini.

Selebihnya barisan pemain skuad kebangsaan dipenuhi pemain tengah dan pertahanan.

Tugas buat anak didik Norizan dianggap menyulitkan apabila bersaing dengan tuan rumah Thailand, skuad yang mara ke suku akhir Sukan Asia Doha selain berdepan Myanmar yang masih segar dengan kemenangan di Pestabola Merdeka, malah terbaru mereka menjulang Piala Mandalay.

Ujian awal anak didik Norizan dalam perlawanan pertama Jumaat ini ialah berdepan pasukan yang dianggap lemah, Filipina di Stadium Suphachalasai.

Selepas itu, skuad kebangsaan berdepan dengan Myanmar pada 14 Januari ini dan perlawanan terakhir ujian getir menanti apabila bertemu Thailand pada 16 Januari.

Kumpulan B pula dibarisi oleh Vietnam, Indonesia, Singapura dan Laos.

Barisan Pemain
Muhammad Shukor Adan, Mohd Fadzli Saari, Safiq Rahim, Mohamad Syamsuri Mustafa, Chan Wing Hoong, K. Nanthakumar, Irwan Fadzli Idrus, Hairuddin Omar, Norhafiz Zamani Misbah, Azi Shahril Azmi, Fauzi Nan, Azizi Mat Rose, Muhamad Kaironnisam Sahabuddin, Muhamad Nizarudin Yusof, Azizon Kadir, Rezal Zambery Yahya, V. Thirumurugan, Samransak Kram, Muhamad Khyril Muhymeen Zambri, Hardi Jaafar, Eddi Helmi Abdul Manan, Ronny Harun

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz44Yz0O7P6 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan