Selasa, 19 Julai 2016

Bisa Safiq

Rizar Mohd Noor-sukan@hmetro.com.my
Johor Bahru: Walaupun mengumumkan persaraan daripada menyertai skuad kebangsaan namun ia tidak menjejaskan kapten Safiq Rahim (gambar dua dari kiri) membantu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) meraih kemenangan besar 5-0 membelasah Kedah, malam kelmarin.

Lebih manis apabila bekas kapten Harimau Malaysia itu meledakkan dua gol untuk membantu skuad Harimau Selatan kekal di persada liga dan ia juga melegakan ketua jurulatih Mario Gomez yang jelas bangga dengan ksungguhan barisan pemainnya.

Bagi Safiq keputusan bersara daripada skuad kebangsaan tidak menganggu tumpuannya untuk mempamerkan aksi konsisten apabila bingkas menguasai posisi tengah bersama Hariss Harun hingga sukar buat anak didik Tan Cheng Hoe melakukan percubaan berbahaya.

“Tumpuan saya tidak terjejas biarpun membuat keputusan bersara daripada menyertai skuad kebangsaan sebaliknya saya kena beri persembahan terbaik untuk membantu Johor DT meraih kemenangan malah saya sudah mengumumkan ingin bersama pasukan itu mengharungi kempen liga dan Piala AFC.

“Saya amat lega kerana kesilapan ketika menentang PKNS tempoh hari ditebus dan saya akui terpaksa bergelut pada aksi itu namun pada perlawanan menentang Kedah, saya berjanji kepada diri sendiri untuk pamer aksi terbaik dan bersyukur kerana membantu Johor DT menang,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai persaraan bersama skuad kebangsaan, Safiq optimis betapa ada pemain yang lebih baik daripadanya bagi menggalas tugas yang ditinggalkan terutama barisan pemain muda.

Katanya, pemain yang sedia ada pada saingan Liga Malaysia memiliki bakat besar dan mampu diketengahkan malah dia tidak menganggap dirinya terbaik sebaliknya ada pemain yang lebih baik daripadanya.

“Sokongan daripada rakan dalam skuad kebangsaan amat penting jika mereka dipilih menyertai pasukan itu kerana tanpa sokongan daripada mereka sudah tentu sukar untuk beraksi dengan baik,” kata Safiq.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 9:47 AM