Sabtu, 16 September 2017

Usah berasa selesa, pandang rendah MU: Safiq



Sabtu, 16 September 2017 | 12:07pm
 
GAYA pemain tengah JDT, Safiq Rahim selepas ledak gol pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2017 di Stadium Hang Jebat, malam tadi. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
Usah berasa selesa, pandang rendah MU: Safiq
MELAKA: Pemain tengah skuad Harimau Selatan, Safiq Rahim meminta rakan sepasukan tidak meletakkan diri mereka dalam keadaan selesa biarpun mencipta kemenangan besar ke atas Melaka United (MU) dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.

Dia yang juga kapten pasukan turut mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak memandang rendah keupayaan skuad Hang Tuah itu di sebalik memiliki kelebihan tiga gol menerusi kemenangan 4-1.

"Kami perlu terus berusaha membaiki kelemahan yang masih ada dan mengekalkan corak persembahan terbaik sepanjang kempen Piala Malaysia," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam tadi.

Mengulas lanjut, Safiq berkata sekiranya seluruh pemain berusaha untuk mempamerkan aksi yang terbaik, skuad Harimau Selatan mampu terus mara hingga ke final.

Sementara itu, penyerang MU, Mohd Fauzi Roslan berkata skuad Sang Kancil sudah memberikan persembahan terbaik malam tadi sekali gus tidak memberi kemenangan mudah kepada pasukan JDT.

"Semua pemain sudah berusaha dengan bersungguh-sungguh selain cuba menutup peluang JDT untuk menang, namun mereka adalah pasukan yang terbaik. Kami tidak bernasib baik, malam ini," katanya.

Mohd Fauzi berkata, kegagalan malam tadi tidak bermakna bahawa hasrat MU untuk mara ke peringkat seterusnya tertutup.

Sebaliknya, katanya, beliau dan rakan-rakan sepasukan yang lain akan terus berusaha tanpa putus asa bagi mencipta peluang untuk pasukan mara ke pusingan berikutnya.

Kedua-dua pasukan ini akan bertemu semula pada aksi suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Dato' Hassan Yunos, Larkin, pada 24 September ini.

Sebagai rekod JDT pernah merangkul gelaran juara sebanyak dua kali untuk piala berprestij itu pada tahun 1985 dan 1991, manakala kali terakhir MU melayakkan diri ke saingan suku akhir pada 2007. – BERNAMA
Sumber-berita harian online Sabtu, 16 September 2017 | 12:07pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan