Sabtu, 30 September 2017

Safiq tak kisah venue perlawanan



Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Ketua pasukan Harimau Malaya Safiq Rahim enggan mengambil pusing mengenai penetapan venue bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara yang ditunda kali ketiga, Khamis lalu.

Aksi ketiga Kumpulan B itu sebelum ini dijadualkan berlangsung di Pyongyang Khamis ini, namun ditangguhkan susulan larangan perjalanan rakyat Malaysia ke republik itu yang dikeluarkan Kementerian Luar akibat ketegangan politik di negara itu.

Jawatankuasa Pertandingan AFC bakal berbincang untuk menentukan tarikh baru serta gelanggang pertemuan kedua-dua pasukan, sambil aksi bertemu Hong Kong, 10 Oktober ini diteruskan mengikut jadual asal.

“Sama ada beraksi di Pyongyang atau gelanggang berkecuali, itu semua di luar bidang kuasa kami sebagai pemain.

“Kami perlu mengikut apa saja yang diaturkan untuk skuad kebangsaan. Kami akan menjalani persiapan menentang Hong Kong, 4 Oktober (Rabu ini) bagi mendapatkan keputusan yang baik,” katanya ketika ditemui Arena Metro.

Penangguhan ini yang ketiga berikutan jadual asal perlawanan pada 28 Mac lalu ditunda kepada 8 Jun akibat ketegangan hubungan diplomatik susulan pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di klia2 pada 13 Februari lalu.

Berikutan ketegangan yang berlanjutan itu, aksi berkenaan sekali lagi ditunda ke tarikh baru, 5 Oktober ini.

Malaysia yang sekadar meraih satu mata daripada dua aksi awal apabila tumbang 1-2 kepada Lubnan di Stadium Larkin sebelum terikat 1-1 ketika melayan kunjungan Hong Kong di Stadium Hang Jebat, harus mencuri tiga mata penuh apabila bertandang ke Stadium Hong Kong.

“Misi utama kami adalah mencari kemenangan dalam setiap aksi selepas ini bagi membuka peluang untuk pasukan mara ke pusingan akhir di Emiriah Arab Bersatu (UAE) nanti.

“Apa-apa perkara selain daripada itu, bukan keutamaan kami. Saya percaya rakan-rakan lain juga bersetuju dan mereka juga bersemangat untuk memburu kemenangan,” katanya.

Ketika ini, skuad negara berada di tangga tercorot dengan Lubnan memimpin carta kumpulan selepas mengumpul tujuh mata, diikuti Korea Utara kedua berkongsi dua mata bersama Hong Kong, namun dibezakan menerusi jumlah gol.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 4:07 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan