Jumaat, 29 September 2017

Misi mustahil benam Jepun



ARKIB : 06/06/2007

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Misi hampir mustahil untuk menyambar tiket kedua Kumpulan B ke pusingan akhir bola sepak Kelayakan Olimpik mengiringi skuad Olimpik Malaysia bimbingan B. Sathianathan di Tokyo, Jepun, hari ini.

Mengumpul empat mata, Malaysia mesti menumpaskan tuan rumah yang telah layak sebagai teraju kumpulan sekurang-kurangnya 3-0 sambil berharapkan ihsan Hong Kong untuk menewaskan Syria tanpa balas dalam perlawanan terakhir ini.

Anak didik Sathianathan yang menduduki tempat ketiga selepas menang sekali dan seri sekali juga tidak boleh dibolosi lagi kerana kadar perbezaan jaringannya dengan Syria yang kini di tangga kedua (tujuh mata), menyebelahi pasukan Asia Barat itu.

Malah Syria yang telah kalah dua kali kepada Jepun, hanya perlu seri dengan Hong Kong hari ini untuk mengiringi negara Matahari Terbit itu memburu tiga tiket sebagai wakil Asia dalam pusingan akhir ke Sukan Olimpik Beijing, Ogos tahun depan.

Sebaliknya, Malaysia turut berdepan risiko terjerumus ke tangga tercorot sekiranya kalah kepada Jepun dan Hong Kong menang mengejut kerana pasukan wilayah China itu telah mengumpul tiga mata selepas mengejutkan kita 1-0 di Petaling Jaya, April lalu.

Namun semangat juang dan tekad jitu skuad negara sehingga wisel terakhir selain menyambar peluang daripada ‘sikap berselesa’ Jepun yang telah layak, mungkin mampu membantu mengubah nasib sekali gus mara ke pusingan akhir.

Kata Sathianathan kepada Utusan Malaysia, semalam, “jika pemain bermain bermati-matian, (menewaskan Jepun 3-0) bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Kami belum berputus asa untuk layak sebagai pasukan kedua dari kumpulan ini.

“Malah walau apa pun keputusannya di Tokyo, saya yakin, ramai pemain pasukan ini yang telah banyak belajar daripada persaingan antarabangsa setinggi ini dengan menentang lawan seperti Jepun dan Syria,” katanya.

Selepas lima perlawanan kelayakan pusingan kedua sejak 28 Februari lalu, Malaysia tewas 2-1 kepada Jepun di Petaling Jaya, Syria (kalah 3-1 di Damsyik dan seri 0-0 di Petaling Jaya) serta menewaskan Hong Kong 1-0 di Stadium Mongkok, Mac lalu.

Sathianathan merujuk kepada persediaan dan tanggungjawab seterusnya yang disandarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepadanya - memburu pingat emas Sukan SEA Korat, Disember ini sekali gus mengakhiri kemarau gelaran itu sejak 1989.

“Ramai pemain skuad ini yang berbakat dan semakin matang untuk digilap sehingga mantap bagi menghadapi Sukan SEA Korat asalkan turut didedahkan dengan banyak perlawanan yang bermutu sebagai persediaan mereka,” katanya.

Malah beberapa tonggak skuad senior negara yang menghadapi Piala Asia, Julai ini antaranya Norfarhan Muhamad, Azi Shahril Azmi, Safee Sali dan Azlan Ismail masih boleh dipertaruhkan ke Korat kerana masih berusia bawah 23 tahun iaitu had umur penyertaan bola sepak Sukan SEA.

Skuad Olimpik Malaysia: Daudsu Jamaluddin, Azi Shahril Azmi, Sabre Mat Abu, Farderin Kadir, S. Subramaniam, Bunyamin Omar, Aidil Zafuan Razak, Zaquan Adha Razak, Norshahrul Idlan Talaha, Tengku Qayyum Ubaidullah Ahmad, Syed Adney Syed Hussein, Farizal Marlias, Kamarul Afiq Kamaruddin, Syamsol Sabtu, Azril Hamid, Azrul Ahmad, Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0606&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4u8VSLxc8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan