Rabu, 13 September 2017

Malaysia ke AFF tanpa sasaran



ARKIB : 08/01/2007

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD dan NORZIE KHASBI

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) lebih berminat bekerjasama dengan jurulatih-jurulatih negara dalam mencari penyelesaian daripada mengenakan tindakan ke atas mereka setiap kali skuad kebangsaan gagal di pentas antarabangsa.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, pihaknya masih meyakini khidmat beberapa jurulatih tempatan ketika ini sekalipun persembahan skuad senior, Bawah 20 dan 23 Tahun negara kurang membanggakan sepanjang tahun lalu.

“Kami telah mengenal pasti beberapa aspek yang boleh diperbaiki bersama termasuk tentang mengapa ketiga-tiga pasukan ini masih tidak setanding pasukan lain sekalipun pelbagai persediaan diatur ke pertandingan sebenar,” katanya.

Serentak itu menurut Redzuan, FAM tidak akan menetapkan kata dua atau sasaran tertentu kepada skuad senior bimbingan Norizan Bakar yang akan menghadapi Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Bangkok mulai Jumaat ini hingga 4 Februari.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal FAM, berkata demikian pada sidang akhbar majlis Perkongsian Strategik dengan Nike dan pengenalan jersi baru skuad kebangsaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Mengenai keluhan pegawai pasukan Liga Malaysia yang kehilangan ramai pemain tonggak kerana Kejohanan AFF, Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, mereka yang berkenaan mungkin tidak diberitahu setiausaha negeri masing-masing biarpun soal itu pernah dipersetujui bersama.

“Dalam seminar di Kuching, tahun lalu, ia telah dibangkitkan dan dipersetujui semua pegawai pasukan setelah kami menyarankan sama ada mahu menangguhkan liga demi tugasan antarabangsa atau sanggup meneruskannya tanpa tonggak negara,” katanya.

Jersi baru Nike Fit Dry untuk skuad Malaysia ini menampilkan tiga jalur menegak di hadapan dengan gambar keris berada di sudut bawah kirinya dengan dua warna pilihan iaitu kuning (pertama/tuan rumah) dan biru (kedua/pelawat).

Pengarah Pemasaran Nike Asia Tenggara, Tim Parkinson, pula berkata, “kulit pemakainya kekal kering kerana kualiti kainnya membolehkan peluh diresap, mengelakkan melekat dengan badan dan mengekalkan ruang udara antara kulit dan fabrik untuk pernafasan.

“Jersi ini direka khusus untuk memberi penghormatan kepada era kegemilangan bola sepak negara, mengambil inspirasi jersi asal pasukan 1958 yang memenangi Pestabola Merdeka, memartabatkan seni dan budaya tempatan serta melambangkan warna kuning dan hitam haiwan kebangsaan, harimau,” katanya.

Jersi baru ini akan mula dipakai oleh skuad bimbingan Norizan pada Kejohanan AFF di mana Malaysia menganggotai Kumpulan A dengan Thailand, Myanmar dan Filipina sebelum diteruskan oleh skuad Bawah 21 Tahun pada Kelayakan Olimpik, bulan depan.

Penyampaian jersi itu turut memperkenalkan kesebelasan utama Malaysia iaitu Syamsuri Mustafa, Kaironnisam Sahabuddin Hussain (kapten), Norhafiz Zamani Misbah, V. Thirumurugan, Irwan Fadli Idrus, Shukor Adan, Fauzi Nan, Safiq Rahim, Hardi Jaafar, Khyril Muhymeen Zambri dan Hairuddin Omar.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4sZC7w1mN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan