Jumaat, 29 September 2017

Malaysia atasi Oman 1-0

ARKIB : 12/05/2007

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Skuad Olimpik negara masih mampu menewaskan skuad Olimpik Oman 1-0 pada perlawanan bola sepak persahabatan, kelmarin menjelang kempen Kelayakan Olimpik Kumpulan B, minggu depan biarpun cuma berbekalkan khidmat 13 pemain.

Anak buah B. Sathianathan mencapai kemenangan di Stadium Petaling Jaya kelmarin dengan jaringan tunggal Zaquan Adha Abdul Razak sekali gus memulihkan semangat dan keyakinan mereka sejak dikejutkan 1-0 oleh Hong Kong, bulan lalu.

Mereka hanya memiliki kesebelasan pemain yang cukup-cukup untuk diturunkan tetapi dengan cuma seorang penjaga gol yang menanti di bangku simpanan kerana terpaksa melepaskan ramai pemain kembali ke pangkuan pasukan sepanjang Liga Malaysia.

Skuad Olimpik tetap menguasai permainan sekalipun kesemua pemain perlu berhati-hati kerana khuatir dengan kecederaan dan tidak dapat meneruskan aksi memandangkan hanya dua penjaga gol, Syed Adney Syed Hussein dan Farizal Marizal yang boleh bertukar.

“Saya cuma gilirkan Farizal dengan Syed Adney dalam setiap separuh masa permainan tetapi ramai tonggak seperti Syamsol Sabtu, Aidil Zafuan Abdul Razak, Khyril Muhymeen Zambri dan Samransak Kram terikat dengan pasukan Liga M dan Piala AFC.

“Saya memberikan peluang pasukan berkenaan menggunakan khidmat mereka semula setelah kehilangan ramai tonggak kepada skuad kebangsaan yang ke Sydney. Lagipun jadual perlawanan begitu rapat dengan persahabatan ini, mereka juga perlukan rehat,” katanya.

Malaysia akan menentang Syria, pasukan di tangga kedua Kumpulan B dalam misi menghidupkan peluang ke pusingan akhir yang semakin samar selepas kalah tiga perlawanan termasuk dengan Hong Kong di Petaling Jaya, 18 April lalu.

Skuad bawah 22 tahun negara ini mesti menang di Petaling Jaya, 16 Mei ini dan kempen terakhir menentang Jepun, bulan depan sambil berharap keputusan pasukan lain termasuk Hong Kong menyebelahinya untuk layak sebagai pasukan kedua ke pusingan akhir.

Pada 28 Februari lalu, Malaysia kalah 3-1 kepada Syria di Damsyik, dibenam 2-1 oleh Jepun di Petaling Jaya pada 14 Mac tetapi sempat menewaskan Hong Kong 1-0 di tempat lawan pada 28 Mac. Penjaring gol Malaysia ialah Azril Hamid, Khyril Muhymeen Zambri dan Amirul Hadi Zainal.

“Kami mesti menang dalam baki perlawanan itu bukan sahaja untuk cuba layak bahkan mengelak tempat tercorot dan mempamerkan mutu permainan yang tinggi,” kata Sathianathan yang turut ditugaskan menerajui skuad Sukan SEA Korat, Disember ini.

Katanya, skuad Olimpik Malaysia akan menentang sebuah kelab Selangor yang bukan daripada Liga Super mahupun Perdana dalam satu lagi perlawanan persahabatan di Wisma FAM, Kelana Jaya, esok sebagai pemanas badan menjelang menentang Syria.

Skuad Olimpik Malaysia: Daudsu Jamaludin, Jazarin Jamaluddin, Sabre Mat Abu, Samransak Kram, Khyril Muhymeen Zambri, Ahmed Ezrie Shafizie Sazali, Farderin Kadir, K. Linggam, Aidil Zafuan Abdul Razak, Syamsol Sabtu, Norshahrul Idlan Talaha, Tengku Qayyum Ubaidillah Ahmad, Zaquan Adha Abdul Razak, Azamuddin Akil, Farizal Marlias, Ahmad Azlan Zainal, S. Subramaniam, Nasril Nourdin, Azril Hamid, Shakir Shaari, Azi Shahril Azmi, Azrul Ahmad, Safiq Rahim, Amirul Hadi Zainal, Syed Adney Syed Hussein.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4u3QcrCEi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan