Sabtu, 9 September 2017

Peluang Safiq, Muhymeen ke Doha kabur



ARKIB : 17/11/2006

ATLET-atlet Sukan Asia negara melaungkan kata-kata keramat bersama Liow Tiong Lai (tengah) pada majlis jamuan makan malam yang dianjurkan Astro di Seri Kembangan, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar Amir Hafiz Abd Rahman.

KUALA LUMPUR – Peluang dua pemain bawah 20 tahun negara untuk beraksi pada Sukan Asia Doha tampak kabur berikutan kelewatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar nama mereka kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Khyril Muhymeen Zambri dan Mohd. Safiq Rahim kini hanya boleh berdoa nama mereka diterima Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Doha (DAGOC) selepas disenaraikan di saat akhir oleh FAM.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi mengesahkan timbul masalah menyenaraikan nama dua pemain tengah itu dalam keadaan sekarang.

“Kita tak tak tahu peluang dua pemain itu sama ada dapat bermain atau pun tidak untuk skuad negara.

“Ini kerana FAM lambat menghantar nama mereka untuk pengesahan sedangkan pengumuman mengenainya sudah dibuat awal.

“Kini kita hanya boleh berharap nama mereka diterima DAGOC menerusi bantuan wakil sektretariat Malaysia yang telah berada di Doha ketika ini,” ujar Kok Chi.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam meraikan atlet negara oleh Astro yang dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Liow Tiong Lai di sini, semalam.

Pada majlis sama yang dihadiri 80 atlet Sukan Asia itu, Astro turut mengumumkan akan menyiarkan secara langsung temasya sukan itu bermula 25 November ini di saluran 83, 84, 85 dan 86.

Menurut Kok Chi, masalah remeh seperti ini tidak sepatutnya timbul jika FAM menyenaraikan nama 30 pemain ke Doha walaupun pemilihan mereka belum pasti.

Pada 7 November lalu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Dr. Ibrahim Saad telah mengumumkan nama Muhymeen dan Safiq untuk disenaraikan.

Namun tindakan susulan yang lembab menyebabkan berlaku kelewatan apabila FAM hanya mendaftar nama mereka kepada MOM, kelmarin.

Kedua-dua pemain muda negara itu disenaraikan untuk skuad Sukan Asia selepas kegagalan pasukan bawah 20 tahun negara pada Kejohanan Piala Remaja Asia di Bangalore, India awal bulan ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4sEBHd1Fc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan