Sabtu, 9 September 2017

Lima tonggak B20 diserap ke skuad Olimpik



ARKIB : 04/11/2006

KUALA LUMPUR – Lima pemain termasuk ketua pasukan Bawah 20 Tahun Malaysia yang kini beraksi pada Kejohanan Bola Sepak Belia Asia di Bangalore, diserapkan ke skuad Olimpik negara bimbingan B. Sathianathan.

Mereka terdiri daripada Aidil Zafuan Razak dan Sabree Mat Abu yang membarisi bahagian pertahanan selain trio tengah – Safiq Rahim, Khyril Muhymeen Zambri dan Shukur Jusoh.

Khyril merupakan penjaring gol tunggal Malaysia biarpun kalah 1-2 kepada Vietnam dalam perlawanan Kumpulan D di Stadium Sree Kanteerava itu hasil sepakan percuma Safiq.

Kata Sathianathan: ‘‘Sebenarnya saya mahu mengambil enam pemain skuad ini tetapi calon terakhirnya akan dinilai daripada laporan dan saranan ketua jurulatih mereka, K. Rajagopal.

“Sekembalinya ke Malaysia, mereka akan berehat empat atau lima hari sebelum melapor diri semula dan mungkin berpeluang menyertai perlawanan persahabatan dengan India,” katanya.

Calon keenam berlegar antara penyerang di Bangalore, Farderin Kadir atau adik kembar Aidil, Zaquan Adha Razak yang terpaksa diketepikan kerana kecederaan lutut tetapi bakal pulih tidak lama lagi.

Anak buah Sathianathan akan menentang skuad Sukan Asia India di New Delhi pada 19 dan 21 November ini tetapi sebelumnya, menghadapi dua perlawanan persahabatan dengan UPB dan Pahang pada 11 dan 14 November ini.

Skuad Olimpik yang terdiri daripada pemain bawah 21 tahun dan bakal diadunkan dengan tonggak skuad Sukan Asia Doha (bawah 23 tahun), bermain dalam kelayakan Olimpik dari 28 Februari hingga 6 Jun tahun depan.

Antara pemain skuad Sukan Asia yang mungkin dipertimbangkan oleh Sathianathan ialah penyerang Saramsak Kram, penjaga gol Syed Adney Syed Hussain dan pemain tengah, Norfarhan Mohamad.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B pusingan kedua kelayakan Olimpik dengan Jepun dan Syria selain pemenang perlawanan pusingan pertama antara Hong Kong dengan Bangladesh.

Skuad negara berkedudukan ke-11 daripada 14 pasukan dalam kelayakan itu, di belakang Iraq, Korea Selatan, Jepun, Bahrain, Iran, Oman, Kuwait, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Lebanon.

Kali terakhir mereka bermain dalam perlawanan sebenar ialah menduduki tempat tercorot Piala Ibu Kota SHBank di Hanoi, bulan lalu di belakang Vietnam dan Thailand selepas kalah 0-4 dan seri 0-0.

Malaysia pernah mara ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980. Di Munich, kita menewaskan Amerika Syarikat 3-0 dan dikalahkan 0-6 dan 0-3 oleh Maghribi dan Jerman Barat tetapi memulaukan Moscow kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke Afghanistan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4sB4DEp8Y
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan