Khamis, 21 September 2017

Azi, Linggam antara 4 digugur



ARKIB : 22/02/2007

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Pemain tengah kebangsaan, Azi Shahril Azmi dan bek kanan skuad pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2005, K. Linggam merupakan antara empat nama yang digugurkan daripada skuad Olimpik Malaysia yang bakal memulakan kempen kelayakan, minggu depan.

Azi Shahril, pemain simpanan skuad senior yang mara ke separuh akhir Kejohanan AFF, baru-baru ini, diketepikan atas alasan dia perlu menjaga bapanya yang sakit sementara Linggam masih mengalami kecederaan buku lali sejak perlawanan persahabatan dengan Olimpik Denmark.

Jurulatih skuad Olimpik negara, B. Sathianathan berkata, turut digugurkan daripada aksi sulung menentang Syria di Damsyik pada 28 Februari ini ialah ialah dua lagi pemain tengah, Jasarin Jamaluddin dan Azamuddin Akil akibat kecederaan lutut.

“Pengguguran ini bagaimanapun bukan muktamad kerana kami cuba memberikan masa kepada mereka untuk mengatasi masalah tersebut dan akan memanggil semula mereka bagi perlawanan kelayakan seterusnya yang dijalankan sehingga Jun ini,” katanya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B pusingan kedua Kelayakan Olimpik, juga akan menentang Jepun pada 14 Mac di Stadium Petaling Jaya, ke Hong Kong pada 28 Mac, melayani kedatangan Syria (18 April) selain Jepun (16 Mei) dan Hong Kong (3 Jun).

Menurut Sathianathan, skuad negara seramai 22 pemain yang diketuai Ahmad Azlan Zainal juga daripada skuad Sukan SEA, berlepas ke Doha, awal pagi ini untuk mengadakan perlawanan persahabatan terakhir menentang skuad Olimpik Qatar, Sabtu ini.

“Saya masih boleh memilih pemain baru daripada 30 pelatih yang dikumpul sejak sesi latihan awal atau berdasarkan prestasi semasa pemain sepanjang Liga Malaysia,” kata bekas penolong jurulatih Hatem Souissi dari Tunisia ketika Kelayakan Olimpik 1999.

Skuad Olimpik bagaimanapun masih bertuah kerana memiliki segelintir tonggak senior seperti Samransak Kram, Khryil Muhymeen Zambri dan Safiq Rahim selain mereka yang berpengalaman Sukan Asia Doha (Ahmad Azlan dan Syed Adney Hussein) serta daripada Kejohanan Belia Asia di Bangalore – Aidil Zafuan Razak, Manaf Mamat dan Farderin Kadir.

Sejak Julai tahun lalu, anak didik Sathianathan menang dua kali, seri tiga kali dan kalah lima kali dalam perlawanan persahabatan dan dua kejohanan antarabangsa yang meliputi menentang skuad Olimpik Afrika Selatan, Indonesia, Thailand, Denmark, Maldives dan skuad kebangsaan Myanmar serta Vietnam.

“Misi kami ialah mara ke pusingan kedua daripada kumpulan ini sekurang-kurangnya sebagai naib juara,” katanya. Sebagai rekod, Malaysia pernah kalah secara agregat kepada Hong Kong 5-2 dan Jepun 8-0 dalam kelayakan 1999.

Sejarah turut merekodkan pencapaian terbaik Malaysia ialah mara ke Sukan Olimpik 1972 di Munich dan Moscow 1980. Bagaimanapun Malaysia memulaukan temasya 1980 kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

SKUAD OLIMPIK MALAYSIA:

Farizal Marlias, Nasril Nourdin, Syed Adney Hussein, Daudsu Jamaludin, Sabri Mat Abu, Samransak Kram, Khyril Muhymeen Zambri, Farderin Kadir, Aidil Zafuan Razak, Syamsol Sabtu, Norshahrul Idlan Talaha, Tengku Qayyum Ubaidullah Ahmad, Ahmad Azlan Zainal, S. Subramaniam, Azril Hamid, Shakir Shaari, Azrul Ahmad, Safiq Rahim, Amirul Hadi Zainal, Kamarul Afiq Kamaruddin, Manaf Mamat, Ahmad Ezrie Shafizie

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4tKUVW0ie
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan