Rabu, 6 September 2017

Kad merah kerana komitmen



Nazri Abu Bakar
sukan@hmetro.com.my
 
MELAKA: Kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim menjelaskan kad merah dilayangkan kepada pemain skuad kebangsaan pada aksi kelayakan Piala Asia berdepan Hong Kong semalam bukan disengajakan sebaliknya disebabkan kesungguhan tinggi pemain untuk memberikan yang terbaik hingga berlaku insiden itu.

Menurutnya, mana-mana pemain juga berada dalam situasi di luar kawalan untuk mempertahankan kubu pasukan hingga menjadi salah di mata pengadil perlawanan.

Katanya, usaha mengelak gawang dibocori pada saat terdesak menyaksikan ia dipandang negatif pengadil hingga situasi yang berbeza mendorong pemain negara diperintah keluar padang.

Pada aksi di Stadium Hang Jebat malam semalam, pemain pertahanan Rizal Ghazali menerima kad kuning kedua pada minit ke-89 dan Aidil Zafuan Razak pada masa kecederaan juga menerima kad kuning kedua selepas membantah keputusan pengadil dari Australia, Christopher Beath yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Hong Kong.

“Rakan sepasukan membuktikan kesungguhan tinggi hingga tidak sedar melakukan kesalahan dan mereka tidak harus dipersalahkan.

“Malah reaksi spontan itu adalah biasa untuk menzahirkan semangat dan api perjuangan pasukan. Apa yang penting keputusan positif ini diharap mampu dikekalkan dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Menurutnya, dia dan rakan sudah mempamerkan yang terbaik dalam perlawanan itu namun rezeki tidak berpihak kepada mereka untuk mencatat kemenangan walaupun gerakan kelihatan lebih baik berbanding lawan.

Safiq berkata, sememangnya skuad negara amat dahagakan kemenangan, justeru dia yakin komitmen tinggi yang dipamerkan mampu membuahkan hasil lebih lumayan pada perlawanan akan datang.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 2:00 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan