Sabtu, 9 September 2017

FAM tuntut aksi terbaik di Doha



 ARKIB : 13/11/2006

KUANTAN – Pasukan bawah 23 tahun negara yang akan bermain di Sukan Asia, Doha awal bulan depan diminta agar memberikan persembahan terbaik dan berjuang dengan penuh bersemangat demi para penyokong bola sepak tempatan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, beliau tidak dapat menjanjikan apa-apa daripada pasukan bawah 23 tahun itu selain melihat hasil usaha mereka sendiri kelak.

Jelasnya, isu-isu berkaitan prestasi pasukan negara yang dilihat lemah di kalangan rakyat tempatan tidak sepatutnya mempengaruhi mutu permainanan mereka di Doha nanti.

Katanya, semangat para pemain bawah 23 tahun adalah kunci utama kejayaan mereka kelak.

“Saya tak berani nak janji apa-apa, semuanya terletak kepada para pemain dan pegawai pasukan untuk menghasilkan satu keputusan terbaik ketika beraksi di Sukan Asia nanti.

‘‘Saya begitu berharap semua pemain dan pengawai pasukan dapat bergabung menjadi sebuah pasukan yang mantap untuk berjaya di sana nanti, cuba naikkan kembali semangat untuk mengharumkan nama negara di kalangan pemain,’’ jelasnya kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Hari Raya di Kem 4 Briged Mekanise, Batu 10, Kuantan semalam.

Senarai terakhir 20 pemain skuad kendalian Norizan Bakar itu baru sahaja dikeluarkan minggu lalu di mana tiga pemain senior, Khaironnisam Sahabudin, Hardi Jaafar dan Norhafiz Zamani Misbah serta dua pemain bawah 20 tahun negara, Safiq Rahim dan Khyril Muhymeen Zambri turut dibawa ke Doha.

Tambahnya, pemain kebangsaaan juga perlu membuktikan pemilihan mereka dalam skuad ke Doha tepat dengan membalas kepercayaan para penyokong bola sepak negara yang sentiasa mendoakan kejayaan mereka.

‘‘Semua pasukan kuat, semua pasukan membuat persediaan rapi, semua pemain mendapat pendedahan yang luas dan mereka juga mahu menang. Jangan pandang mudah kepada pasukan lawan sama ada mereka kuat ataupun tidak.

‘‘Semua bergantung kepada pemain itu sendiri selain strategi yang efektif jurulatih ketika perlawanan berlangsung. Kalau nak tanya saya, dari dulu lagi saya sentiasa mengharapkan kejayaan daripada pasukan kebangsaan,’’ katanya.

Malaysia bakal membuka tirai saingan dengan bertemu Oman selepas diletakkan dalam Kumpulan E bersama-sama sebuah lagi pasukan handalan, China dan salah satu pasukan yang beraksi dalam pusingan kelayakan sama ada Singapura, Indonesia, Syria atau Iraq.

Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah berharap per satuan-persatuan bola sepak negeri dapat melepaskan pe main-pemain muda mereka andai cadangan membawa pasukan bawah 20 tahun negara berlatih di London, England dilaksanakan.

‘‘Kalau sayangkan bola sepak negara, berkorbanlah, biar mereka berlatih di sana untuk memajukan bola sepak kita

Menurutnya, beliau masih menyimpan kepercayaan kepada skuad kendalian K. Rajagopal yang baru pulang dari Bangalore, India itu untuk menjadi sebuah pasukan yang akan mencapai kejayaan cemerlang pada masa akan datang.

‘‘Sekarang memang masa yang paling sesuai untuk Majlis Sukan Negara (MSN) memberi tumpuan sepenuhnya kepada pasukan bawah 20 tahun, saya harap MSN dapat membuat satu garis panduan mengenai corak latihan pasukan itu di sana nanti,’’ katanya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4sE6OrE5Q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan