Sabtu, 30 September 2017

Safiq enggan ambil pusing isu venue



Sabtu, 30 September 2017 | 4:50pm

 


KETUA pasukan Harimau Malaya, Safiq Rahim. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
Safiq enggan ambil pusing isu venue
Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

KUALALUMPUR: Ketua pasukan Harimau Malaya, Safiq Rahim enggan mengambil pusing mengenai penetapan venue bagi aksi kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2019 menentang Korea Utara yang ditunda kali ketiga Khamis lalu.

Aksi ketiga Kumpulan B itu sebelum ini dijadualkan di Pyongyang, namun ditangguhkan susulan larangan perjalanan rakyat Malaysia ke republik itu yang dikeluarkan Kementerian Luar susulan ketegangan politik di sana.

Jawatankuasa Pertandingan AFC bakal bersidang untuk menentukan tarikh baru dan gelanggang pertemuan kedua-dua pasukan, manakala aksi bertemu Hong Kong 10 Oktober ini diteruskan mengikut jadual asal.

"Sama ada beraksi di Pyongyang ataupun gelanggang berkecuali, itu semua di luar bidang kuasa kami sebagai pemain.

"Kami perlu mengikut apa saja yang diaturkan untuk skuad kebangsaan. Kami akan menjalani persiapan menentang Hong Kong 4 Oktober (Rabu ini) sebelum bertolak untuk mendapat keputusan yang baik," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Penangguhan ini adalah yang ketiga dibuat berikutan jadual asal perlawanan pada 28 Mac lalu ditunda kepada 8 Jun berikutan ketegangan hubungan diplomatik susulan pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari lalu.

Berikutan ketegangan yang berlanjutan itu, aksi berkenaan sekali lagi ditunda ke 5 Oktober ini.

Malaysia yang meraih satu mata dalam dua aksi awal apabila tumbang 1-2 kepada Lubnan di Stadium Larkin sebelum terikat 1-1 ketika melayan kunjungan Hong Kong di Stadium Hang Jebat, harus mencuri tiga mata penuh apabila bertandang ke Stadium Hong Kong.

"Misi utama kami adalah mencari kemenangan dalam setiap aksi selepas ini bagi membuka peluang untuk pasukan mara ke pusingan akhir di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2019 nanti.

"Apa-apa perkara selain daripada itu, ia bukan keutamaan kami. Saya percaya rakan-rakan lain juga bersetuju dan mereka juga bersemangat untuk memburu kemenangan," katanya.

Ketika ini, skuad negara berada di tangga tercorot dengan Lubnan memimpin carta kumpulan selepas mengumpul tujuh mata, diikuti Korea Utara di tempat kedua berkongsi dua mata bersama Hong Kong, namun dibezakan menerusi jumlah gol
SUMBER-BERTIA HARIAN ONLINE Sabtu, 30 September 2017 | 4:50pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan