Jumaat, 26 April 2019

Safiq tercedera, mungkin terlepas aksi Piala AFF 2014


Selasa, 11 November 2014 | 9:22pm
 
Safiq Rahim mengawal bola ketika skuad bola sepak kebangsaan Harimau Malaya menjalani latihan di Wisma FAM menjelang perlawanan persahabatan menentang Syria di Stadium Shah Alam esok. - Foto Osman Adnan
PETALING JAYA: Pemain kebangsaan, Safiq Rahim mungkin terlepas peluang beraksi di Piala Suzuki AFF 2014 berikutan kecederaan lutut kanan.

Kejohanan bola sepak tahunan itu akan bermula pada 23 November ini di Singapura.

Pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh berkata keadaan Safiq itu akan diketahui, hari ini selepas pihaknya menerima keputusan pemeriksaan fisioterapi terhadap lutut pemain itu.

"Saya difahamkan Shafiq mengalami kecederaan ligamen di bahagian lututnya.

"Jika dilihat daripada aspek prestasi, Safiq mungkin tidak dapat beraksi pada Piala AFF nanti," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pengurus pasukan perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Syria di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, hari ini.

Dollah berkata sekiranya skuad kebangsaan tidak dapat menggunakan khidmat Safiq beliau masih mempunyai pilihan pemain lain seperti Baddrol Baktiar, Mohd Badhri Radzi, Md Hafiz Kamal termasuk Shukor Adan bagi posisi pertahanan.

"Safiq mempunyai pengalaman dalam membawa kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010. Beliau juga pakar dalam sepakan percuma, saya hilang kelebihan beliau di situ," katanya.

Safiq dan seorang lagi pemain kebangsaan R Gopinathan yang turut mengalami bengkak pada bahagian lutut juga tidak dapat beraksi pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Syria, esok.

Malaysia berdepan laluan sukar pada Piala AFF Suzuki apabila diundi bersama juara bertahan, Singapura dan juara tiga kali Thailand serta Myanmar dalam kumpulan B.

Dalam pada itu Dollah turut memilih Shukor menjadi kapten pasukan pada perlawanan antarabangsa menentang Syria di Stadium Shah Alam, esok.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Shukor akan menjadi kapten pasukan pada Piala AFF Suzuki nanti.

Dollah berkata pemain perlu menunjukkan keserasian dan komitmen mereka dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa iaitu Syria dan Vietnam di Vietnam di Stadium My Dinh, Ahad ini.

"Setakat ini saya masih tidak puas hati dengan persiapan mereka, tetapi saya faham berikutan beberapa perlawanan dalam saingan Piala Malaysia yang terlalu panjang, pemain sudah mula rasa letih.

"Saya percaya pemain akan membuktikan sesuatu esok (perlawanan menentang Syria). Pemain tetap memberikan komitmen mereka 100 peratus dalam latihan.

"Saya mengharapkan kemenangan dan corak permainan lebih meyakinkan untuk menghadapi Piala AFF Suzuki tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Syria, Muhannad Al Fakeer Yassin berkata pasukan Malaysia mempamerkan permainan pantas dalam beberapa perlawanan persahabatan menentang Indonesia, Kemboja dan Filipina.

"Malaysia memiliki pemain yang bagus terutama di bahagian tengah dan penyerang, saya pasti esok adalah perlawanan mencabar antara Malaysia-Syria. Saya berharap pemain akan mempersembahkan permainan yang menarik," katanya. – BERNAMA
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 11 November 2014 | 9:22pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan