Khamis, 25 April 2019

Harimau Selatan sah tempat


MyMetroNode
Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my
 
Johor Bahru: Jaringan Juan Martin Lucero dan Jorge Pereyra Diaz melonjakkan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) melangkah ke separuh akhir Piala AFC selepas menewaskan South China AA dengan agregat 3-2 di Stadium Larkin, malam tadi.

Menang dengan 2-1 pada aksi suku akhir kedua itu menempatkan skuad Harimau Selatan dalam kelompok empat terbaik selepas seri 1-1 di Hong Kong, minggu lalu.

Johor DT tampak semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan Piala AFC dimenangi musim lalu dan menanti pemenang di antara Bengaluru dari India atau Tampines Rovers (Singapura) yang beraksi di Stadium Jalan Besar, malam ini.

Skuad kendalian Mario Gomez yang mengekalkan kesebelasan utama ketika aksi di Stadium Mong Kok pada Selasa lalu, bermula garang seawal minit ketiga namun Diaz gagal melakukan penyudah berkesan.

Kerakusan tuan rumah mengintai gawang lawan berterusan dengan bola hantaran Muhd Fazly Mazlan pada minit ke-13 tepat kepada Hariss Harun yang merembat kencang namun penjaga gol South China, Tsang Man Fai sudah bersedia menampan bola keluar.

Gawang pelawat tampak masih kebal selepas hantaran menarik Muhd Fazly pada minit ke-17 menyaksikan Diaz sempat mendada bola sebelum merembat kencang namun sekadar melepasi palang gol.

Bagaimanapun, tuan rumah terpaksa melupakan khidmat S Kunanlan yang hanya beraksi 28 minit selepas mengalami kecederaan dan tempatnya diganti Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

Ketika aksi memasuki minit ke-31, Azamuddin Akil merembat kencang dari luar kotak penalti tetapi palang gol menjadi penghalang ketika Man Fai sudah tertewas.

Pengadil perlawanan, Tantashev Ilgiz dari Uzbekistan menghadiahkan sepakan penalti kepada Johor DT selepas Man Fai mengasari Diaz dalam kotak penalti pada minit ke-50 namun peluang terhidang disia-siakan kapten Safiq Rahim selepas Man Fai mudah menepis sepakannya.

Serangan bertali arus tuan rumah membuahkan hasil pada minit ke-57 selepas hantaran leret Azamuddin dissambut Lucero yang tidak dikawal, sekali gus memudahkan tugas pemain import dari Argentina menjaringkan gol pembukaan Johor DT.

Tersentak dengan jaringan itu, pelawat menggandakan asakan memburu gol penyamaan namun gerakan pemain gantian Ryan Griffith pada minit ke-74 gagal disudahkan Nikola Komazec yang merembat terus ke dakapan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.

Ketika aksi berbaki tiga minit untuk ditamatkan Diaz melengkapkan malam gemilang Johor DT apabila mudah menanduk masuk gol kedua hasil sepakan sudut Safiq.

Komazec menjaringkan gol saguhati pada minit ke-93 masa tambahan, namun sudah terlambat menghalang tuan rumah daripada menang 2-1 dan mara ke separuh akhir.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 10:28 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan