Ahad, 14 April 2019

Melaka United hilang aura Hang Tuah?

MyMetroArena
Shamsul Kamal Amarudin
shaka@nstp.com.my
 
MELAKA United harus menggandakan usaha termasuk membaiki kesilapan dilakukan pemain bagi mengelak pasukan terus mengalami kekalahan.

Itu rumusan dibuat penolong ketua jurulatih, Mohd Nidzam Adzha Yusoff selepas pasukan bimbingannya tewas kepada PKNP 0-1 hasil jaringan sendiri pemain pertahanan, Ahmad Khuzaimi Piee pada minit ke-66.

Sebelum ini, pasukan Hang Tuah tewas 2-3 kepada PKNS dalam saingan Piala FA dan 3-4 kepada Selangor dalam perlawanan Liga Super di hadapan penyokong sendiri.

"Jika dirumuskan balik dalam ketiga-tiga perlawanan yang kami tewas, kesemua gol pihak lawan adalah kesilapan pemain sendiri.

"Jadi, perlu digandakan usaha dan tingkatkan latihan (membaiki kesilapan pertahanan) untuk mendapat keputusan yang positif," katanya.

Mengulas perlawanan malam tadi, Nidzam Adzha berpuas hati dengan usaha dan komitmen pemain yang lebih banyak mencipta peluang di barisan hadapan berbanding tuan rumah.

"Malangnya, kami tidak dapat menterjemahkan peluang itu kepada jaringan dan sedikit kesilapan gol sendiri, kami kehilangan mata," katanya.

Beliau berkata, pasukan itu kini membuat persiapan dalam melayan kunjungan Kedah bagi saingan Liga Super seterusnya.

"Bagi saya, setiap pasukan dalam Liga Super adalah seimbang, prestasi semasa perlawanan yang menentukan (siapa pemenang)," katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 8:19 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan