MyMetroNode
Rizar Mohd Noor
sukan@hmetro.com.my
Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim
(Johor DT) menjadikan Melaka United (MU) mangsa amukan selepas membelasah
pasukan itu 7-0 pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.
Kemenangan itu amat penting buat
skuad Harimau Selatan untuk terus mengekori rapat pendahulu liga, Pahang dan
Kedah yang mengumpul 19 mata ketika skuad kendalian Benjamin Mora hanya
dipisahkan dua mata.
Skuad Harimau Selatan bagaikan
ingin menebus kekecewaan selepas tewas dua perlawanan berturut-turut pada aksi
Piala FA dan Piala AFC apabila mempamerkan penguasaan sejak awal.
Hanya tujuh minit diperlukan anak
didik Mora untuk merungkai jaringan selepas gerakan yang dimulakan Azrif
Nasrulhaq Badrul Hisham tepat kepada Gabriel Guerra yang berada di dalam kotak
penalti bertindak merembat bola leret menewaskan Fazli Paat.
Benteng pelawat yang tampak rapuh
mudah dihukum tuan rumah pada minit ke-18 selepas bola umpanan Gonzalo Cabrera
dibiarkan Hazwan Bakri yang membuka ruang kepada Safiq Rahim untuk mudah
menolak bola menerjah jaring.
Tuan rumah terus menambah derita
skuad kendalian Eric Williams apabila berjaya menambah gol ketiga pada minit
ke-23 selepas bola lorongan Safiq tepat kepada Amirul Hadi Zainal yang berjaya
melepasi perangkap ofsaid dan mudah menolak bola menewaskan Fazli.
Penguasaan ketara tuan rumah
membolehkan mereka menambah derita pelawat selepas gol keempat terhasil pada
minit ke-34 berpunca daripada bola umpanan pemain gantian Azamuddin Akil
menyaksikan Cabrera bingkas merembat bola leret yang terkena tiang kanan
sebelum bergolek masuk.
Tidak sampai seminit selepas
rehat, gol kelima menyusul buat tuan rumah selepas bola hantaran Guerra membuka
ruang untuk Azamuddin yang merembat kencang mengatasi Fazli.
Safiq mencetak gol kedua peribadi
pada minit ke-59 untuk meletak tuan rumah selesa dengan jaringan 6-0 selepas
mudah menyempurnakan umpanan Cabrera yang langsung tidak dikawal pertahanan
pelawat.
Tindakan Godwin Brago mengasari
Azrif dalam kotak penalti menyaksikan pengadil Razlan Jefri Ali tidak teragak-agak
menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-88 dan Safiq yang mengambil sepakan
itu mudah mencipta jaringan untuk melakar hatrik.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Isnin, 10 April 2017 @ 9:38 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan