Jumaat, 26 April 2019

JDT perlu terus kekalkan rentak - Safiq


Isnin, 14 March 2016 | 6:34pm
 
SAFIQ Rahim.
MELAKA: Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) perlu mengekalkan rentak dan taktikal permainan untuk misi terus meraih kemenangan pada perlawanan seterusnya bagi mempertahankan kejuaraan Liga Super, kata kapten pasukan Safiq Rahim.

Justeru, katanya, pemain skuad Harimau Selatan perlu terus mempamerkan aksi positif selepas kemenangan 2-0 yang diperoleh ketika menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Hang Jebat di sini, malam tadi.

"Setiap pemain telah memberi komitmen 100 peratus dalam perlawanan (menentang PDRM) yang agak 'sengit'," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan tersebut di sini, malam tadi.

Safiq berkata pemain perlu memikirkan strategi termasuk aspek taktikal bagi memperbaiki kelemahan yang ada untuk beraksi cemerlang pada perlawanan akan datang.

Pada perlawanan itu, gol JDT dijaringkan menerusi sepakan penalti oleh Safiq pada minit ke-49 dan penyerang import dari Argentina, Jorge Diaz pada minit ke-77 untuk kembali menerajui kedudukan teratas liga.

Kemenangan keempat yang diraih skuad Harimau Selatan selepas lima perlawanan menyaksikan mereka mengutip 13 mata, kelebihan satu mata ke atas pesaing terdekat, FELDA United.

Sementara itu, Ketua Jurulatih PDRM Mohd Fauzi Pilus berkata pasukan kendaliannya itu akur dengan kekalahan tersebut namun berharap mutu pengadilan bagi perlawanan akan datang dipertingkatkan.

"Gol (sehingga kami tewas) tidak menjadi masalah tetapi keputusan penalti (untuk gol pertama JDT) itu telah mengganggu konsentrasi pemain pada malam ini.

"Tetapi inilah rencah dan nasib yang kita terpaksa terima dalam perlawanan bola sepak," katanya.

Mohd Fauzi bagaimanapun berpuas hati dengan persembahan dan komitmen yang ditunjukkan pasukannya dalam perlawanan itu. – BERNAMA
SUMBER- BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 14 March 2016 | 6:34pm


Tiada ulasan:

Catat Ulasan