MyMetroNode
Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim
(Johor DT) berada dalam kelas tersendiri untuk melangkah ke saingan suku akhir
Piala AFC selepas membelasah Ayeyawady United FC 5-0 di Stadium Larkin, malam
tadi.
Kemenangan di pusingan kedua
kalah mati itu memastikan Johor DT mencatat sejarah tersendiri apabila buat
pertama kali beraksi di peringkat lebih tinggi dan akan bertemu pasukan dari
Asia Barat pada Ogos ini, sekali lagi menyamai pencapaian Selangor yang pernah
layak pada musim 2006 dan Kelantan, 2012.
Sebaik babak pertama bermula,
tuan rumah tidak menunggu lama apabila mencipta gol pada minit ke-2, berpunca
daripada gerakan Luciano Figueroa yang mengumpan kepada Jorge Pereyra Diaz
sebelum melorongkan bola kepada Safiq Rahim untuk menolak masuk menewaskan
penjaga gol, Vanlal Hruai.
Skuad Harimau Selatan bagaikan
tidak mahu hanya berpuas hati dengan jaringan tunggal pada awal babak
perlawanan, sebaliknya menggandakan asakan namun bola tandukan Figueroa pada minit
ke-17 sempat ditampan Hruai.
Sekali lagi Figueroa memiliki
peluang mencetak nama selaku penjaring gol Johor DT pada minit ke-22 tetapi
terlepas melakukan penyudah selepas menerima umpanan lintang Nazrin Nawi
tatkala Hruai sudah tertewas.
Skuad kendalian Marjan Sekulovski
yang tersentak dengan jaringan awal itu mula mengatur serangan balas pantas
pada minit ke-27 tetapi hasrat menyamakan gol tidak kesampaian apabila rembatan
deras Pyae Phyo Oo selepas menerima umpanan Riste Naumov, sedikit tersasar.
Sebaik babak kedua bermula, anak
didik Mario Gomez menambah duka Ayeyawady United FC menerusi sentuhan `Amerika
Latin' apabila Diaz bijak memperdayakan pertahanan pelawat sebelum melorongkan
bola tepat kepada Figueroa yang mudah menewaskan Hruai untuk meletakkan tuan
rumah selesa dengan 2-0.
Diaz yang kembali menguatkan
jentera serangan selepas hampir dua bulan tidak beraksi nyata tampak berbisa
apabila memastikan namanya selaku penjaring pada minit ke-61 selepas bertindak
merembat leret hasil umpanan Figueroa.
Ternyata kelibat Diaz menjadi
duri dalam daging buat pelawat apabila melengkapkan jaringan kedua peribadi
pada minit ke-74 selepas menanduk kemas bola sepakan sudut Safiq.
Figueroa turut menjaringkan gol
kedua peribadi untuk memastikan kemenangan bergaya Johor DT 5-0 menewaskan
kelab dari Myanmar itu.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Khamis, 28 Mei 2015 @ 8:16 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan