Rahsia Rajagobal robek 3 gol
Oleh FERZALFIE FAUZI dan ABDUL HAFIZ AHMAD
sukan@utusan.com.my
Pemain Malaysia meraikan jaringan pembukaan Safiq
Rahim pada perlawanan dengan Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil,
semalam.
KUALA LUMPUR - Jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal
mendedahkan tayangan video perlawanan Liverpool menentang Guangdong Sunray Cave
di Guangzhou, Rabu lalu, memberikannya ilham untuk merobek gawang Liverpool
walaupun terpaksa akur dengan kehebatan lawan apabila kalah 6-3 di Bukit Jalil,
semalam.
"Menerusi sesi video itu, saya meminta pemain
supaya tunjukkan kesegeraan dalam memburu gol dan akhirnya kami berjaya beroleh
tiga gol dan saya gembira dengan prestasi Safee Sali (yang baru pulih daripada
kecederaan sejak menentang Taiwan dalam Kelayakan Piala Dunia, baru-baru ini.
"Inilah hasil yang saya mahukan (jika
dibandingkan dengan perlawanan menentang Arsenal, Rabu lalu) dan penonton
terhibur dengan persembahan kedua-dua pasukan.
"Saya juga kagum dengan sorakan sebahagian
besar penonton yang tetap padu kepada pasukan kita biarpun menyarung jersi
merah Liverpool kerana mereka sudah menyedari di atas padang itulah sebenarnya
pemain dan 'saudara' mereka yang berjuang demi Malaysia," katanya.
Tambah Rajagobal, perlawanan semalam menjana
ideanya untuk memilih gandingan kesebelasan utama negara apabila menyeberang
Tambak Johor menentang Singapura pada Kelayakan Piala Dunia, pada 23 Julai ini,
biarpun resah kerana kelalaian pertahanan memberikan keenam-enam gol kepada
kelab Liga Perdana England itu.
"Ada kalanya keputusan atau kesilapan individu
mematahkan semangat sepasukan sehingga lawan beroleh gol. Tidak hairanlah,
pasukan bertaraf dunia seperti Liverpool dengan cepat menghukum kita,"
katanya.
Rajagobal turut memuji kepintaran dan ketenangan
Ismail Faruqi Ashari meskipun baru kali pertama diturunkan menentang pasukan
sehebat Liverpool, apatah lagi ketika Malaysia ketinggalan tiga gol.
"Pemain kita bukan jutawan seperti pemain
lawan tetapi sesiapa yang membuat kesilapan, dengan segera saya tukar dan beri
peluang kepada muka baru untuk membuktikan kemampuan," katanya.
Rajagobal secara berseloroh tidak menafikan
pemakaian jersi biru sering kali membawa tuah atau mendorong persembahan yang
lebih baik daripada anak buahnya, berbanding ketika menyarung jersi kuning
hitam seperti menentang Arsenal, Rabu lalu dan Taiwan di Taipei dalam
perlawanan kedua Kelayakan Piala Dunia.
"Pemain seperti ada tenaga tambahan apabila
pakai baju biru. Mungkin kita boleh gunakannya lagi apabila menentang
Singapura, 23 Julai ini. Saya rasa kita tiada masalah dengan lawan itu (yang
mungkin menggunakan jersi pertama atau tempat sendiri, merah)," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5eZGAlbAY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan