ARKIB : 01/06/2011
SHAH ALAM - Bukan masalah besar buat beberapa
pemain senior skuad kebangsaan untuk bergabung dengan pemain baru yang
dipanggil jurulatih negara, K. Rajagobal menjelang perlawanan persahabatan
menentang Hong Kong Jumaat ini, jelas ketua pasukan, Safiq Rahim.
Menurut pemain Selangor itu, ia seolah-olah satu
semangat baru yang disuntik ke dalam skuad kebangsaan dengan kehadiran pemain
seperti Hisyamudin Shaari, Helmi Remeli, Shahrom Kalam, Farisham Ismail, Ismail
Faruqi Ashari dan Abdul Hadi Yahaya.
"Sekarang ini semua pemain yang dipanggil
jurulatih perlu merebut tempat untuk beraksi dalam kesebelasan utama, ia adalah
persaingan yang sihat dalam skuad kebangsaan, semua pemain mempunyai kelebihan
masing-masing," katanya ketika ditemui media pada pelancaran Liga Komuniti
MiziSports di sini, semalam.
Jelasnya, rata-rata pemain yang dipanggil Rajagobal
beraksi baik dalam saingan Liga Malaysia musim ini, malah kesemua pemain juga
dilihat berada pada tahap kecergasan yang sama kerana mengharungi jadual yang
padat.
"Apa yang membezakan antara pemain baru dan
lama adalah dari segi faktor pengalaman, jika hendak diukur dari segi fizikal
dan mental semuanya masih lagi letih bermain dalam jadual liga yang padat,
peluang antara pemain amat terbuka.
"Selepas dipanggil menyertai kem latihan Ahad
lalu kami banyak menjalani latihan ringan bagi memulihkan semula kecergasan
masing-masing, mungkin petang ini (semalam) kami akan menjalani latihan berat,"
kata Safiq.
Safiq, 23, membayangkan dengan mulanya latihan yang
lebih berat maka 'peperangan' bakal bermula antara pemain baru dan lama, di
mana masing-masing akan cuba untuk memikat jurulatih menjelang perlawanan
persahabatan bertemu Hong Kong.
"Saya rasa pemain baru tidak berdepan masalah
untuk mengikuti corak latihan yang diterapkan oleh jurulatih, saya juga lebih
senang melihat skuad Malaysia mempunyai pemain yang boleh dipanggil pada
bila-bila masa menyarung jersi kebangsaan.
"Kita mempunyai banyak perlawanan selepas ini
termasuk yang paling penting, kelayakan Piala Dunia, jika dalam senarai
keseluruhan kita mempunyai antara 50 hingga 60 pemain yang bakal dipanggil
menyertai kem latihan pada bila-bila masa ia adalah sesuatu yang mengagumkan,"
katanya.
Ditanya harapannya bertemu Hong Kong pada
perlawanan persahabatan nanti, Safiq berkata, seluruh pasukan meletakkan
harapan yang tinggi walaupun kali kedua bertemu Hong Kong dan pertemuan pertama
mereka menang 2-0.
"Kami mahu mengekalkan prestasi terbaik ini,
kemenangan demi kemenangan perlu diteruskan, bukan sahaja penyokong dan seluruh
rakyat Malaysia, pemain juga menaruh harapan yang tinggi, tiada sasaran lain
iaitu mencatatkan mengalahkan Hong Kong," katanya.
Skuad negara dijangka berlepas ke Hong Kong pagi
ini dan mereka akan bertemu dengan Myanmar dalam satu lagi perlawanan
persahabatan 18 Jun ini di Kota Bharu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5eLd4D7IV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan