Sabtu, 2 Februari 2019

Jangan ambil mudah Myanmar - Shafiq


ARKIB : 18/06/2011
Jangan ambil mudah Myanmar - Shafiq
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
 
timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Tan Sri Annuar Musa (tengah) bersama pasukan Harimau Malaya dan Myanmar selepas sesi bertemu peminat di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU - Meskipun sekadar perlawanan pemanas badan, ketua pasukan kebangsaan, Shafiq Rahim mengingatkan rakan-rakannya supaya tidak mengambil mudah pertemuan menentang Myanmar di Stadium Sultan Muhammed IV di sini, malam ini.

Menurut Shafiq, perlawanan ini cukup penting buat pasukan Harimau Malaya dalam rangka persiapan menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia dijadual pada 29 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Saya harap rakan sepasukan memberikan tumpuan dan fokus sepenuhnya pada pertemuan dengan Myanmar. Ia cukup penting sebagi persediaan sebelum bertemu dengan Taiwan nanti.

"Selain itu, saya berharap rakan-rakan sepasukan dapat mengekalkan momentum kebangkitan seperti yang telah ditunjukkan dalam perlawanan sebelum ini. Walaupun hanya sekadar persahabatan ia cukup penting buat kita untuk menilai kekuatan dan kelemahan pasukan sebelum pertemuan dengan Taiwan," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis suai kenal pemain Harimau Malaya dan Myanmar serta sesi bertemu peminat di ruang legar pasar raya KB Mall, dekat sini.

Mengulas ketiadaan Norshahrul Idlan Tahala yang mengalami kecederaan, Shafiq memberitahu ia tidak menjejaskan persiapan pasukan negara.

"Bagi saya fikir kita tidak berdepan dengan masalah, kita ada pengganti yang boleh bermain di tempat Norshahrul iaitu Abdul Hadi Yahya. Saya yakin Hadi mampu menggalas tugas dengan baik sekiranya diberikan peluang," ujarnya.

Dalam pada itu, perancang tengah Red Giants ini berharap, penyokong setia The Red Warriors dapat hadir beramai-ramai ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan negara pada perlawanan tersebut.

"Ini merupakan perlawanan pertama Harimau Malaya di luar Kuala Lumpur, jadi saya mahu rakan-rakan akan bagi yang terbaik dan saya juga berharap penyokong Kelantan dapat memberikan sokongan padu seperti yang diberikan kepada The Red Warriors setiap kali mereka beraksi di sini," ujarnya.

Sementara itu, tonggak pertahanan The Red Warriors, Mohd. Farisham Ismail mahu memberikan aksi terbaik pada penampilan pertamanya bersama skuad Harimau Malaya.

Menurutnya, sekiranya di turunkan pada perlawanan tersebut dia sudah bersiap sedia untuk menggalas tugas di posisi pertahanan.

"Ini peluang terbaik buat saya untuk membuktikan kemampuan dan membalas kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5eRCm39Zt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan