Oleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF
megat@kosmo.com.my
SAFIQ (kiri) bersama ahli keluarganya yang cukup teruja melihat pingat
Piala Suzuki AFF 2010 yang dimenangi pemain itu, Rabu lalu.
MESKIPUN baru pulang ke tanah air ini kelmarin, jadual padat Safiq Rahim
yang memikul tugas sebagai kapten skuad kebangsaan Piala Suzuki AFF 2010 sudah
bermula seawal pagi semalam.
Menurut Safiq, dia menerima pelbagai undangan daripada stesen penyiaran dan
syarikat percetakan untuk diwawancara mengenai kejayaan Malaysia menjuarai
Piala Suzuki AFF pada Rabu lalu.
“Pada sebelah pagi, saya bersama rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) dan
selepas itu stesen radio Hot FM manakala pada malam ini (tadi) pula televisyen
Al Hijrah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Batu Tiga, Shah Alam
semalam.
Safiq memberitahu, dia juga belum berkesempatan untuk pulang ke rumah ibu
bapanya di Taman Purnama, Bestari Jaya, Kuala Selangor kerana jadual yang
sangat padat.
Katanya, pada pagi ini, dia akan terbang pula ke Perth, Australia untuk
latihan pramusim skuad Liga Super Selangor selama sembilan hari sebelum Liga
Malaysia 2011 bermula 29 Januari ini.
“Bagaimanapun ini sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai pemain bola
sepak kepada negara yang perlu dipikul.
“Selepas semua ini, saya ada juga bercadang untuk mengambil cuti rehat
sekejap supaya dapat bersama sekeluarga seketika,” ujarnya.
Sementara itu, bapanya, Rahim Mohd. Yatim, 51, berkata, beliau dan
isterinya, Aidah Majid, 42, memahami tugas dan tanggungjawab anak mereka dan
disebabkan itu, mereka berkunjung ke rumah Safiq semalam.
Menurutnya, satu kenduri kesyukuran yang dijangka diadakan di rumahnya di
Bestari Jaya selepas anaknya pulang ke tanah air terpaksa ditangguhkan kerana
Safiq akan berangkat ke Australia pula hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan