Khamis, 24 Oktober 2019

‘Jurulatih dorong kejayaan’


MyMetroNode
                          
Ketua pasukan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Safiq Rahim dinobat sebagai Pemain Paling Bernilai pada aksi final Piala AFC di Stadium Central Republican, kelmarin.

Dia yang juga ketua pasukan Harimau Malaya sememangnya layak menerima anugerah itu berdasarkan aksi mantapnya mengemudi jentera tengah Johor DT sepanjang kempen kali ini.

Malah, dia juga berjaya menyumbang empat gol buat skuad Harimau Selatan itu dan hanya ketinggalan satu gol di belakang penjaring terbanyak pasukan Luciano Figueroa dengan lima gol.

Menurut pemain berusia 28 tahun dari Kuala Selangor itu, anugerah yang diterimanya itu cukup bermakna dalam kariernya selaku pemain profesional namun menegaskan kemenangan itu bukan miliknya seorang tetapi ianya hasil usaha rakan sepasukan yang banyak membantu.

Katanya, jurulatih Mario Gomez juga banyak membentuk dirinya dan pemain lain terutama bagaimana untuk menjadi seorang pemain terbaik yang menepati taraf antarabangsa.

“Bagi saya jurulatih (Gomez) berjaya membentuk kami sebagai satu keluarga. Beliau sebagai abang dan juga ayah dalam pasukan. Saya melihat beliau amat mudah untuk didekati dan senang berkomunikasi dengan pemain.

“Biasanya beliau mahu kami sentiasa berbincang antara pemain dan itu yang bagus. Bahkan beliau juga banyak memberi input terkini dan taktikal yang mudah difahami oleh setiap pemain. Lihat saja malam ini (malam kelmarin), menerusi taktikalnya kami berjaya mencipta sejarah muncul juara,” katanya.

Ujar Safiq, keputusan positif yang diraih secara tidak langsung meningkatkan moral dan motivasi dirinya bagi tugasan bersama skuad negara menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 apabila bertemu Palestin di Hebron pada 12 November ini.

“Ini satu motivasi tambahan buat saya dan juga rakan lain kerana dalam pasukan ini (Johor DT) sekurang-kurangnya ada enam atau tujuh pemain yang dipanggil.

“Ia salah satu suntikan semangat dan motivasi untuk kami percaya kepada diri sendiri serta pasukan bahawa kejayaan boleh dicapai dengan memberi tentangan sengit kepada pasukan dari Timur Tengah,” katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 5:11 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan