Oleh JAGATHESWARY NARAYANAN
n.jagatheswary@kosmo.com.my
|
SAFIQ
menjulang trofi Piala Suzuki AFF 2010 selepas Malaysia menang dengan agregat
4-2 ke atas Indonesia, Rabu lalu.
|
TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tidak siapa yang tahu! Begitulah
perumpamaan terbaik untuk menggambarkan untung nasib kapten skuad bola sepak
kebangsaan, Mohd. Safiq Rahim.
Safiq mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama yang menjulang trofi
Piala Suzuki AFF 2010 biarpun baru dua bulan menggalas tugas selaku kapten
skuad negara.
Pemain tengah berusia 23 tahun ini sudah mengetepikan pencapaian bekas
kapten skuad kebangsaan terdahulu yang belum pernah mengecap pengalaman
tersebut.
Sejak kejohanan itu diperkenalkan dengan nama Piala Tiger pada tahun 1996,
Malaysia hanya sekali berjaya mara ke final iaitu pada edisi sulung itu sebelum
tewas 0-1 kepada Thailand.
Bagaimanapun, sejarah yang dilakar Safiq bersama 21 pemain yang lain di
bawah bimbingan jurulatih, K. Rajagobal tidak boleh dinilai berlandaskan nasib
baik semata-mata.
Ironinya, faktor usaha yang gigih, komitmen tinggi, kepimpinan utuh dan
semangat kesukanan yang tulus ikhlas mendorong mencipta sejarah itu.
"Kemenangan yang diraih hari ini bukan daripada usaha perseorangan
sebaliknya kerjasama dan kegigihan sebuah pasukan yang mendahagakan
kegemilangan sejak 14 tahun yang lalu.
"Dulu saya memang ada impian untuk menyertai Piala Suzuki AFF tetapi
tidak sangka mimpi itu menjadi kenyataan dalam masa yang begitu singkat,"
kata anak kelahiran Kuala Selangor, Selangor ini.
Anak sulung pasangan Rahim Mohd. Yatim, 51, dan Aidah Majid, 42, berkata,
selaku kapten skuad negara yang digalas buat julung-julung kalinya telah
memberi tekanan kepadanya.
Begitupun, sikap rakan-rakan sepasukan yang fleksibel dan terbuka
membuatkan dia memimpin pasukan dengan begitu cekap, sekali gus berjaya
merangkul piala berprestij di Asia Tenggara itu.
Dia tidak berdepan masalah untuk memimpin rakan-rakan lain ke arah mencapai
matlamat yang sama dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam semua perlawanan.
Bercerita mengenai pengalaman pada final kedua Piala Suzuki AFF yang
berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno di Indonesia pada Selasa lalu,
Safiq berkata, perlawanan itu tidak begitu kritikal tetapi seimbang sahaja.
"Disiplin tinggi yang ditunjukkan semua pemain telah memudahkan peluang
untuk menjaringkan gol kemenangan.
"Bekalan jaringan 3-0 yang telah diperoleh pada final pertama di
Stadium Nasional Bukit Jalil, ia telah meningkatkan lagi keyakinan saya dan
pemain lain.
"Justeru, saya begitu yakin dan memberi harapan tinggi serta berjanji
kepada seluruh rakyat Malaysia untuk membawa pulang Piala Suzuki AFF itu,"
ujarnya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, kapten muda itu tetap merendah diri dengan memuji
pasukan lawan, Indonesia.
Shafiq berkata, mereka masih lagi pasukan yang bagus dan memberi persaingan
yang hebat, sekali gus tertarik dengan sikap pemain lawan yang tidak mudah
putus asa.
Dia juga mengakui kemenangan ini, sama sekali mengubah persepsi masyarakat
tempatan dan antarabangsa terhadap pasukan bola sepak kebangsaan.
Ia telah menjadi laluan baru ke arah menjadi sebuah pasukan gergasi Asia
dan memiliki Piala Asia pada masa akan datang.
Bagi Safiq impian untuk melayakkan ataupun menawan trofi Piala Dunia masih
jauh lagi.
Bagaimanapun dia percaya bahawa cita-cita itu pasti dapat dicapai secara
berperingkat-peringkat dan menimba pengalaman sebelum menjadi juara dunia.
"Ini adalah perkara biasa dalam senario arena sukan, apabila mana-mana
piala yang berprestij tinggi menjadi milik negara tertentu sudah pasti matlamat
yang lebih mencabar serta tinggi diletakkan ke atas pasukan tersebut.
"Saya rasa memang mudah untuk meletak matlamat besar tetapi bukan
mudah bagi merealisasikan dalam masa yang singkat. Maka, adalah penting
bersikap realistik dan berusaha ke arah itu secara perlahan-lahan,"
jelasnya lagi.
Untuk rekod, Safiq merupakan pemain tengah Selangor dan bekas pemain KL
PLUS serta penjaring gol kemenangan Selangor pada perlawanan akhir Piala
Presiden Malaysia 2007/2008 menentang Perak.
Dia pernah mewakili pasukan bawah 20 tahun Malaysia ke Piala Belia Asia
2006 dan Sukan Asia 2006 di Doha.
Dia membuat penampilan sulung bersama pasukan utama pada Kejohanan Bola
Sepak ASEAN 2007 ketika menentang Myanmar dan kemudian hanya bermain untuk
pasukan bawah 23 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan