MyMetroNode
Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Juara Piala AFC dan Liga Super, Johor Darul
Ta’zim (Johor DT) nyata berada dalam kelas tersendiri apabila mendominasi lapan
daripada 17 anugerah dipertandingkan pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan
100PLUS-TM di Sunway Pyramid Convention Centre, malam tadi.
Paling mencuri tumpuan pastinya ketua pasukan Johor DT,
Safiq Rahim yang meraih kejayaan berganda selepas dipilih sebagai Pemain Paling
Bernilai dan Pemain Tengah Terbaik.
Dia juga sebelum ini pernah diangkat selaku Pemain Paling
Bernilai ketika skuad Harimau Selatan berjaya membenam tentangan kelab dari
Tajikistan FC Istiklol 1-0 pada final Piala AFC, 30 Oktober lalu.
Menurut Safiq, 28, kejayaan terbarunya itu melengkapkan
musim gemilang dalam diari hidupnya susulan kejayaan demi kejayaan yang diraih
bersama pasukan mahupun secara individu.
“Saya ucapkan terima kasih dengan kejayaan merangkul dua
anugerah ini yang sama sekali tidak disangka-sangka.
“Saya anggap ini rezeki dan berjanji akan terus berusaha
bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestasi sekali gus membantu pasukan
(Johor DT) meraih banyak lagi kejuaraan musim depan.
“Tidak lupa juga anugerah ini saya tujukan kepada
keluarga dan penyokong yang sentiasa berada di belakang saya selama ini, syukur
Alhamdulillah. Ia juga rezeki anak pertama saya,” katanya ketika ditemui di
sini, semalam.
Kategori Jurulatih Terbaik pula menjadi milik pengendali
Harimau Selatan Mario Gomez, Aidil Zafuan (Pemain Pertahanan Terbaik), Farizal
Marlias (Penjaga Gol Terbaik), Luciano Figueroa (Pemain Import Terbaik) dan
Amri Yahyah (Penyerang Terbaik).
Sementara itu, pemain pertahanan Pahang Matthew Davies
meraih Anugerah Pemain Muda Terbaik pada penampilan sulungnya dalam Liga
Malaysia musim ini mengatasi pemenang sebelum ini, Farhan Roslan dari Kedah.
Dalam pada itu, Dramane Traore dari PDRM merangkul
anugerah Kasut Emas bagi saingan Liga Super dengan ledakan 20 gol manakala
Francis Forkey Doe (NS Matrix) mengungguli Liga Perdana dengan 17 gol.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015
@ 9:03 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan