Sabtu, 2 April 2016

Safiq yakin di sebalik kelebihan tipis

01 April 2016 12:07 AM
KUALA LUMPUR – Di sebalik ke­selesaan pasukan PKNS FC yang hampir pasti melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA, tiga pasukan lagi pilihan masih belum mampu menarik nafas lega apabila mereka hanya memiliki kelebihan tipis ke atas lawan masing-masing.
 
Safiq Rahim
Bagaimanapun Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah tidak dijangka akan menghadapi masalah, walaupun memiliki ke­lebihan satu gol di tempat lawan, apabila masing-masing melayan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah di gelanggang sendiri.
Malah, pasukan Harimau Selatan memiliki kelebihan satu hari rehat apabila hanya akan bermain pada malam esok manakala tiga lagi perlawanan berlangsung malam ini.
Pasukan Perak pula bakal berdepan laluan getir apabila bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang menentang Kuala Lumpur yang kini berada dalam prestasi cemerlang dalam kempen Liga Perdana sebagai pendahulu.
Walaupun mereka dilihat sebagai pasukan pilihan, ketua pasukan JDT Safiq Rahim mahu memastikan rekod bersih di Larkin dapat dikekalkan dan mengingatkan rakan sepasukannya agar mempamerkan permainan terbaik mereka dalam aksi suku akhir kedua nanti.
Malah pemain tengah Harimau Malaysia itu turut berharap penyokong akan memenuhi stadium untuk memberi sokongan padu bagi menaikkan semangat pemain-pemain Harimau Selatan dan optimis pasukannya mampu melangkah ke peringkat separuh akhir.
“Paling utama adalah menang dan mengekalkan rekod tanpa kalah di Larkin tetapi kejayaan itu akan hadir sekiranya semua pemain mampu memberikan aksi 100 peratus dalam perlawanan Sabtu ini.
“Kemenangan 1-0 dalam suku akhir pertama bukan lagi jaminan yang selesa kerana pasukan PDRM antara pasukan yang mampu memberi saingan sengit tetapi saya yakin kami mampu melangkah ke peringkat separuh akhir dengan kerjasama sepasukan.
“Siapa yang menjaringkan gol tidak penting...jika saya dapat peluang yang baik pastinya akan saya manfaatkannya,” katanya ketika dihubungi semalam.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safiq-yakin-di-sebalik-kelebihan-tipis-1.207087#sthash.j1HMDIvz.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan