Jumaat, 15 April 2016

Gol awal jadi penentu - Safiq


 

ARKIB : 01/12/2012
Safiq mahu terus menggempur benteng Garuda sebaik permainan dimulakan.
PETALING JAYA - “Kita mesti mendapatkan gol awal... Itu amat penting dan dalam masa sama jangan bolos terlebih dahulu kepada lawan," demikian amanat ketua pasukan Harimau Malaya, Safiq Rahim kepada rakan sepasukan menjelang perlawanan ‘panas’ antara dua seteru utama, Malaysia dan Indonesia, malam ini.

Mahu terus menggempur benteng Garuda sebaik wisel permainan dimulakan, pemain berusia 26 tahun itu mahu momentum kemenangan ke atas Laos dapat dikekalkan dalam misi mencari kemenangan terpenting pada Piala Suzuki AFF 2012.

Tambahnya, tidak kira siapa sahaja menjaringkan gol, dia tidak mahu rakan-rakannya sama sekali mensia-siakan peluang yang terhidang bagi membunuh api perjuangan pemain Indonesia di awal perlawanan.

“Dapat sahaja peluang, manfaatkanlah peluang. Saya tidak kisah mana-mana pemain menjaringkan gol kerana tiga mata dalam perlawanan ini amat penting.

‘‘Bagi saya secara peribadi, menjaringkan gol sulung pada Piala Suzuki AFF memang menjadi impian saya dan kini saya berharap mahu mendapatkan jaringan dari situasi gol padang.

“Memang saya lega kerana dapat menemui sentuhan jaringan daripada sepakan percuma dan berharap ia akan terus terjadi semasa menentang Indonesia nanti.

“Namun, bukan itu menjadi misi saya, selagi bola itu bergolek masuk mencecah ke dalam gawang, itu paling utama," katanya selepas sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM, semalam.

Menjelaskan kekuatan Garuda, Safiq berkata, dia tidak mengenali pemain Indonesia di bahagian tengah tetapi dia tidak mahu memikirkan terlalu mendalam mengenai pasukan lawan.

“Penguasaan di bahagian tengah memang cukup penting dan saya berharap siapa sahaja gandingan saya esok (hari ini), mampu mengekang penguasaan bola Indonesia.

“Kebanyakan pemain Indonesia yang dulu (skuad Piala Suzuki AFF 2010), saya kenal corak permainannya, namun tidak pada skuad kali ini.

“Bagaimanapun, itu tidak penting, kita sebaliknya perlu menumpukan perhatian kepada aksi sendiri dan mempamerkan aksi terbaik di hadapan penonton sendiri," ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121201/su_02/Gol-awal-jadi-penentu---Safiq#ixzz45v19rkPj © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan