Sabtu, 2 April 2016

Johor DT tepati ramalan

Johor DT tepati ramalan
 
PENYERANG Johor DT, Mohd. Amirul Hadi Zainal (depan) melepaskan tandukan kencang ke arah pintu gol pasukan PDRM pada aksi suku akhir kedua Superbest Power Piala FA di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin malam tadi yang berkesudahan Harimau Selatan menang 5-2.

JOHOR Darul Takzim (Johor DT) melengkapkan empat pasukan yang layak ke saingan separuh akhir Superbest Power Piala FA 2016 apabila menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 5-2 pada aksi kedua suku akhir di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Skuad bimbingan Mario Gomez itu meneruskan kemaraan dengan kelebihan agregat 6-2 selepas turut meraih kemenangan 1-0 pada aksi pertama di Stadium Hang Jebat Melaka pada 19 Mac lalu.

Lawan yang akan menanti mereka di separuh akhir nanti ialah Kedah yang turut mara selepas menewaskan Sabah dengan agregat 3-2 malam kelmarin.

Dua lagi pasukan yang melengkapkan tempat pada separuh akhir ialah Perak dan PKNS FC.

Pada perlawanan malam tadi, Harimau Selatan tampil dengan kelas tersendiri apabila mendahului perlawanan seawal minit ke-15 menerusi jaringan Pereyra Diaz dan dia sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-29 untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Kapten Safiq Rahim terus meletakkan Johor DT dalam keadaan selesa apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-40 sebelum Azniee Taib meledak gol keempat pasukan tuan rumah pada minit ke-42 menerusi percubaan dari luar kotak penalti.

Walaupun ketinggalan 0-4, ia tidak mematahkan semangat pemain PDRM untuk meloloskan diri dan usaha mereka berhasil pada minit ke-49 menerusi jaringan Andrezinho sebelum Ahmad Nizam Rodzi menjadikan kedudukan 2-4 menerusi jaringannya pada minit ke-63.

Begitupun, Juan Martín Lucero meneruskan kecemerlangan Harimau Selatan apabila menjaringkan gol kelima pada minit ke-66 dan keputusan 5-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

“Ini merupakan malam gemilang buat Johor DT dan para pemain telah menunjukkan kesungguhan untuk meraih kemenangan,” jelas Gomez.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz44iRfN0du Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan