Jumaat, 15 April 2016

JDT rehatkan kapten Safiq

MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI  |  13 April 2016 12:39 AM
SAFIQ RAHIM  mungkin direhatkan dalam perlawanan menentang Lao
SAFIQ RAHIM mungkin direhatkan dalam perlawanan menentang Lao Toyota FC di Vientiane hari ini bagi membolehkan JDT melakukan persiapan menjelang separuh akhir Piala FA, Sabtu ini.
JOHOR BAHRU 12 April – Pemain Terbaik Piala AFC musim lalu, Safiq Rahim dijangka tidak diturunkan apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Lao Toyota FC di Stadium Nasional, Vientiane, Laos, esok.
Kekosongan jawatan kapten yang ditinggalkan oleh bintang tengah kebangsan itu akan diisi pemain pertahanan, Aidil Zafuan Abd. Radzak.
Pengendali skuad Harimau Selatan, Mario Gomez memberitahu, Safiq akan direhatkan sementara bagi memberi tumpuan kepada saingan domestik khususnya Liga Super dan Piala FA.
"Tanggungjawab sebagai ketua pasukan bakal diberikan kepada Aidil dan dia perlu memainkan peranan penting dalam memastikan kesemua pemain sentiasa fokus ketika di atas padang.
"Walaupun Safiq direhatkan, saya yakin JDT mampu memberi persembahan terbaik bagi mengutip tiga mata penuh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Juara bertahan Piala AFC tersebut membawa bekalan selesa dan dijangka mengekalkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan H, Piala AFC setelah mencatat kemenangan 3-0 ke atas Lao Toyota FC dalam perlawanan pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 16 Mac lalu.
Menurut Gomez lagi, walaupun pasukannya kini mengharungi jadual perlawanan padat, beliau yakin anak-anak buahnya mampu mengekalkan momentum positif yang dicatat selama ini.
"Tidak dinafikan jadual perlawanan kami padat, selain Piala AFC, kami juga beraksi dalam saingan Liga Super dan Piala FA di peringkat domestik.
"Tahun ini kami menyasarkan ketiga-tiga kejohanan ini dan pemain harus memberi yang terbaik dalam setiap perlawanan yang ditempuh mereka bagi mendapatkan keputusan positif," ujarnya.
Selepas mengharungi tiga perlawanan, JDT kini mengungguli Kumpulan H dengan mengumpul sembilan mata maksimum, malah skuad Harimau Selatan memegang rekod jaringan yang besar 12 dan hanya dibolisi sekali.
Sejurus kembali ke tanah air, anak-anak buah Gomez perlu melakukan persiapan dalam tempoh yang singkat untuk menentang naib juara Piala Malaysia, Kedah pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-rehatkan-kapten-safiq-1.253734#sthash.mFkdjP6I.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan