Jumaat, 1 April 2016

Misi mesti menang – Norizan

ARKIB : 23/01/2007
Oleh AMRAN MULUP
PEMAIN-pemain negara tekun menjalani latihan melakukan set piece menjaringkan gol di Stadium Shah Alam, semalam dengan Hairuddin Omar (kiri) dan Nizaruddin Yusof (dua dari kiri) dilihat menjadi tumpuan untuk membolosi kubu Singapura apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF, hari ini. – Gambar NASIRUDDIN YAZID.

PETALING JAYA – Kelebihan bermain di tempat sendiri dengan sokongan moral peminat bakal menyuntik kekuatan skuad bola sepak kebangsaan berhajat menewaskan penyandang juara Singapura pada saingan separuh akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Asean di Stadium Shah Alam, malam ini.

Peluang yang terhidang tidak akan disia-siakan malah kesebelasan utama yang bakal diturunkan oleh jurulatih Norizan Bakar (gambar) tidak akan menoleh ke belakang lagi.

Sebaliknya, mereka mahu memahatkan kemenangan awal untuk dijadikan sebagai bekalan terbaik sebelum berkunjung ke kota Singapura bagi mengharungi saingan separuh akhir kedua Sabtu ini.

Biarpun tampak longlai aksi di peringkat kumpulan di Bangkok sekadar menewaskan Filipina 4-0, seri 0-0 bertemu Myanmar dan tewas 1-0 kepada juara tiga kali Thailand, namun jurulatih Norizan Bakar percaya aksi di separuh akhir bakal membawa kelainan.

Berdepan Singapura yang turun selaku penyandang juara nyata tidak begitu meresahkan Norizan kerana pertemuan kedua-dua pasukan sudah menjadi lumrah hampir setiap tahun.

‘‘Saya menjangkakan pertemuan yang cukup sengit seperti tahun lalu apabila kita seri dalam dua perlawanan dan keadaan ini bakal terjadi lagi malam esok (malam ini).

‘‘Namun kehadiran pemain kebangsaan adalah untuk menang kerana ini adalah peluang terbaik yang tidak sepatutnya mereka sia-siakan, entah bila lagi kita akan dapat peluang macam ini.

‘‘Saya yakin pemain akan dapat memberikan persembahan terbaik tidak seperti aksi sewaktu saingan di peringkat kumpulan,’’ ujar Norizan dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Buat Norizan, beliau mahu mengikut jejak langkah bekas jurulatih kebangsaan Wan Jamak Wan Hassan yang membawa skuad kebangsaan mara ke perlawanan akhir edisi pertama kejohanan ini tetapi ditewaskan oleh Thailand 1-0 di Singapura pada 1996.

Sejak itu, penampilan skuad kebangsaan bersilih ganti bertukar jurulatih sekadar menyaksikan kemaraan kita hingga ke separuh akhir pada edisi 2000, 2002 dan 2004.

Dua tahun lalu di bawah jurulatih Bertalan Bisckei kita hampir-hampir mara ke perlawanan akhir setelah menewaskan Indonesia 2-1 di Jakarta tetapi tewas 4-1 beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Norizan dijangka menurunkan kesebelasan utama yang sama sewaktu menentang Thailand sambil menyaksikan satu pertukaran apabila Fauzi Nan dijangka mengambil alih kekosongan tempat Irwan Fadli Idrus yang digantung satu perlawanan.

Sepanjang tiga hari sesi latihan melihat gandingan pertahanan menerusi Fauzi Nan, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd. Khaironnisam dan V. Thirumurugan untuk menyekat kelincahan penjaring terbanyak Singapura, Mohd. Noh Alam Shah.

Manakala bahagian tengah masih disandarkan harapan ke atas gandingan Mohd. Hardi Jaafar, Muhammad Shukor Adan, K. Nanthakumar dan Eddy Helmi Manan.

Dua penyerang veteran, Mohd. Nizaruddin Yusof dan Hairuddin Omar terus mendapat kepercayaan mengemudi jentera serangan.

‘‘Saya mengharapkan kehadiran penyokong akan dapat menyemarakkan semangat pemain dan kita turun untuk menang.

‘‘Pemain juga sedar tanggungjawab mereka untuk membawa kejayaan dan membuktikan kepada rakyat betapa kita masih ada pasukan yang baik.

‘‘Untuk menyakinkan semula peminat hanyalah kemenangan dapat mengubat segala kritikan dan cemuhan yang dilemparkan sebelum ini,’’ ujarnya.

Buat Norizan mengharapkan tuah dengan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk mengukir kemenangan sebagai bekalan terbaik untuk mengharungi Singapura di Stadium Nasional negara itu Sabtu ini.


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz44bncN0u7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan